KELATE2.0: MAHASISWA UTMKL DEKATI KOMUNITI, PERLUAS AKSES STEM DAN TEKNOLOGI DI KELANTAN

KELATE2.0: MAHASISWA UTMKL DEKATI KOMUNITI, PERLUAS AKSES STEM DAN TEKNOLOGI DI KELANTAN

KUALA KRAI / BACHOK, 15 September 2026 – Membawa pendidikan STEM dan teknologi lebih dekat kepada komuniti menjadi antara usaha yang diketengahkan menerusi KELATE2.0: Kreativiti, Eksperimen, Literasi, Aspirasi, Teknologi dan Eksplorasi yang berlangsung dari 13 hingga 15 September 2026 di sekitar kawasan daerah Kuala Krai dan Bachok, Kelantan.

Dianjurkan oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ) dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Pelajar Luar Kampus (JKM PLK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, program yang bertemakan “Pendidikan dan Teknologi untuk Semua Berteraskan STEM dan Inovasi” itu menghimpunkan seramai 33 mahasiswa daripada Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Malaysian-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dan UTM SPACE dalam pelbagai pengisian merangkumi pendidikan STEM, teknologi, pembangunan kepimpinan, khidmat komuniti serta jaringan mahasiswa antara institusi pengajian tinggi.

KELATE2.0 melibatkan empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Geris, SK Bukit Marak, SK Seneng dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Saadong, selain penglibatan komuniti setempat dan mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Program ini turut disokong melalui sumbangan 12 unit komputer daripada FAI yang dibaik pulih dan dipasang dengan bantuan pegawai Bahagian Pengurusan Aset (BPA) untuk kegunaan sekolah yang terlibat.

Program ini dilaksanakan di bawah naungan Prof. Emeritus Dato’ Ir. Ts. Dr. Zainai bin Mohamed dan Dr. Mohamed Azlan bin Suhot, dengan Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul bin Sarip selaku penasihat. Pelaksanaannya turut mendapat sokongan Majlis Felo KSJ, pegawai BPA, FAI serta pasukan Adopt A Kampung UTM.

Majlis Penutup KELATE2.0 di SK Bukit Marak yang turut dihadiri oleh barisan tetamu kehormat dan wakil pihak sekolah.

Memperkasa Pembelajaran STEM Melalui Little Bridge Engineer

Antara pengisian utama KELATE2.0 ialah Little Bridge Engineer, yang memberi peluang kepada murid mempelajari konsep asas pembinaan jambatan sebelum mereka bentuk, membina dan menguji ketahanan binaan secara berkumpulan. Aktiviti tersebut dilaksanakan di SK Kuala Geris pada 13 September dengan penyertaan 120 murid Tahun 4 hingga Tahun 6, manakala SK Bukit Marak pada 14 September melibatkan 115 murid Tahun 6. Secara keseluruhannya, seramai 235 murid menyertai aktiviti berkenaan.

Di SK Kuala Geris, perbezaan tahap penguasaan murid memerlukan fasilitator menyesuaikan kaedah penerangan dan bimbingan mengikut tahap pemahaman peserta. Situasi ini turut memberi ruang kepada mahasiswa UTM mengaplikasikan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan fasilitasi dalam suasana sebenar.

Mahasiswa KELATE2.0 membimbing murid dalam aktiviti STEM di SK Kuala Geris.

Pelaksanaan di SK Bukit Marak pula melibatkan 11 mahasiswa Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMK Kota yang turut membantu pasukan fasilitator UTM sepanjang aktiviti, sekali gus memperlihatkan kerjasama rentas universiti dalam pelaksanaan pendidikan STEM di sekolah.

Sesi pembentangan hasil aktiviti murid di SK Bukit Marak yang turut disertai oleh wakil daripada MPP UMK

Teknologi dan AI Mendekati Warga Sekolah

KELATE2.0 turut memperluas pendedahan teknologi menerusi Smart Mobility Showcase: Dari Gear Ke AI di SK Seneng. Pameran tersebut memberi peluang kepada warga sekolah meneroka model dan demonstrasi teknologi yang dibangunkan oleh mahasiswa menggunakan microcontroller seperti Raspberry Pi Pico dan Arduino Uno.

Warga sekolah meneroka teknologi menerusi Smart Mobility Showcase di SK Seneng.

Pendekatan interaktif ini membolehkan murid melihat bagaimana komponen elektronik, pengaturcaraan dan teknologi digabungkan untuk menghasilkan model yang berfungsi, sekali gus memberikan gambaran praktikal tentang aplikasi STEM.

Selain murid, golongan pendidik turut diberikan pendedahan melalui Bengkel AI Generatif Prompt Engineering yang melibatkan 15 orang guru SK Seneng. Bengkel yang dikendalikan oleh Ts. Dr. Noraimi bin Shafie itu memberikan pendedahan berkaitan penggunaan kecerdasan buatan generatif dan teknik prompt engineering dalam konteks pendidikan.

Guru-guru SK Seneng mengikuti Bengkel AI Generatif dan pendedahan kepada penggunaan teknologi AI dalam pendidikan.

Membina Keyakinan dan Kepimpinan Pelajar

Di SMK Puteri Saadong, KELATE2.0 memberikan tumpuan kepada pembangunan kepimpinan melalui IGNITE LEADERSHIP MODULE yang melibatkan 30 pelajar Tingkatan 4.

Pelajar didedahkan kepada aktiviti yang menggalakkan keberanian berkomunikasi, pemikiran kritis dan keupayaan mempertahankan idea seperti Debate Challenge dan sesi Pitching Kacip.

Pelajar SMK Puteri Saadong menyertai Debate Challenge dalam sesi pembangunan kepimpinan yang dikendalikan oleh saudara Ahmad Saufi, fasilitator KELATE2.0.

Pelajar SMK Puteri Saadong membentangkan idea kreatif melalui sesi Pitching Kacip.

Pendekatan tersebut memberi ruang kepada pelajar untuk mengemukakan pandangan, membina keyakinan diri serta mempraktikkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan melalui aktiviti yang lebih interaktif.

Sumbangan 12 Unit Komputer Perkukuh Akses Digital

Dalam usaha memastikan manfaat KELATE2.0 dapat diteruskan selepas program selesai, sebanyak 12 unit komputer daripada FAI turut disumbangkan kepada sekolah-sekolah yang terlibat.

Pemasangan 12 unit komputer sumbangan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) bagi menyokong akses kepada pembelajaran berasaskan teknologi di sekolah-sekolah yang terlibat.

Komputer tersebut mendapat bantuan daripada pihak BPA bagi tujuan pemeriksaan, pembaikan dan pemasangan sebelum disalurkan untuk kegunaan sekolah. Kemudahan ini boleh dimanfaatkan oleh guru dan murid dalam aktiviti pembelajaran berasaskan teknologi, sekali gus menyokong kesinambungan pendedahan digital selepas tamatnya program.

Meneruskan Inisiatif Fun Learning Toy Library

Sebagai kesinambungan kepada inisiatif Adopt A Kampung UTM, pasukan yang terlibat turut meneruskan projek terdahulu menerusi Fun Learning Toy Library di SK Kuala Geris, SK Bukit Marak dan SK Seneng. Inisiatif ini melibatkan Dr. Hayati @ Habibah binti Abdul Talib dan Ts. Rafizah binti Musa dalam usaha menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan melalui penggunaan bahan serta permainan pendidikan. Pendekatan pembelajaran berasaskan permainan ini memberi peluang kepada murid untuk meneroka dan belajar dalam suasana yang lebih santai, di samping mencerminkan komitmen pasukan Adopt A Kampung UTM untuk meneruskan hubungan serta manfaat kepada sekolah yang terlibat secara berterusan.

YBrs. Dr. Hayati membimbing murid dalam aktiviti Fun Learning Toy Library (FLTL) di SK Bukit Marak.

Pemberian Cenderamata kepada Guru Pra Sekolah SK Seneng.

Mahasiswa Turut Belajar Bersama Komuniti

Selain pengisian pendidikan, KELATE2.0 turut memberi pengalaman kemasyarakatan kepada mahasiswa melalui penglibatan bersama komuniti di Masjid Nur Syafaat Padang Lati. Mahasiswa terlibat dalam beberapa aktiviti bersama komuniti termasuk membantu penyediaan makanan, mencuci pinggan serta menyertai majlis tahlil yang berlangsung pada ketika itu.

Penglibatan tersebut memberikan pendedahan kepada mahasiswa terhadap kehidupan dan amalan masyarakat setempat, khususnya dalam suasana komuniti luar bandar, serta menjadi ruang pembelajaran tidak formal tentang kepelbagaian budaya dan kehidupan masyarakat di Kelantan.

Penglibatan mahasiswa KELATE2.0 dalam aktiviti kemasyarakatan bersama komuniti setempat di Masjid Nur Syafaat Padang Lati. 

Memperkukuh Jaringan Mahasiswa UTM dan UMK

Sesi makan tengah hari delegasi KELATE2.0 bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMK Jeli.

Dimensi jaringan antara institusi pengajian tinggi turut menjadi antara pengisian penting KELATE2.0 menerusi Ramah Mesra Bersama Mahasiswa UMK Bachok dan Jeli.

Pada 13 September, delegasi KELATE2.0 berkunjung ke UMK Kampus Jeli dan berinteraksi bersama MPP UMK Jeli menerusi sesi makan tengah hari. Pertemuan tersebut memberi peluang kepada mahasiswa kedua-dua institusi untuk berkenalan dan bertukar pengalaman berkaitan kehidupan mahasiswa.

Sesi pemberian cenderamata dan penggambaran bersama wakil daripada UMK Jeli selepas sesi makan tengah hari delegasi KELATE 2.0.

Kunjungan ke UMK Kampus Bachok pada 15 September pula memberi tumpuan kepada sesi perkongsian bersama MPP UMK berkaitan aspek kebajikan dan kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa, selain sesi lawatan sekitar kampus. Dalam sesi lawatan tersebut, delegasi berpeluang mengunjungi Galeri Canselor UMK bagi mengenali sejarah penubuhan, perkembangan serta tradisi dan istiadat universiti. Lawatan turut merangkumi perpustakaan UMK serta UMK TENIAT, yang memberikan pendedahan kepada delegasi mengenai warisan dan reka bentuk rumah kayu tradisional Kelantan.

Delegasi KELATE 2.0 mengadakan lawatan ke UMK Kampus Bachok menerusi sesi campus tour dan ramah mesra bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMK.

Delegasi KELATE 2.0 bersama MPP UMK di hadapan salah satu rumah warisan dalam sesi lawatan di UMK Kampus Bachok.

Kerjasama turut diterjemahkan secara langsung melalui penglibatan 11 mahasiswa MPP UMK Kota sebagai fasilitator bersama mahasiswa UTM di SK Bukit Marak. Penglibatan ini membuka ruang kepada mahasiswa kedua-dua universiti untuk berkongsi pengalaman serta mengenali perspektif dan kekuatan masing-masing dalam pelaksanaan aktiviti bersama komuniti.


KELATE2.0 Diraikan sebagai Inisiatif Mahasiswa Berimpak

Kemuncak pelaksanaan KELATE2.0 turut diserikan dengan Majlis Penutup yang dirasmikan oleh YBrs. Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad, Ketua Kampus Cawangan Kuala Lumpur, serta dihadiri oleh Ir. Ts. Dr. Mohd Azlan bin Abu, Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UTM Kuala Lumpur.

Dalam amanatnya, Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad menzahirkan rasa bangga terhadap aktiviti dan komitmen yang telah dilaksanakan oleh mahasiswa sepanjang KELATE2.0. Beliau turut berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada usaha mahasiswa untuk terus memberikan manfaat kepada komuniti.

Ketua Kampus UTM Cawangan Kuala Lumpur, Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Majlis Penutup KELATE 2.0.

Sepanjang tiga hari pelaksanaan, KELATE2.0 menghimpunkan pendidikan STEM, teknologi, pembangunan kepimpinan, kesukarelawanan dan jaringan antara universiti dalam satu platform yang melibatkan sekolah serta komuniti setempat.


Menyokong Agenda SDG dan UTM Ascend

Pelaksanaan KELATE2.0 turut menyokong beberapa Sustainable Development Goals (SDG) melalui pengisian pendidikan, teknologi dan komuniti. SDG 4: Quality Education dan SDG 9: Industry, Innovation and Infrastructure diterapkan melalui aktiviti STEM, pendedahan teknologi serta sumbangan 12 unit komputer kepada sekolah terlibat. Usaha memperluas akses kepada pendidikan dan teknologi di sekolah luar bandar turut menyumbang kepada SDG 10: Reduced Inequalities, manakala kerjasama antara mahasiswa, sekolah dan institusi pengajian tinggi menyokong SDG 11: Sustainable Cities and Communities serta SDG 17: Partnerships for the Goals.

Dari perspektif UTM Ascend, pelaksanaan KELATE2.0 selari dengan aspirasi Humanity & Well-being dan Sustainability melalui penglibatan mahasiswa dalam pendidikan, khidmat komuniti dan pembangunan masyarakat. Secara keseluruhannya, program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran dalam situasi sebenar, di samping membawa manfaat kepada komuniti yang terlibat.

EDITOR: MUHAMMAD HADI BIN AB LLAH

SUKARELAWAN KSJ BANTU JAYAKAN KEJOHANAN SUKAN TAHUNAN SK PADANG TEMBAK 2

SUKARELAWAN KSJ BANTU JAYAKAN KEJOHANAN SUKAN TAHUNAN SK PADANG TEMBAK 2

Sukarelawan Kolej Siswa Jaya bersama wakil warga sekolah sempena Kejohanan Sukan Tahunan SK Padang Tembak 2 Tahun 2026

KUALA LUMPUR, 22 Ogos 2026 – Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (KSJ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur menyumbangkan tenaga sebagai sukarelawan dalam Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Padang Tembak 2 (SKPT2) yang berlangsung di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak.

Penglibatan sukarelawan KSJ ini menyahut permohonan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKPT2 bagi membantu urusan persediaan, pengurusan peserta dan tugasan berkaitan sepanjang kejohanan. Permohonan tersebut dikemukakan oleh Naib Yang Dipertua PIBG SKPT2, Ts. Dr. Norulhusna Ahmad.

Kerjasama ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk menyumbang secara langsung kepada aktiviti sekolah, di samping mengeratkan hubungan antara warga kolej dengan komuniti setempat.

Murid menyertai acara sukan dalam suasana meriah dengan sokongan warga sekolah, petugas dan sukarelawan.

Sepanjang kejohanan, sukarelawan KSJ membantu pelaksanaan tugasan di lokasi program bersama warga sekolah. Suasana acara memperlihatkan semangat kesukanan murid yang mengambil bahagian dalam aktiviti berasaskan ketangkasan dan koordinasi, dengan sokongan guru serta pengunjung.

Sukarelawan turut membantu urusan di bahagian hadiah, termasuk penyusunan pingat dan hamper untuk sesi penyampaian. Tugasan ini memerlukan ketelitian serta penyelarasan bersama petugas sekolah bagi menyokong perjalanan majlis.

Sukarelawan membantu urusan persediaan hadiah dan pingat sempena Kejohanan Sukan Tahunan SK Padang Tembak 2.

Penglibatan dalam program ini menyediakan pengalaman praktikal kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan pengurusan tugasan. Interaksi dengan guru, murid dan petugas sekolah turut memberi pendedahan kepada tanggungjawab sukarelawan dalam penganjuran aktiviti komuniti.

Wakil sukarelawan bersama warga sekolah dalam sesi penyerahan penghargaan sempena kejohanan.

KSJ merakamkan penghargaan kepada pihak SKPT2 dan PIBG atas kepercayaan yang diberikan kepada mahasiswa untuk bersama-sama menjayakan kejohanan ini. Kerjasama seumpama ini diharapkan dapat diteruskan sebagai ruang pembentukan mahasiswa yang prihatin, bertanggungjawab dan aktif menyumbang kepada masyarakat.

SUKARELAWAN KSJ SEMARAK BUDAYA KEBERSIHAN SEMPENA LARIAN MAPPA 2026

SUKARELAWAN KSJ SEMARAK BUDAYA KEBERSIHAN SEMPENA LARIAN MAPPA 2026

Sukarelawan Kolej Siswa Jaya menyampaikan mesej penjagaan kebersihan kepada peserta dan pengunjung sempena Larian MAPPA 2026 di Putrajaya

PUTRAJAYA, 8 Ogos 2026 – Sukarelawan Kolej Siswa Jaya (KSJ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur menyertai Aktiviti Libat Urus Kesedaran Kebersihan sempena Program Larian MAPPA 2026. Penglibatan ini menyokong usaha menggalakkan peserta dan pengunjung menjaga kebersihan ruang awam sepanjang acara berlangsung.

Program anjuran SWCorp Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam melalui Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) ini berlangsung di sekitar Dataran Putrajaya, Persiaran Perdana, Presint 3. Aktiviti kesukarelawanan dijadualkan dari pukul 6.00 pagi hingga 10.30 pagi.

Sepanjang program, sukarelawan membawa papan mesej kesedaran untuk mengingatkan orang ramai supaya membuang sampah ke dalam tong yang disediakan dan mengelakkan penggunaan plastik sekali guna. Antara mesej yang diketengahkan ialah “Bumi yang bersih adalah hadiah untuk generasi akan datang”, yang menekankan tanggungjawab bersama memelihara alam sekitar.

Penyampaian mesej kesedaran kebersihan di sepanjang laluan larian menggalakkan peserta menggunakan kemudahan pembuangan sampah yang disediakan

Pendekatan libat urus ini membawa mesej penjagaan kebersihan secara langsung kepada peserta dalam suasana aktiviti sukan. Kehadiran sukarelawan bersama papan kempen turut menjadi peringatan bahawa kebersihan kawasan acara memerlukan kerjasama penganjur, peserta dan pengunjung.

Selain menyampaikan mesej kesedaran, sukarelawan turut membantu mengutip sampah di kawasan program. Tindakan ini memperlihatkan amalan kesukarelawanan yang menggabungkan penyampaian mesej dengan usaha praktikal menjaga persekitaran.

Sukarelawan membantu mengutip sampah di kawasan program sebagai sebahagian daripada usaha menjaga kebersihan ruang awam

Suasana di stesen minuman sepanjang laluan Larian MAPPA 2026, antara kawasan tumpuan peserta yang memerlukan perhatian terhadap pengurusan kebersihan.

Penyertaan dalam program ini memberi ruang kepada mahasiswa KSJ untuk berinteraksi dengan masyarakat serta mempraktikkan kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan. Pengalaman tersebut juga membuka peluang untuk memahami cabaran penjagaan kebersihan semasa acara yang melibatkan orang ramai.

KSJ menghargai peluang kerjasama bersama pihak penganjur dalam menjayakan aktiviti ini. Penglibatan mahasiswa dalam kempen kebersihan diharapkan dapat menyemai amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, seterusnya diteruskan dalam kehidupan harian di kolej dan komuniti.

Poster pencarian sukarelawan bagi Aktiviti Libat Urus Kesedaran Kebersihan sempena Program Larian MAPPA 2026

KEM PEMANTAPAN JAWATANKUASA KOLEJ PELAJAR: RISEUP LEADERSHIP  CAMP 2026 PERKUKUH KEPIMPINAN, SINERGI DAN KEUPAYAAN ORGANISASI MAHASISWA

KEM PEMANTAPAN JAWATANKUASA KOLEJ PELAJAR: RISEUP LEADERSHIP CAMP 2026 PERKUKUH KEPIMPINAN, SINERGI DAN KEUPAYAAN ORGANISASI MAHASISWA

TEMOH, 19 Julai 2026 – Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) menerusi Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ) bersama Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Luar Kampus (JKM LK) telah berjaya menganjurkan Kem Pemantapan Jawatankuasa Kolej Pelajar: RISEUP Leadership Camp 2026 bertempat di Temoh Valley Resort. 

Program selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Julai 2026 ini dirangka sebagai platform pembangunan kepimpinan, pemantapan organisasi dan pengukuhan hubungan antara ahli JKM KSJ dan JKM LK. Pelaksanaan kem tersebut memberi ruang kepada peserta untuk meningkatkan kemahiran pengurusan, komunikasi, perancangan strategik serta keupayaan bekerja dalam satu pasukan.

Berteraskan konsep jati diri dan kepimpinan, RISEUP Leadership Camp 2026 turut memberi penekanan kepada ketahanan fizikal dan mental, disiplin, kepercayaan antara ahli serta kesediaan peserta menghadapi cabaran sebenar dalam pengurusan organisasi mahasiswa.

Program ini bukan sahaja memberi pendedahan secara teori, malah membolehkan para peserta mengaplikasikan kemahiran kepimpinan secara langsung melalui aktiviti lapangan, khidmat komuniti, pengurusan majlis, latihan dalam kumpulan dan sesi refleksi organisasi.

 

Pembentukan Pasukan dan Pemantapan Pengurusan

Program bermula pada Jumaat, 17 Julai 2026 dengan pergerakan peserta dari Kolej Siswa Jaya menuju ke Temoh. Para peserta tiba di Temoh Valley Resort pada tengah hari sebelum mengikuti sesi makan tengah hari dan menunaikan solat Jumaat.

Pada sebelah petang, program diteruskan dengan Sesi Ice Breaking dan Team Building. Sesi ini memberi peluang kepada ahli JKM KSJ dan JKM PLK untuk saling mengenali dengan lebih dekat, membina keselesaan dalam komunikasi dan mewujudkan suasana kerjasama sebelum mengikuti aktiviti program yang lebih mencabar.

Melalui aktiviti yang dijalankan, peserta digalakkan untuk berkomunikasi secara terbuka, memahami kekuatan setiap ahli dan bekerjasama dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan. Pengisian tersebut menjadi asas penting dalam membina kepercayaan serta keserasian antara kedua-dua organisasi.

Para peserta JKM KSJ dan JKM LK menjalani sesi ice breaking bagi membina keserasian dan mengukuhkan hubungan antara ahli

Pada sebelah malam, para peserta mengikuti sesi Nadi Pengurusan Cemerlang JKM 2026. Sesi ini memberi penekanan kepada pengurusan organisasi yang lebih teratur, pembahagian tanggungjawab, komunikasi dalaman dan penyelarasan gerak kerja antara ahli jawatankuasa.

Peserta turut diberi ruang untuk memahami kepentingan disiplin, akauntabiliti dan kesungguhan dalam melaksanakan amanah sebagai pemimpin mahasiswa. Setiap ahli memainkan peranan penting dalam memastikan sesuatu program atau inisiatif dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Sesi ini turut membantu peserta menilai semula pendekatan kerja sedia ada serta mengenal pasti kaedah yang boleh digunakan untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan JKM sepanjang sesi kepimpinan semasa.

Para peserta memberikan perhatian sepanjang sesi Nadi Pengurusan Cemerlang JKM 2026 yang memberi fokus kepada pengurusan organisasi mahasiswa. 

Projek Lightup Temoh dan Khidmat Komuniti

Pada sebelah pagi, para peserta menjayakan Projek Lightup Temoh, iaitu salah satu pengisian utama berbentuk aktiviti lapangan dan tanggungjawab sosial universiti. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk bekerjasama dalam melaksanakan tugasan yang memberikan manfaat kepada lokasi dan komuniti setempat.

Pelaksanaan Projek Lightup Temoh turut menggalakkan peserta mengaplikasikan nilai kepimpinan melalui tindakan sebenar. Mereka perlu menyusun tugasan, berkongsi peralatan, mengurus masa serta memastikan setiap tanggungjawab dilaksanakan secara bersama.

Aktiviti tersebut membuktikan bahawa peranan pemimpin mahasiswa tidak hanya tertumpu kepada pengurusan organisasi di universiti, tetapi turut merangkumi keprihatinan terhadap masyarakat dan kesediaan menyumbang tenaga bagi menjayakan inisiatif komuniti.

Ahli JKM KSJ dan JKM LK bekerjasama menjayakan Projek Lightup Temoh sebagai sebahagian daripada pengisian khidmat komuniti. 

Saudara Khamsah sedang membantu proses membancuh simen bagi pelaksanaan Projek Light Up Temoh. 

Majlis Peluncuran Program Inovasi

Pada sebelah petang, peserta membuat persediaan untuk jamuan barbeku dan menjalani raptai protokol sebagai persiapan bagi acara utama pada sebelah malam. Antara pengisian utama RISEUP Leadership Camp 2026 ialah Majlis Peluncuran Program Inovasi.

Majlis Peluncuran Program Inovasi telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Ali bin Selamat. Turut bersama-sama dalam majlis tersebut ialah Dato’ Pendaftar UTM, Yang Berbahagia Dato’ Dr. Mohd Sharil bin Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif UTM Holdings, Ahmad Kamil Kushairi; Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof. Ir. Ts. Dr. Aminudin bin Haji Abu; serta Pengetua Kolej Siswa Jaya (KSJ), Dr. Mohamed Azlan bin Suhot. Kehadiran barisan pengurusan tertinggi universiti ini telah menyerikan majlis, sekali gus mencerminkan sokongan terhadap usaha memperkasakan budaya inovasi, kreativiti dan pembangunan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa. 

Majlis tersebut menjadi satu acara penting dalam keseluruhan perjalanan kem serta memperlihatkan komitmen organisasi mahasiswa dalam memperkasakan budaya inovasi, kreativiti dan pembangunan program yang berimpak.

Pelaksanaan majlis ini juga memberi peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan kemahiran pengurusan majlis secara langsung. Setiap peserta dan unit yang terlibat perlu menyelaraskan tugasan, memastikan persediaan dilaksanakan mengikut masa dan bekerjasama dalam menangani keperluan yang timbul sepanjang acara berlangsung.

Pengalaman mengurus majlis tersebut memberikan pendedahan praktikal kepada peserta dalam aspek protokol, penyelarasan program, pengurusan masa, komunikasi dalaman serta tindakan segera apabila berhadapan dengan perubahan atau situasi yang tidak dijangka.

Majlis Peluncuran Program Inovasi turut melengkapkan pengisian kem dengan menggabungkan elemen kepimpinan, pengurusan organisasi dan inovasi dalam satu platform bersama.

Majlis Peluncuran Program Inovasi menjadi antara pengisian utama pada malam kedua RISEUP Leadership Camp 2026. 

Jungle Trekking dan Ketahanan Pasukan

Hari terakhir program dimulakan dengan solat Subuh, tazkirah ringkas, pengurusan diri dan sarapan pagi sebelum para peserta mengikuti aktiviti Team Building: Jungle Trekking.

Aktiviti jungle trekking menguji tahap kecergasan, daya tahan, disiplin dan keupayaan peserta untuk bergerak sebagai satu pasukan. Sepanjang perjalanan, setiap ahli perlu peka terhadap keselamatan, keadaan laluan dan kebajikan ahli kumpulan masing-masing.

Peserta perlu saling membantu dan memastikan tiada ahli yang ketinggalan. Aktiviti ini menekankan bahawa kepimpinan bukan hanya berkaitan kemampuan memberi arahan, tetapi turut melibatkan sikap bertanggungjawab, kesediaan membantu serta keprihatinan terhadap keadaan ahli pasukan.

Jungle trekking turut memberi pengalaman kepada peserta dalam menghadapi situasi yang mencabar di luar persekitaran biasa. Setiap cabaran perlu ditangani melalui komunikasi, kesabaran dan kerjasama secara berterusan.

Para peserta menjalankan aktiviti jungle trekking di sekitar Temoh Valley Resort

Sesi Post-Mortem JKM KSJ dan JKM LK

Selepas selesai aktiviti jungle trekking, peserta mengikuti Sesi Post-Mortem Program JKM KSJ dan JKM LK.

Sesi ini menjadi platform penting kepada kedua-dua organisasi untuk menilai perjalanan program, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pelaksanaan serta membincangkan tindakan penambahbaikan.

Peserta diberikan peluang untuk menyampaikan pandangan secara terbuka berdasarkan pengalaman sepanjang tiga hari program. Perkara berkaitan komunikasi, pengurusan masa, pembahagian kerja, logistik, disiplin dan penyelarasan antara unit turut dinilai bersama.

Sesi post-mortem bukan sahaja tertumpu kepada penilaian kem, tetapi turut memberi ruang kepada ahli untuk memahami kepentingan proses refleksi selepas sesuatu program dilaksanakan. Setiap maklum balas yang diberikan dapat digunakan sebagai rujukan untuk meningkatkan mutu pengurusan program JKM pada masa hadapan.

Ahli JKM KSJ dan JKM PLK berkongsi pandangan dalam sesi post-mortem bagi mengenal pasti penambahbaikan organisasi dan pelaksanaan program

Pengalaman Pengurusan Program yang Dinamik

Sepanjang pelaksanaan RISEUP Leadership Camp 2026, beberapa pengisian dan urusan program turut diselaraskan mengikut keperluan semasa. Situasi tersebut memberi pengalaman sebenar kepada peserta dalam mengendalikan perubahan dan menangani tugasan secara ad hoc.

Peserta perlu berkomunikasi dengan pantas, membuat keputusan, menyusun semula pembahagian tugas dan memastikan perjalanan program tidak terjejas. Keadaan ini menjadi latihan praktikal yang membantu meningkatkan keupayaan peserta dalam pengurusan krisis, penyelesaian masalah dan penyesuaian terhadap perubahan.

Pengalaman tersebut amat relevan dengan tanggungjawab sebagai pemimpin mahasiswa kerana pelaksanaan sesuatu program tidak semestinya berjalan sepenuhnya seperti yang dirancang. Kecekapan menyesuaikan diri, menjaga komunikasi dan mengekalkan kerjasama menjadi faktor penting dalam memastikan objektif program tetap dapat dicapai

 

Memperkukuh Sinergi JKM KSJ dan JKM LK

Sesi bergambar bersama para peserta dan urus setia Program RISEUP Leadership Camp 2026. 

Penganjuran Kem Pemantapan Jawatankuasa Kolej Pelajar: RISEUP Leadership Camp 2026 telah memperkukuh hubungan antara JKM KSJ dan JKM LK melalui pelbagai aktiviti yang memerlukan kerjasama, komunikasi dan rasa saling percaya.

Gabungan sesi pengurusan, aktiviti komuniti, Sesi Curhat, teambuilding, pengurusan majlis, jungle trekking dan post-mortem memberikan pengalaman pembangunan kepimpinan yang menyeluruh kepada peserta.

Program ini turut membantu peserta memahami bahawa kejayaan sesebuah organisasi bergantung pada kesediaan ahli untuk melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh, menyokong antara satu sama lain serta meletakkan kepentingan pasukan mengatasi kepentingan individu.

Secara keseluruhannya, RISEUP Leadership Camp 2026 berjaya menyediakan platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang membolehkan peserta meningkatkan kemahiran kepimpinan, pengurusan organisasi, komunikasi, daya tahan dan kerja berpasukan.

Pengalaman yang diperoleh sepanjang program diharapkan dapat diterjemahkan dalam pelaksanaan tanggungjawab dan program-program JKM seterusnya, sekali gus membantu melahirkan pemimpin mahasiswa yang lebih kompeten, berintegriti, bertanggungjawab dan bersedia menjadi agen perubahan positif dalam komuniti kolej serta universiti.

Secara keseluruhannya, RISEUP Leadership Camp 2026 berjaya menyediakan platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang membolehkan peserta meningkatkan kemahiran kepimpinan, pengurusan organisasi, komunikasi, daya tahan dan kerja berpasukan. Pengalaman yang diperoleh sepanjang program diharapkan dapat diterjemahkan dalam pelaksanaan tanggungjawab dan program-program JKM seterusnya, sekali gus membantu melahirkan pemimpin mahasiswa yang lebih kompeten, berintegriti, bertanggungjawab dan bersedia menjadi agen perubahan positif dalam komuniti kolej serta universiti. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih turut dirakamkan kepada UTM Holdings Sdn. Bhd. selaku penaja keseluruhan program atas kesudian menyediakan penginapan serta penggunaan fasiliti Temoh Valley Resort secara percuma, sekali gus menyumbang kepada kelancaran dan kejayaan penganjuran program ini. 

KOLABORASI UTM DAN SP SETIA FOUNDATION PERKASA PENDIDIKAN STEM MURID ORANG ASLI

KOLABORASI UTM DAN SP SETIA FOUNDATION PERKASA PENDIDIKAN STEM MURID ORANG ASLI

DENGKIL, 29 Julai – Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berjaya melaksanakan Program STEM AI @ SK Bukit Tampoi (Asli), Dengkil menerusi Program STEM Stars, sebuah inisiatif S P Setia Foundation dengan kerjasama Probino Solution, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid sekolah rendah daripada keluarga kategori B40.

Prof. Madya Ts. Dr. Roslina Mohammad menyampaikan taklimat kepada murid SK Bukit Tampoi (Asli) sebelum majlis perasmian yang disempurnakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Noresah Sapari

Program STEM Stars merupakan sebahagian daripada Setia Caring School Programme (SCSP) yang bertujuan memupuk minat, meningkatkan kefahaman dan membangunkan kompetensi murid dalam bidang STEM melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, aktiviti amali, pembelajaran berasaskan projek serta penyelesaian masalah dunia sebenar. Inisiatif ini turut memperkukuh kerjasama strategik antara universiti, sekolah dan industri dalam melahirkan generasi muda yang kreatif, inovatif dan berdaya saing.

Program di SK Bukit Tampoi (Asli) diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Roslina Mohammad, Ketua Projek merangkap Ketua Kumpulan Penyelidikan Vehicle Engineering Safety (VES), FAI UTM Kuala Lumpur. Beliau dibantu oleh lima orang STEM Experts, terdiri daripada pensyarah FAI, iaitu Dr. Mohamed Azlan Suhot, Dr. Hayati @ Habibah Abdul Talib dan Ts. Rafizah Musa, serta dua pensyarah Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), iaitu Dr. Nur Ayuni Shamsul Bahri dan Dr. Zatil Izzah Ahmad Tarmizi.

Murid Tahun 6 mengikuti sesi bimbingan projek bersama STEM Ambassadors UTM Kuala Lumpur menggunakan pendekatan Design Thinking dan pembelajaran berasaskan projek

Turut menjayakan program ialah sembilan orang STEM Ambassadors daripada FAI, MJIIT dan UTM SPACE yang diketuai oleh Akif Firdous Nor Azlan. Mereka bertindak sebagai fasilitator yang membimbing murid sepanjang aktiviti pembelajaran, pembangunan projek inovasi dan pembentangan hasil projek. Selain itu, dua orang STEM Ambassadors turut mengendalikan dokumentasi multimedia bagi tujuan pelaporan dan hebahan rasmi program.

Murid Tahun 5 membangunkan lakaran dan prototaip awal projek inovasi sebagai persediaan menghadapi pertandingan Program STEM Stars 2026

Program ini melibatkan seramai 60 murid Tahap 2 yang dibahagikan kepada sembilan kumpulan, melibatkan murid Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6. Setiap kumpulan dibimbing secara langsung oleh seorang STEM Ambassador dengan pemantauan daripada STEM Experts dan guru sekolah.

Sepanjang program berlangsung, murid didedahkan kepada pendekatan pemikiran reka bentuk (Design Thinking) bagi mengenal pasti sesuatu permasalahan, menjana idea penyelesaian, membangunkan prototaip menggunakan bahan yang mudah diperoleh serta membentangkan hasil inovasi mereka. Pendekatan pembelajaran berasaskan projek ini berjaya menggalakkan pemikiran kritis, kreativiti, kemahiran komunikasi, penyelesaian masalah dan kerja berpasukan dalam kalangan murid.

Murid Tahun 4 membentangkan projek inovasi kepada STEM Experts, STEM Ambassadors dan guru sekolah bagi menerima maklum balas serta memperkukuh kemahiran komunikasi

Program ini turut mendapat sokongan padu daripada Guru Besar SK Bukit Tampoi (Asli), Hjh. Norlita Ramli. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Noresah Sapari, yang merakamkan penghargaan kepada S P Setia Foundation dan UTM Kuala Lumpur atas komitmen berterusan memperkasa pendidikan STEM serta membuka peluang kepada murid meneroka dunia inovasi dan teknologi melalui pengalaman pembelajaran yang interaktif.

Murid SK Bukit Tampoi (Asli) bergambar bersama STEM Experts, STEM Ambassadors dan guru sekolah selepas majlis penutup Program STEM Stars 2026

Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan FAI UTM Kuala Lumpur bersama S P Setia Foundation dalam memperkukuh ekosistem pendidikan STEM menerusi kolaborasi strategik antara universiti, sekolah dan industri. Penglibatan pensyarah serta mahasiswa sebagai STEM Experts dan STEM Ambassadors bukan sahaja memperkaya pengalaman pembelajaran murid, malah menyemai minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan kecerdasan buatan sejak di bangku sekolah.

Melalui bimbingan berterusan sehingga pertandingan di peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan, Program STEM Stars diharapkan dapat melahirkan lebih ramai murid yang kreatif, inovatif, berfikiran kritis dan berpotensi menjadi peneraju teknologi serta inovasi negara pada masa hadapan.

KERATAN DARIPADA: UTMNEWSHUB – Kolaborasi UTM dan S P Setia Foundation perkasa pendidikan STEM murid Orang Asli (diterbitkan pada 19Julai 2026).

EDITOR: Assoc. Prof. Ts. Dr. Roslina Mohammad

PROGRAM SIMULASI LATIHAN KEBAKARAN (FIRE DRILL) 2026 TINGKAT KESIAPSIAGAAN PENGHUNI KOLEJ SISWA JAYA

PROGRAM SIMULASI LATIHAN KEBAKARAN (FIRE DRILL) 2026 TINGKAT KESIAPSIAGAAN PENGHUNI KOLEJ SISWA JAYA

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) menerusi Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ) dengan kerjasama Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT), Unit Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHE) UTMKL serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Bomba Setapak telah berjaya menganjurkan Program Simulasi Latihan Kebakaran (Fire Drill) 2026 bertempat di kawasan kediaman Kolej Siswa Jaya. Program latihan tahunan yang melibatkan penglibatan aktif seramai 400 orang penghuni kediaman. Latihan dimulakan secara rasmi apabila penggera kecemasan dan siren kebakaran dibunyikan di seluruh blok kediaman. Sebaik sahaja isyarat amaran kedengaran, para pelajar bertindak pantas mengosongkan bilik dan bergerak menerusi laluan evakuasi keselamatan menuju ke tempat berkumpul (Assembly Point) di Padang Kolej Siswa Jaya dengan bimbingan dan arahan daripada Ketua Aras serta pasukan ERT yang bertugas.

Proses semakan kehadiran dan headcount penghuni dilakukan secara teratur oleh Ketua Aras di Assembly Point.

Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia memberikan taklimat ulasan penilaian tahap evakuasi pelajar. 

terperangkap di Aras 1 Blok A akibat kecederaan kaki. Pasukan Search and Rescue (SAR) dan Pasukan Pertolongan Cemas ERT telah bertindak pantas memberikan rawatan awal di Astaka KSJ sebelum mangsa dipindahkan secara simulasi menggunakan ambulans ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). 

Pencapaian Utama: Proses pengungsian penuh bangunan (evacuation) berjaya diselesaikan dengan pantas dan teratur dalam tempoh masa yang ditetapkan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini, membuktikan kesiapsiagaan tinggi warga KSJ.

Para pelajar diberi pendedahan amali cara mengendalikan alat pemadam api semasa simulasi pemadaman api kebakaran. 

Pasukan Bomba bersiap sedia memantau jalannya simulasi pemadaman api dan keselamatan persekitaran.

Program diteruskan dengan sesi demonstrasi pemadaman api menggunakan alat pemadam api (fire extinguisher) yang disampaikan oleh pihak Bomba. Beberapa orang pelajar telah diberi peluang mencuba secara kendiri teknik pemadaman api jenis awal dengan betul dan selamat.

 Program Simulasi Latihan Kebakaran 2026 ini diakhiri pada jam 12:30 pagi dengan sesi fotografi bersama barisan Jawatankuasa Pelaksana, Pengetua Kolej Siswa Jaya, Dr. Mohamed Azlan bin Suhot, felo-felo kediaman, serta para pegawai bomba. Pengetua KSJ merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama padu dalam menjayakan program latihan keselamatan ini.

UTM Open Day