PROGRAM RAMAH MESRA PENGETUA: PENGENALAN JKM KSJ 25/26

PROGRAM RAMAH MESRA PENGETUA: PENGENALAN JKM KSJ 25/26

Kuala Lumpur, 12 Julai 2026 – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ) telah berjaya menganjurkan Program Ramah Mesra Pengetua bagi memperkenalkan barisan Ahli Jawatankuasa Mahasiswa (JKM) Kolej Siswa Jaya bagi sesi 2025/2026.

Program yang bermula pada jam 8.45 malam itu dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku diikuti bacaan doa bagi memohon keberkatan sepanjang majlis berlangsung. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua Kolej Siswa Jaya, yang menekankan peranan kepimpinan mahasiswa serta kepentingan kerjasama antara pihak pengurusan kolej dan pelajar.

Acara diteruskan dengan pengumuman barisan JKM KSJ sesi 2025/2026 yang disampaikan oleh Presiden JKM, serta pembentangan takwim program kolej bagi sesi 2026. Pembentangan ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai perancangan aktiviti dan hala tuju program kolej sepanjang tahun. Bagi memeriahkan suasana, satu sesi Kahoot interaktif telah diadakan dengan penyertaan para pelajar. Lima pemenang teratas telah menerima baucar eWallet Touch ’n Go sebagai penghargaan. Majlis kemudiannya disusuli dengan upacara penyampaian hadiah.

 

Program turut diserikan dengan segmen Keunggulan Terbilang sebelum diakhiri dengan sesi fotografi sebagai kenangan bersama. Majlis ditamatkan dengan jayanya, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak pengurusan kolej, barisan JKM, dan para pelajar Kolej Siswa Jaya.

WARGA KSJ BANTU CERIA SK PADANG TEMBAK 2 MELALUI GOTONG-ROYONG PIBG MADANI 2026

WARGA KSJ BANTU CERIA SK PADANG TEMBAK 2 MELALUI GOTONG-ROYONG PIBG MADANI 2026

Sukarelawan Kolej Siswa Jaya bekerjasama menceriakan laluan di SK Padang Tembak 2 sempena program Gotong-Royong PIBG MADANI Tahun 2026

KUALA LUMPUR, 11 Julai 2026 – Warga Kolej Siswa Jaya (KSJ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur menyumbangkan tenaga dalam program Gotong-Royong PIBG MADANI Tahun 2026 di Sekolah Kebangsaan Padang Tembak 2 (SKPT2). Penglibatan ini mencerminkan komitmen KSJ untuk membina hubungan dengan komuniti setempat melalui aktiviti kesukarelawanan.

Bertemakan “Bersama kita jaga, sekolah kita lebih indah!”, program ini menghimpunkan warga sekolah dan sukarelawan bagi membersihkan serta menceriakan persekitaran sekolah. Aktiviti tersebut menjadi ruang kerjasama antara institusi pendidikan dengan komuniti dalam mewujudkan suasana sekolah yang lebih teratur dan menarik.

Sukarelawan KSJ membantu kerja mengecat dan menceriakan laluan sekolah, termasuk memperkemas lukisan pada permukaan lantai. Tugasan ini dilaksanakan secara berkumpulan dengan pembahagian kerja bagi melengkapkan bahagian yang dicat.

Sukarelawan KSJ membantu menceriakan mercu tanda SK Padang Tembak 2 melalui kerja mengecat dan memperkemas kemasan

Selain laluan sekolah, sukarelawan turut membantu menceriakan mercu tanda berbentuk pensel yang menjadi antara elemen identiti SKPT2. Sumbangan tenaga dan ketelitian dalam melaksanakan tugasan ini menyerlahkan semangat kerjasama serta keprihatinan mahasiswa terhadap persekitaran pendidikan komuniti.

Secara keseluruhan, skop program yang digariskan pihak penganjur merangkumi kebun hidroponik dan tanaman landskap, surau, mercu tanda sekolah, laluan Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa), laluan pejalan kaki, kawasan parkir, dinding bangunan, tangga dan kantin.

Foto kenangan bersama warga SK Padang Tembak 2 sempena pelaksanaan Gotong-Royong PIBG MADANI Tahun 2026.

Penglibatan dalam program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mempraktikkan kemahiran kerja berpasukan, komunikasi dan penyelarasan tugasan dalam suasana sebenar. Interaksi dengan warga sekolah turut membuka ruang untuk memahami peranan sukarelawan dalam menyokong keperluan masyarakat.

KSJ merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Padang Tembak 2 atas kerjasama yang diberikan. Usaha bersama ini diharapkan dapat menjadi asas kepada kesinambungan program komuniti yang melibatkan warga kolej dan sekolah pada masa hadapan.

Poster Gotong-Royong PIBG MADANI Tahun 2026 yang berlangsung pada 11 Julai 2026 di SK Padang Tembak 2.

PROGRAM UNITY LEAGUE CUP – PIALA PENGETUA KOLEJ SISWA JAYA 2026

PROGRAM UNITY LEAGUE CUP – PIALA PENGETUA KOLEJ SISWA JAYA 2026

Perjalanan Program (Hari Pertama – 10 Jun 2026)

Program Unity League Cup – Piala Pengetua Kolej Siswa Jaya 2026 telah dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta dan pengesahan kehadiran pasukan yang mengambil bahagian. Setelah selesai pendaftaran, satu taklimat ringkas berkaitan peraturan pertandingan dan jadual perlawanan telah diberikan kepada semua peserta.

Sebanyak 8 pasukan futsal telah bertanding dalam pusingan awal yang dijalankan mengikut jadual yang ditetapkan. Semua perlawanan berlangsung dengan lancar dan para peserta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang pertandingan berlangsung.

Pada akhir pertandingan hari pertama, sebanyak 4 pasukan telah berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung pada 11 Jun 2026.

Sukan Bola Jaring yang berlangsung sepanjang Program Unity League Cup

Sukan Futsal yang berlangsung sepanjang Program Unity League Cup

Perjalanan Program (Hari Kedua – 11 Jun 2026)

Hari kedua Program Unity League Cup – Piala Pengetua Kolej Siswa Jaya 2026 diteruskan dengan perlawanan peringkat separuh akhir bagi kategori futsal yang melibatkan empat pasukan terbaik daripada pusingan awal. Semua perlawanan berlangsung dalam suasana yang kompetitif namun tetap mengekalkan semangat kesukanan dan sikap saling menghormati antara peserta.

Pada hari yang sama, pertandingan bola jaring turut dijalankan dengan penyertaan sebanyak tiga pasukan. Perlawanan berlangsung mengikut format yang telah ditetapkan dan mendapat sokongan serta sambutan yang menggalakkan daripada para peserta dan penyokong.

Setelah selesai perlawanan separuh akhir, pertandingan diteruskan dengan perlawanan akhir bagi kategori futsal dan bola jaring bagi menentukan juara keseluruhan. Majlis penyampaian hadiah kemudiannya diadakan sebagai penutup program bagi meraikan pasukan yang berjaya menjuarai setiap kategori serta menghargai penyertaan semua peserta.

Secara keseluruhannya, Program Unity League Cup – Piala Pengetua Kolej Siswa Jaya 2026 telah berlangsung dengan lancar dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penghuni Kolej Siswa Jaya, malah turut memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan gaya hidup sihat melalui penglibatan aktif dalam aktiviti sukan.

Johan Pertanding Futsal Unity League Cup

Naib Johan Pertandingan Futsal Unity League Cup

Johan Pertandinga Bola Jaring Unity League Cup

Naib Johan Pertanding Bola Jaring Unity League Cup

PROGRAM DESA @ KUALA SELANGOR 2026 PERKUKUH AGENDA STEM, KELESTARIAN DAN JARINGAN STRATEGIK KOMUNITI

PROGRAM DESA @ KUALA SELANGOR 2026 PERKUKUH AGENDA STEM, KELESTARIAN DAN JARINGAN STRATEGIK KOMUNITI

KUALA SELANGOR, 22 Mei 2026 – Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) menerusi Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Kolej Luar (JKM PLK) telah berjaya menganjurkan Program Daerah Edukatif, STEM & Aspirasi (DESA) @ Kuala Selangor 2026 bertempat di SMK Bukit Kuching Tengah dan SK Dato Maharajalela sebagai inisiatif pemerkasaan pendidikan STEM, pembangunan komuniti dan pembudayaan kelestarian secara menyeluruh dalam kalangan generasi muda.

Program berimpak tinggi ini menghimpunkan penglibatan strategik institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan, pihak industri serta komuniti setempat dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan luar bandar melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, inovasi teknologi dan pembangunan nilai masyarakat.

Selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG), pelaksanaan program ini menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti menerusi akses kepada pembelajaran STEM yang inklusif dan berkualiti, SDG 11: Komuniti dan Bandar Mampan melalui pemeliharaan budaya serta pembangunan komuniti desa, SDG 13: Tindakan Iklim menerusi pengukuhan kesedaran kelestarian alam sekitar, serta SDG 17: Perkongsian Demi Matlamat melalui kolaborasi rentas institusi dan industri.

Antara fokus utama program adalah memperkukuh sinergi strategik antara universiti, sekolah, agensi kerajaan dan komuniti masyarakat demi mewujudkan jaringan kerjasama yang mampan serta berimpak jangka panjang terhadap pembangunan pendidikan dan sosial masyarakat setempat. Program ini turut mengangkat elemen warisan komuniti seperti budaya sekampung, tradisi desa dan nilai kemasyarakatan sebagai komponen penting dalam membina keseimbangan antara kemajuan teknologi dan identiti sosial masyarakat.

Majlis turut menyaksikan Majlis Penandatanganan Surat Hasrat Rakan Strategik antara Universiti Teknologi Malaysia bersama SMK Bukit Kuching Tengah dan SK Dato Maharajalela yang disempurnakan oleh Prof. Dr. Fauziah binti Sh. Ahmad, Ketua Kampus Cawangan Kuala Lumpur. Kerjasama strategik tersebut mencerminkan komitmen berterusan institusi pendidikan dalam memperluas akses kepada pendidikan STEM, pembangunan bakat serta program pembangunan akademik dan sahsiah pelajar secara berterusan.

Prof. Dr. Fauziah binti Sh. Ahmad, Ketua Kampus Cawangan Kuala Lumpur Bersama Puan Norazilawati binti Ali Imran, Pengetua SMK Bukit Kuching Tengah

Prof. Dr. Fauziah binti Sh. Ahmad, Ketua Kampus Cawangan Kuala Lumpur Bersama En. Nizamuddin Bin Hj Abdul Majid, Pengetua SK Dato Maharajalela

Dari sudut pengisian akademik dan teknologi, Program DESA @ Kuala Selangor 2026 memberi penekanan signifikan terhadap pemerkasaan STEM melalui pelaksanaan modul interaktif yang menggabungkan elemen sains, teknologi, kejuruteraan dan pemikiran inovatif secara praktikal serta kontekstual.

 

Antara tarikan utama program ialah pameran teknologi Robot Arm & Spider, Bocobot serta EdupicoBot oleh JKM PLK yang memperlihatkan aplikasi asas automasi, sistem kawalan pintar dan robotik dalam dunia sebenar. Pameran ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada pelajar berkaitan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), malah berjaya meningkatkan minat terhadap bidang kejuruteraan, pengaturcaraan dan teknologi pintar yang semakin menjadi keperluan global masa kini.

Saudara Khamsah memberikan penerangan berkaitan robot Spider kepada para pengunjung

Saudara Farkhin memberikan penerangan berkaitan robot Arm kepada para pengunjung

Saudara Irfan memberikan penerangan berkaitan robot Bocobot (Raspberry Pi Pico) kepada para pengunjung

Saudara Najib  memberikan penerangan berkaitan robot Edupico  kepada para pengunjung

Bagi pelajar sekolah rendah, modul “Little Engineer, Big Mission: Save The Earth” telah dilaksanakan menggunakan pendekatan pembelajaran STEM berasaskan aktiviti hands-on dan eksplorasi kreatif bagi memupuk minat terhadap sains dan teknologi sejak usia awal. Modul ini turut menekankan elemen kelestarian alam sekitar melalui aktiviti penyelesaian masalah, pemikiran reka cipta serta kesedaran terhadap kepentingan penjagaan bumi dan pengurusan sumber secara lestari.

Para pelajar memperagakan model adiwira-adiwira bumi mereka

Para pelajar Tahun 4 menunjukkan hasil jambatan yang direka

Para pelajar Tahun 4 membina set kapal terbang magnetik yang ditaja oleh Yayasan Mr.DIY

Pertandingan kapal terbang magnetik

Para pemenang bersama hadiah yang disampaikan oleh Pengetua Kolej Siswa Jaya, Dr. Mohamed Azlan Bin Suhot

Sementara itu, pelajar Tingkatan 3 telah mengikuti modul “FutureMind STEM Lab: FLNG Model” yang memberi pendedahan kepada konsep Floating Liquefied Natural Gas (FLNG), teknologi tenaga moden serta aplikasi kejuruteraan dalam industri tenaga masa hadapan. Modul ini dibangunkan berasaskan pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan simulasi bagi memperkukuh pemahaman pelajar terhadap aplikasi teknologi serta penyelesaian kejuruteraan dunia sebenar.

Para pelajar diberi tunjuk ajar mengenai kaedah pembinaan model FLNG menggunakan blok LEGO

Para pelajar memasang komponen elektrik bagi model FLNG mereka

Hasil model FLNG yang sudah dibina

Puan Su Zalpha Bersama Encik Ilmi Bin Md. Yusop dalam sesi penyampaian model LEGO sebagai cenderamata penghargaan kepada pihak SMK Bukit Kuching Tengah

Pelaksanaan modul ini turut diperkukuh melalui perkongsian kepakaran oleh Dr. Mohd Fitri bin Mohd Yakub dan Ts. Muhammad Farhan bin Ahmad Fauzi daripada Jabatan Kejuruteraan Elektronik Sistem, Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur. Penglibatan kedua-dua tenaga akademik tersebut telah memberikan nilai tambah signifikan kepada modul melalui pendedahan profesional berkaitan teknologi, inovasi dan aplikasi kejuruteraan dalam sektor tenaga moden, sekali gus memperluas perspektif pelajar terhadap potensi kerjaya dan perkembangan industri berteraskan STEM pada masa hadapan.

Dr. Mohd Fitri Bin Mohd Yakub berkongsi kepakaran beliau kepada para pelajar

Ts. Muhammad Farhan bin Ahmad Fauzi menunjukkan cara pemasangan set elektrik

Sesi penjurian yang disertai oleh En. Farhan bersama fasilitator dari JKM KSJ

Selain itu, pelajar Tingkatan 4 turut mengikuti modul “Misi GenZ: Next Gen Leader” kendalian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang memberi penekanan terhadap pembangunan kepimpinan generasi muda, kemahiran komunikasi strategik, pemikiran kritis dan keupayaan membuat keputusan dalam mendepani cabaran dunia moden.

Sesi Ice Breaking bersama pelajar SMK Bukit Kucing Tengah

Pelajar membina model bagi modul The Sky High Infrastructure Challenge

Fasilitator menguji model yang dibina oleh para pelajar.

Pelajar Tingkatan 3 dalam sesi pitching sewaktu modul The Speak-Off Arena

Elemen kelestarian turut menjadi antara komponen utama program menerusi ceramah “Trash To Cash” yang disampaikan oleh En. Mohd Hairi bin Mat Fuzi, Pegawai Tadbir Bahagian Pendidikan Masyarakat SWCorp. Ceramah tersebut memberi pendedahan berkaitan pengurusan sisa pepejal, ekonomi kitar semula dan kepentingan amalan gaya hidup lestari dalam kalangan masyarakat.

En. Mohd Hairi bin Mat Fuzi bersama para pelajar dan Majlis Felo Kolej Siswa Jaya

Dalam masa yang sama, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Bin Sarip, Timbalan Pengarah Pusat Kelestarian Kampus UTMKL turut menyampaikan taklimat khas berkaitan pembangunan mampan dan agenda kelestarian global bagi meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar serta tanggungjawab sosial generasi masa hadapan.

Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Bin Sarip sewaktu sesi Taklimat Kelestarian

Penganjuran program turut menerima sokongan kukuh daripada pelbagai rakan strategik dan pihak industri. Yayasan Mr. DIY telah menyumbang penajaan bahan dan peralatan STEM bagi menyokong pelaksanaan modul pembelajaran interaktif, manakala Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) serta Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) telah menaja merchandise rasmi program.

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Prof. Dr. Fauziah binti Sh. Ahmad selaku Ketua Kampus Cawangan Kuala Lumpur hasil kolaborasi strategik bersama pihak industri seperti SWCorp dan Yayasan MR.DIY, sekali gus memperlihatkan potensi besar pelaksanaan program berasaskan komuniti sebagai platform pembangunan pendidikan, kelestarian dan inovasi sosial secara berterusan. Dalam masa yang sama, Cikgu Haslina daripada SK Dato Maharajalela turut menyatakan penghargaan dan rasa gembira terhadap penganjuran program ini serta berharap agar lebih banyak inisiatif seumpama ini dapat diteruskan oleh pihak UTM pada masa hadapan dengan pengisian aktiviti yang lebih meluas bagi meningkatkan minat pelajar terhadap bidang kejuruteraan, teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Prof. Dr. Fauziah binti Sh. Ahmad mendengar penerangan daripada Saudara Izzul berkaitan model FLNG yang dibina menggunakan blok LEGO.

Penganjuran Program DESA @ Kuala Selangor 2026 membuktikan bahawa pendekatan kolaboratif antara universiti, sekolah, industri dan komuniti mampu membentuk ekosistem pendidikan yang progresif, dinamik dan berorientasikan masa hadapan. Inisiatif sebegini bukan sahaja memperluas pendedahan pelajar terhadap bidang STEM dan teknologi, malah turut memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemacu pembangunan masyarakat, pemerkasaan bakat muda serta pembinaan komuniti lestari sejajar dengan aspirasi pembangunan negara.

PROGRAM CSR ALAM SEKITAR: PAPER MAKING WORKSHOP MEMUPUK KESEDARAN KELESTARIAN MELALUI KITAR SEMULA KERTAS

PROGRAM CSR ALAM SEKITAR: PAPER MAKING WORKSHOP MEMUPUK KESEDARAN KELESTARIAN MELALUI KITAR SEMULA KERTAS

KUALA LUMPUR, 23 Mei 2026 – Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) melalui Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ) telah menganjurkan Program CSR Alam Sekitar: Paper Making Workshop sebagai inisiatif memperkukuh kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar serta menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan mahasiswa dan komuniti setempat. Program ini bertujuan memberi pendedahan secara praktikal mengenai penggunaan semula bahan buangan, di samping meningkatkan kefahaman masyarakat tentang pengurusan sisa secara lestari.

 Program yang berlangsung pada hari Sabtu ini telah diadakan di Perumahan Awam (PA) Desa Rejang, Kuala Lumpur dengan penglibatan seramai 10 orang mahasiswa UTMKL bersama 30 orang penduduk PA Desa Rejang. Bengkel ini memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari proses menghasilkan kertas kitar semula secara manual menggunakan kertas terpakai yang diproses semula menjadi helaian baharu yang boleh digunakan dalam pelbagai aplikasi kreatif dan pendidikan.

Peserta menghasilkan kertas kitar semula menggunakan kertas terpakai

Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta diberi tunjuk ajar mengenai setiap langkah penghasilan kertas kitar semula bermula daripada proses mengoyakkan kertas terpakai, merendam, mengisar menjadi pulpa, membentuk helaian baharu menggunakan acuan khas, sehinggalah kepada proses pengeringan. Aktiviti berbentuk “hands-on” ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman peserta terhadap konsep ekonomi kitaran (circular economy), malah menunjukkan bahawa bahan yang sering dianggap sebagai sisa masih mempunyai nilai dan berpotensi untuk digunakan semula.

 Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila peserta daripada pelbagai lapisan umur menunjukkan minat yang tinggi sepanjang aktiviti dijalankan. Penglibatan aktif penduduk membuktikan bahawa pendidikan alam sekitar yang disampaikan melalui pendekatan praktikal mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mengurangkan pembaziran serta memupuk budaya penggunaan sumber secara lebih bertanggungjawab.

Sesi perkongsian mengenai proses penghasilan kertas kitar semula bersama penduduk PA Desa Rejang

Selain bengkel menghasilkan kertas kitar semula, program turut diserikan dengan sesi perkongsian mengenai pengendalian dan pelupusan sisa kimia isi rumah secara selamat. Sesi ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai risiko bahan kimia yang sering digunakan dalam kehidupan harian seperti bahan pencuci, cat, racun perosak dan bateri sekiranya dibuang secara tidak terkawal. Peserta turut diperkenalkan kepada kaedah pengasingan, penyimpanan sementara dan saluran pelupusan yang betul bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar serta risiko terhadap kesihatan awam.

 Melalui sesi perkongsian ini, peserta didedahkan kepada kepentingan pengurusan sisa kimia isi rumah yang lebih sistematik bagi mengurangkan pencemaran tanah dan sumber air. Penerangan yang diberikan turut membantu meningkatkan kesedaran komuniti bahawa setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan bahan buangan berbahaya diuruskan secara bertanggungjawab demi kesejahteraan bersama.

Sesi perkongsian mengenai pengurusan sisa kimia isi rumah secara selamat

Program ini turut menjadi platform yang mengeratkan hubungan antara mahasiswa UTMKL dengan komuniti setempat melalui aktiviti pemindahan ilmu yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat. Penglibatan mahasiswa dalam berkongsi pengetahuan serta membimbing peserta sepanjang bengkel mencerminkan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemangkin pembangunan komuniti dan penyebaran ilmu berkaitan kelestarian alam sekitar.

 Inisiatif seperti ini selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti, melalui penyampaian ilmu dan kemahiran berkaitan kelestarian secara praktikal kepada masyarakat. Program ini juga menyokong SDG 11: Sustainable Cities and Communities dengan menggalakkan amalan pengurusan sisa yang lebih mampan dalam komuniti setempat. Selain itu, usaha mengitar semula kertas serta mengurangkan pembuangan sisa ke tapak pelupusan menyumbang kepada SDG 12: Responsible Consumption and Production, yang menekankan penggunaan sumber secara cekap dan pengurangan penghasilan sisa.

 Di samping itu, pendedahan mengenai pengurusan sisa kimia isi rumah membantu mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar serta menyokong SDG 13: Climate Action melalui pengurangan impak negatif terhadap alam sekitar. Pengurusan sisa yang lebih baik juga menyumbang kepada pemeliharaan ekosistem daratan dan sumber air, sekali gus menyokong SDG 14: Life Below Water dan SDG 15: Life on Land dengan mengurangkan pencemaran yang boleh menjejaskan habitat semula jadi.

Program ini membuktikan bahawa usaha memupuk kesedaran terhadap kelestarian tidak semestinya bergantung kepada teknologi berskala besar, sebaliknya boleh dimulakan melalui pendidikan, perkongsian ilmu dan amalan harian yang mudah dilaksanakan. Pendekatan secara langsung bersama komuniti membolehkan ilmu berkaitan penjagaan alam sekitar disampaikan dengan lebih berkesan dan memberi impak yang berpanjangan kepada peserta.

 Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama para peserta, sukarelawan dan jawatankuasa penganjur sebagai tanda penghargaan atas komitmen semua pihak yang telah menjayakan program ini. Program CSR Alam Sekitar: Paper Making Workshop diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperluaskan lagi kesedaran masyarakat terhadap amalan kitar semula, pengurusan sisa yang bertanggungjawab serta kepentingan memelihara alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.

SUKARELAWAN KSJ SANTUNI KOMUNITI MELALUI KEJOHANAN MERENTAS DESA SK PADANG TEMBAK 2

SUKARELAWAN KSJ SANTUNI KOMUNITI MELALUI KEJOHANAN MERENTAS DESA SK PADANG TEMBAK 2

Sukarelawan Kolej Siswa Jaya bersama warga SK Padang Tembak 2 sempena Kejohanan Merentas Desa Tahun 2026.

KUALA LUMPUR, 9 Mei 2026 – Kolej Siswa Jaya (KSJ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur menyokong penganjuran Kejohanan Merentas Desa Sekolah Kebangsaan Padang Tembak 2 melalui penglibatan mahasiswa sebagai sukarelawan. Kerjasama ini menghubungkan warga kolej dengan komuniti sekolah menerusi aktiviti sukan dan khidmat masyarakat.

Kejohanan tersebut dijadualkan berlangsung dari pukul 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari, dengan tempat berkumpul di Dataran Iqra’, SK Padang Tembak 2 dan litar larian menggunakan laluan di KSJ UTM Kuala Lumpur. Penglibatan sukarelawan KSJ adalah susulan permohonan pihak sekolah bagi mendapatkan bantuan petugas untuk menyokong pelaksanaan kejohanan.

Sukarelawan KSJ membantu memasang sepanduk sebagai sebahagian daripada persediaan Kejohanan Merentas Desa SK Padang Tembak 2 Tahun 2026.

Sukarelawan KSJ turut membantu persediaan di lokasi program, termasuk pemasangan sepanduk kejohanan. Sumbangan tenaga mahasiswa ini mencerminkan semangat kerjasama dan kesediaan warga kolej untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan bersama institusi pendidikan berhampiran.

Kejohanan ini juga menyediakan ruang kepada murid untuk menyertai aktiviti fizikal di luar bilik darjah, di samping menyemai semangat kesukanan dan kegigihan. Suasana sepanjang laluan larian memperlihatkan penyertaan murid dengan sokongan warga sekolah dan petugas program.

Murid SK Padang Tembak 2 menyertai acara merentas desa menggunakan laluan di Kolej Siswa Jaya UTM Kuala Lumpur.

Bagi mahasiswa, penglibatan dalam program seumpama ini menyediakan peluang untuk mempraktikkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan tanggungjawab sosial melalui pengalaman sebenar bersama komuniti. Aktiviti kesukarelawanan turut menjadi wadah pembentukan sahsiah mahasiswa yang prihatin terhadap keperluan masyarakat setempat.

KSJ menghargai kepercayaan pihak SK Padang Tembak 2 untuk menjalin kerjasama dalam penganjuran kejohanan ini. Hubungan antara kolej kediaman dengan komuniti sekolah diharapkan dapat diteruskan melalui lebih banyak aktiviti pendidikan, sukan dan kesukarelawanan yang memberikan manfaat bersama.

UTM Open Day