PROJEK KOMUNITI UTM RAIH PENARAFAN BINTANG DALAM PENILAIAN CCIN 2025

PROJEK KOMUNITI UTM RAIH PENARAFAN BINTANG DALAM PENILAIAN CCIN 2025

Kuala Lumpur, 2025 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi mencatat kejayaan apabila projek komuniti bertajuk “Social Awareness and Soap Making Education for PPR Desa Rejang Community for Sustainable Future” telah dianugerahkan Penarafan Bintang 4 oleh Community and Industry Network (CCIN) UTM bagi tahun 2025.

Projek ini diketuai oleh Ts. Dr. Zatil Izzah Ahmad Tarmizi bersama barisan penyelidik dan ahli akademik daripada Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) serta rakan kolaborasi universiti. Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan komuniti melalui pendidikan kesedaran sosial dan kemahiran praktikal dalam menghasilkan sabun daripada minyak masak terpakai.

PEMERKASAAN KOMUNITI MELALUI INOVASI LESTARI

Program ini dilaksanakan di PPR Desa Rejang dengan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning), di mana komuniti didedahkan kepada teknik kitar semula minyak masak terpakai menjadi produk mesra alam. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar, malah membuka peluang kepada komuniti untuk menjana nilai ekonomi melalui penghasilan produk alternatif.

IMPAK SOSIAL DAN KELESTARIAN

Penarafan Bintang 4 yang diterima membuktikan keberkesanan projek dalam memberikan impak sosial yang signifikan kepada komuniti sasaran. Program ini berjaya menggabungkan elemen pendidikan, kelestarian dan inovasi secara holistik, selaras dengan aspirasi Sustainable Development Goals (SDG) khususnya dalam aspek penggunaan sumber secara bertanggungjawab dan pendidikan berkualiti.

PENGIKTIRAFAN KECEMERLANGAN

Penilaian oleh CCIN UTM mengambil kira aspek keberkesanan pelaksanaan program, impak kepada komuniti serta kelestarian hasil projek. Kejayaan ini mencerminkan komitmen tinggi warga akademik UTM dalam melaksanakan projek berimpak tinggi yang menyumbang kepada pembangunan masyarakat.

PENUTUP

Pencapaian ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif komuniti yang berteraskan inovasi dan kelestarian pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh peranan UTM sebagai institusi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

KSJ RAIH ANUGERAH KELESTARIAN DALAM MAJLIS CITRA KARISMA UTM 2025

KSJ RAIH ANUGERAH KELESTARIAN DALAM MAJLIS CITRA KARISMA UTM 2025

KSJ RAIH ANUGERAH KELESTARIAN DALAM MAJLIS CITRA KARISMA UTM 2025

Kuala Lumpur, 18 Ogos 2025 – Kolej Siswa Jaya (KSJ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur terus mencipta kecemerlangan apabila berjaya meraih Tempat Kedua (4 Green Leaf) dalam Anugerah Kelestarian (Kategori Kolej Kediaman) sempena Majlis Citra Karisma UTM 2025.

Pengiktirafan berprestij ini diberikan sebagai penghargaan terhadap komitmen KSJ dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kelestarian yang memberi impak positif kepada komuniti kampus serta alam sekitar sepanjang tahun 2024.

Anugerah tersebut mencerminkan usaha berterusan pihak pengurusan kolej bersama Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) dalam membudayakan amalan hijau, termasuk program kitar semula, pengurangan sisa, kesedaran alam sekitar serta pelaksanaan aktiviti berteraskan Sustainable Development Goals (SDG).

Majlis Citra Karisma merupakan platform tahunan universiti bagi mengiktiraf kecemerlangan warga UTM dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan, inovasi dan kelestarian. Kejayaan ini sekali gus membuktikan bahawa KSJ berada di landasan yang tepat dalam menyokong aspirasi kampus hijau dan pembangunan lestari universiti.

Pencapaian ini juga menjadi pemangkin kepada warga KSJ untuk terus mempergiatkan usaha dalam memperkukuh budaya kelestarian serta menjadikan kolej sebagai contoh terbaik dalam pengurusan kediaman mahasiswa yang mesra alam dan berdaya tahan.

FIRE DRILL KSJ PERKUKUH KESEDARAN KESELAMATAN PELAJAR

FIRE DRILL KSJ PERKUKUH KESEDARAN KESELAMATAN PELAJAR

18 Disember 2025 – Satu latihan kebakaran (fire drill) telah berjaya dilaksanakan di Kolej Siswa Jaya (KSJ) dengan penglibatan aktif para pelajar serta kerjasama pihak Bomba Setapak. Latihan ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran, kesiapsiagaan dan kefahaman pelajar terhadap prosedur keselamatan sekiranya berlaku situasi kecemasan sebenar.

Sepanjang latihan, para pelajar telah didedahkan dengan kaedah pemindahan yang selamat, cara pengendalian alat pemadam api serta kepentingan mematuhi arahan pasukan keselamatan. Simulasi kebakaran yang dijalankan secara realistik turut memberikan pengalaman bermakna kepada pelajar dalam membina keyakinan untuk bertindak dengan pantas dan berdisiplin.

Program ini turut mendapat kerjasama yang baik daripada jawatankuasa pelajar serta pihak keselamatan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan latihan.

Pihak kolej merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan. Diharapkan latihan seperti ini dapat membentuk budaya kampus yang lebih selamat, peka dan bertanggungjawab dalam kalangan warga KSJ.

DARI MAKMAL KE KAMPUNG: UTM CARE MEMPERKASA TANGGUNGJAWAB SOSIAL DI PAYA BESAR

DARI MAKMAL KE KAMPUNG: UTM CARE MEMPERKASA TANGGUNGJAWAB SOSIAL DI PAYA BESAR

Paya Besar, Pahang, 1 Disember – Program UTM CARE Paya Besar anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Paya Besar telah berlangsung dengan jayanya serta mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang informatif dan menarik. Program ini telah dirasmikan oleh Prof. Ts. Ir. Dr. Aminuddin Hj Abu, Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTMKL di Dewan Semai Bakti pada 28 November 2024. Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat, di samping mempromosikan pendidikan, teknologi serta gaya hidup lestari. Antara pengisian utama program termasuk aktiviti STEM yang memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk meneroka bidang Sains, Teknologi dan Matematik melalui soalan interaktif dan kuiz. Selain itu, pertandingan robotik turut mencuri tumpuan apabila para pelajar bersaing dalam mereka bentuk dan memprogram robot masing-masing.

Program ini turut menampilkan bengkel pembuatan sabun menggunakan minyak masak terpakai yang dikendalikan oleh tenaga pengajar UTM. Bengkel ini bukan sahaja memberi nilai pendidikan, malah menggalakkan amalan kitar semula secara praktikal dan menjimatkan kos. Di samping itu, pameran monumen Gundam hasil kreativiti pelajar UTM turut menarik perhatian pengunjung, sekali gus mempamerkan bakat dalam bidang seni bina dan reka bentuk. Dalam usaha mengeratkan hubungan komuniti, program ini turut diserikan dengan kenduri sekampung yang menyediakan hidangan tradisional serta memupuk semangat kerjasama antara pelajar UTM dan komuniti Felda. Selain itu, inisiatif tenaga hijau turut diketengahkan melalui pemasangan panel solar sebagai usaha mendidik masyarakat tentang kepentingan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

Program ini juga menampilkan Forum Perdana yang membincangkan isu semasa berkaitan kecerdasan buatan (AI), dengan penampilan khas Prof. Ts. Dr. Ali bin Selamat, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Forum ini mendapat sambutan yang baik, khususnya sesi kesedaran mengenai AI dalam kalangan penduduk Felda. Seorang penduduk tempatan, Encik Ahmad bin Hassan, menyatakan bahawa program seperti ini amat bermanfaat kepada komuniti, terutamanya dalam memberikan pendedahan terhadap teknologi dan pendidikan.

Secara keseluruhannya, Program UTM CARE Paya Besar telah berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasa komuniti serta mempromosikan gaya hidup lestari. Diharapkan inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi manfaat bersama.

UTM KUKUHKAN KEPIMPINAN GLOBAL DAN PEMBANGUNAN KOMUNITI MELALUI HSSR @ VIETNAM 2025

UTM KUKUHKAN KEPIMPINAN GLOBAL DAN PEMBANGUNAN KOMUNITI MELALUI HSSR @ VIETNAM 2025

HO CHI MINH CITY, 29 Nov – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur melalui Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Siswa Jaya (JKP KSJ) berjaya melaksanakan Ho Chi Minh City–Tay Ninh Social Responsibility (HSSR) @ Vietnam 2025, program empat hari berimpak tinggi yang mengukuhkan diplomasi pendidikan, pemindahan teknologi dan pembangunan komuniti melalui kerjasama antarabangsa.

Program bermula dengan kunjungan hormat ke Konsulat Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh City, di mana delegasi UTM Kuala Lumpur disambut oleh Consul General Firdauz Othman dan Vice Consul (Education), Koh Bee Ching. Sesi dialog memberi tumpuan kepada hubungan Malaysia–Vietnam serta peluang kerjasama pendidikan, selari dengan semangat kerjasama antarabangsa yang digariskan dalam SDG 17.

Membuat kunjungan hormat ke Pejabat Education Malaysia dan beramah mesra dengan Konsul General Malaysia, Firdauz Othman

Pada hari kedua, delegasi menghadiri Lawatan Pertukaran Teknologi, Informasi dan Budaya di Vietnam National University (VNU). Su Zalfa Mohamed dari UTM International memperkenalkan peluang mobiliti global, diikuti ceramah berkenaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) oleh Dr. Zatil Izzah Ahmad Tarmizi bertajuk Innovation in Waste Management & Renewable Energy, yang menyokong usaha memperkukuh pendidikan berkualiti serta inovasi teknologi seiring SDG 4 dan SDG 9. Sesi lukisan batik dan lawatan kampus turut mempererat hubungan budaya antara pelajar kedua-dua negara.

Melawat International University, Vietnam National University (VNU) serta beramah mesra dengan pelajar-pelajar VNU.

Komponen utama berlangsung pada hari ketiga dan keempat melalui aktiviti komuniti di Kampung Bau Bac dan Masjid Nurul Islam, Tay Ninh, komuniti Muslim minoriti di Vietnam. Delegasi UTM Kuala Lumpur memasang lampu solar di kawasan masjid sebagai inisiatif tenaga boleh diperbaharui yang menyokong SDG 7 melalui penyediaan pencahayaan lebih selamat dan berkesan kepada masyarakat. Pengagihan bungkusan makanan serta gotong-royong pembersihan pula memperkukuh elemen kesejahteraan sosial dan hubungan kemasyarakatan.

Pada sebelah malam, pasukan UTM menjalankan STEM Exploration & Young Innovators Lab melibatkan kanak-kanak kampung melalui aktiviti Build Your Own LEGO, Magnetic Car Race dan modul kejuruteraan asas. Walaupun berdepan cabaran komunikasi, fasilitator memastikan penyampaian ilmu berlangsung berkesan dan menarik, selari dengan usaha memperkukuh pendidikan STEM global.

Servis komuniti di Kampung Tay Ninh dengan menjalankan program STEM bersama kanak-kanak

Kemuncak program berlangsung pada hari keempat apabila delegasi dan komuniti setempat bergotong-royong memasak Bubur Lambuk versi Vietnam. Selepas solat Jumaat, bubur diagihkan kepada jemaah sebelum Majlis Penutupan HSSR 2025 yang menampilkan ucapan Ketua Kampung, Datuk Hakim Mansor, serta Dr. Mohamed Azlan Suhot, Pengetua KSJ. Majlis turut diserikan dengan penandatanganan Letter of Intent (LOI) antara UTM Kuala Lumpur dan komuniti Tay Ninh sebagai simbol komitmen berterusan terhadap pembangunan komuniti dan hubungan dua hala.

Delegasi bersama komuniti dan Ketua Kampung, Datuk Hakim Mansor

Program HSSR @ Vietnam 2025 menyuburkan kepimpinan global dan semangat kesukarelawanan mahasiswa UTM Kuala Lumpur, di samping memperkukuh hubungan antara institusi, komuniti dan negara. Program ini membuktikan peranan UTM sebagai pemacu pembangunan komuniti serantau, seterusnya mengangkat Malaysia di persada antarabangsa melalui inovasi, kemanusiaan dan kelestarian.

KURSUS KERJA-KERJA PAKAR HAWA DINGIN DITAWARKAN SECARA PERCUMA

KURSUS KERJA-KERJA PAKAR HAWA DINGIN DITAWARKAN SECARA PERCUMA

2 – 3 Disember 2025 – Satu kursus kemahiran bertajuk Kursus Kerja-Kerja Pakar Hawa Dingin akan dianjurkan dengan kerjasama pihak industri bagi memberi pendedahan praktikal kepada peserta dalam bidang penyaman udara (HVAC).

Kursus ini terbuka kepada individu yang berminat untuk meningkatkan kemahiran teknikal serta pengetahuan dalam bidang penyelenggaraan dan pemasangan sistem hawa dingin. Menariknya, penyertaan adalah percuma dan peserta juga berpeluang memperoleh sijil industri HVAC daripada Acson.

BUTIRAN PROGRAM

Tarikh: 2 & 3 Disember 2025
Masa: 10.00 pagi – 5.00 petang
Tempat: Bilik Kuliah 16 (06.62.01), MJIIT

MODUL KURSUS

  • Pengenalan Product Range
  • Reka bentuk Ducting & Piping
  • Pengiraan Heat Load
  • Inverter, Troubleshooting & Maintenance

KELEBIHAN PENYERTAAN

  • Sijil industri HVAC (Acson)
  • Pendedahan praktikal bersama pakar industri
  • Makanan disediakan

Penyertaan adalah terhad kepada 20 orang sahaja, justeru orang ramai yang berminat disarankan untuk mendaftar dengan segera melalui kod QR yang disediakan.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada:
En. Radhir Sham: 012-3578593
Pn. Norhafizah: 012-6131808

Program ini diharapkan dapat melahirkan lebih ramai individu berkemahiran dalam bidang teknikal serta menyokong pembangunan tenaga kerja mahir selaras dengan keperluan industri semasa.

UTM Open Day