PROGRAM FIESTA ‘25 DIBUKA MERIAH DENGAN PERASMIAN MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN SEIRING PROGRAM MENTAL HEALTH AWARENESS DAN UNBOCS

PROGRAM FIESTA ‘25 DIBUKA MERIAH DENGAN PERASMIAN MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN SEIRING PROGRAM MENTAL HEALTH AWARENESS DAN UNBOCS

SETAPAK, 31 Oktober – Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ) Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) dengan kerjasama Pusat Islam UTMKL, Pusat Darah Negara (PDN) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah menganjurkan program Fiesta ‘25 iaitu program hari terbuka kolej yang berlangsung selama tiga hari bermula 31 Oktober 2025 sehingga 2 November 2025.

Program ini bertujuan memperkenalkan Kolej Siswa Jaya (KSJ) kepada komuniti setempat serta mengeratkan hubungan antara pelajar dan masyarakat melalui pelbagai aktiviti menarik.

Pelbagai pengisian dan tarikan disediakan untuk para pengunjung termasuk derma darah, rumah hantu, gerai jualan, memanah, roller blade, basikal, wayang pacak, tazkirah maghrib, mini zoo, aktiviti kanak-kanak, pertandingan E-sport, Open Mic, persembahan PENTAS dan cabutan bertuah.

Program Fiesta ‘25 dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang memberi ucapan sekaligus merasmikan program Mental Health Awareness dan UNBOCS yang berlangsung seiring Fiesta ‘25. Majlis disempurnakan lagi dengan persembahan silat daripada ahli kelab Pencak Silat UTMKL.

YB Datuk Seri Dr. Zaliha juga meluangkan masa untuk membuat lawatan ke gerai pameran pelajar di UNBOCS dan melihat hasil dan inisiatif pelajar UTMKL dalam kelab dan persatuan mereka.

Program ini menerima sambutan menggalakkan daripada warga kampus dan komuniti sekitar yang hadir bagi menyertai aktiviti serta mengunjungi pameran kelab dan persatuan UTMKL di UNBOCS di samping sesi ceramah kesedaran mental yang dijalankan secara interaktif dan memberi peluang kepada pelajar untuk memahami dengan lebih mendalam tentang pentingnya kesejahteraan mental serta cara menghadapinya dengan berkesan.

Fiesta ‘25 melabuhkan tirai dengan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan E-sport, Open Mic dan cabutan bertuah, diikuti ucapan penutup oleh Pengarah Hal Ehwal Pelajar UTM Kuala Lumpur, Prof. Ir. Ts. Dr. Aminudin bin Hj. Abu. Bagi memeriahkan lagi acara penutupan, nyalaan bunga api menerangi suasana pada malam terakhir program, menandakan tamatnya acara selama tiga hari.

Fiesta ‘25 menonjolkan penglibatan aktif pelajar UTMKL dalam melaksanakan program berasaskan komuniti serta berperanan sebagai platform untuk memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat setempat.

MAJLIS RAMAH MESRA ANAK-ANAK PERAK BERSAMA NAIB CANSELOR ERATKAN HUBUNGAN MAHASISWA

MAJLIS RAMAH MESRA ANAK-ANAK PERAK BERSAMA NAIB CANSELOR ERATKAN HUBUNGAN MAHASISWA

15 Oktober 2025 – Majlis Ramah Mesra Anak-Anak Perak bersama YBhg. Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung dengan penuh kemesraan di Kolej Siswa Jaya (KSJ).Program ini menghimpunkan mahasiswa kelahiran Negeri Perak yang sedang menuntut di UTM Kuala Lumpur sebagai platform untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan pihak pengurusan tertinggi universiti.

Sepanjang majlis berlangsung, pelbagai pengisian telah diadakan termasuk sesi dialog dan perkongsian nasihat oleh Naib Canselor, di samping peluang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan serta aspirasi mereka. Suasana santai yang disertai sesi ramah mesra dan jamuan ringan turut berjaya mengeratkan hubungan antara mahasiswa, pihak pengurusan kolej serta Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM).

Penganjuran program ini dilihat mampu memperkukuh jati diri serta semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa, selain menyuntik motivasi untuk terus cemerlang dalam aspek akademik dan sahsiah diri.

Pihak Kolej Siswa Jaya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Naib Canselor atas kesudian meluangkan masa serta kepada semua mahasiswa Perak yang telah memeriahkan majlis ini. Program seumpama ini diharapkan dapat terus menjadi medium dalam membina komuniti mahasiswa yang berdaya tahan, berakhlak dan berwawasan.

SESI PERJUMPAAN TNC HEPA BERSAMA PELAJAR BAHARU KSJ PERKUKUH ASPIRASI MAHASISWA

SESI PERJUMPAAN TNC HEPA BERSAMA PELAJAR BAHARU KSJ PERKUKUH ASPIRASI MAHASISWA

9 Oktober 2025 – Sesi Perjumpaan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEPA) bersama pelajar baharu Kolej Siswa Jaya (KSJ) telah berlangsung dengan jayanya di Foyer Blok A, KSJ.

Program ini menyaksikan kehadiran yang memberangsangkan daripada para pelajar baharu yang berpeluang mendengar amanat serta perkongsian daripada TNC HEPA berkaitan peranan mahasiswa dalam membentuk masa depan yang cemerlang.

Antara pengisian utama yang diketengahkan termasuk peranan mahasiswa sebagai pemimpin masa depan, penerapan nilai integriti, disiplin dan akhlak dalam kehidupan kampus, peluang pembangunan diri melalui program universiti dan kolej, serta kepentingan kesejahteraan mental, kebajikan dan keharmonian komuniti kolej.

Sesi ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung melalui sesi soal jawab, sekali gus menjadikan program lebih interaktif dan bermakna. Kehadiran barisan pengurusan KSJ serta Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) turut membantu memastikan kelancaran perjalanan program.

Pihak kolej merakamkan penghargaan kepada semua pelajar baharu yang hadir dengan penuh komitmen. Diharapkan sesi ini dapat menjadi titik permulaan yang positif dalam membina semangat, motivasi dan jati diri pelajar sepanjang menempuh kehidupan sebagai mahasiswa di Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur.

LIBRARY ON AIR @KSJ: SEMBANG SISWA KUPAS BUKU ATOMIC HABITS, CETUS PERUBAHAN POSITIF

LIBRARY ON AIR @KSJ: SEMBANG SISWA KUPAS BUKU ATOMIC HABITS, CETUS PERUBAHAN POSITIF

7 Oktober 2025 – Program Library On Air @KSJ: Sembang Siswa Edisi Kedua telah berjaya dianjurkan dengan jayanya, menampilkan sesi perbincangan buku Atomic Habits yang memberi inspirasi kepada para peserta.

Program ini memberi fokus kepada kepentingan membina tabiat kecil yang konsisten sebagai asas kepada perubahan besar dalam kehidupan. Melalui perkongsian yang interaktif, para peserta didedahkan dengan konsep dan pendekatan praktikal dalam membentuk rutin harian yang lebih produktif dan berkesan.

Sesi ini turut diserikan dengan peranan moderator dan panel jemputan yang berkongsi pandangan serta pengalaman berkaitan aplikasi prinsip Atomic Habits dalam kehidupan seharian. Penglibatan aktif peserta sepanjang program menjadikan sesi perbincangan lebih dinamik dan bermakna.

Penganjuran program ini adalah hasil kerjasama antara Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) dan Kolej Siswa Jaya, yang bertujuan untuk memupuk budaya membaca serta memperkasa perkembangan diri dalam kalangan mahasiswa.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Diharapkan ilmu yang dikongsikan dapat menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam kehidupan seharian para peserta.

Rakaman program ini dijangka akan disiarkan melalui platform Facebook UTM Library Kuala Lumpur bagi membolehkan lebih ramai warga kampus mendapat manfaat daripada perkongsian tersebut.

PERARAKAN MAULIDUR RASUL DI DESA REJANG ERATKAN HUBUNGAN MAHASISWA DAN KOMUNITI

PERARAKAN MAULIDUR RASUL DI DESA REJANG ERATKAN HUBUNGAN MAHASISWA DAN KOMUNITI

27 September 2025 – Program Perarakan Maulidur Rasul bertemakan “Membangun Ummah Madani” anjuran Kolej Siswa Jaya (KSJ) dengan kerjasama komuniti PPR Desa Rejang telah berlangsung dengan penuh kesyukuran dan semangat kecintaan kepada Rasulullah SAW.

Program ini menyaksikan penyertaan pelajar KSJ serta penduduk setempat yang berhimpun seawal pagi sebelum memulakan perarakan sambil berselawat. Para peserta turut membawa sepanduk bertemakan Membangun Ummah Madani sebagai simbolik kepada usaha memperkukuh nilai keagamaan dan perpaduan dalam masyarakat.

Walaupun keadaan cuaca mendung, para peserta tetap menunjukkan semangat yang tinggi serta mempamerkan adab dan disiplin yang baik sepanjang program berlangsung. Suasana tersebut mencerminkan nilai persaudaraan dan keharmonian antara mahasiswa dan komuniti setempat.

Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, malah menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dan masyarakat melalui aktiviti berimpak sosial serta spiritual.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada komuniti PPR Desa Rejang, para pelajar KSJ, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM), serta barisan pengurusan KSJ atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program ini.

Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan sebagai usaha berterusan dalam memupuk kecintaan terhadap Rasulullah SAW serta memperkukuh nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

PROGRAM CITRA MERDEKA KSJ 2025 SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTISME DALAM KALANGAN PELAJAR

PROGRAM CITRA MERDEKA KSJ 2025 SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTISME DALAM KALANGAN PELAJAR

23 Ogos – 20 September 2025 – Program Citra Merdeka Kolej Siswa Jaya (KSJ) 2025 telah berlangsung dengan jayanya melalui pelbagai pengisian menarik yang menzahirkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air dalam kalangan pelajar.

Sepanjang tempoh penganjuran, para pelajar berpeluang menyertai aktiviti berteraskan sejarah, budaya dan warisan negara. Antaranya termasuk program Langkah Warisan yang membawa pelajar menelusuri lokasi bersejarah seperti Dataran Merdeka dan Masjid Jamek. Melalui sesi penerangan oleh fasilitator bertauliah, pelajar didedahkan dengan perkembangan awal Kuala Lumpur, seni bina serta peristiwa penting yang berkait rapat dengan kemerdekaan negara.

Program ini turut dimeriahkan dengan penganjuran Pertandingan Kostum Citra Merdeka Kanak-Kanak yang mempamerkan kreativiti serta keyakinan peserta cilik dalam menggayakan busana bertemakan Malaysia. Acara penutup pula diserikan dengan persembahan pelajar KSJ yang menampilkan bakat seni melalui nyanyian dan muzik berunsurkan patriotik.

Penganjuran Program Citra Merdeka ini berjaya mewujudkan suasana yang meriah dan bermakna, di samping menjadi platform untuk memupuk rasa cinta terhadap negara, menghargai warisan serta mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan warga kolej.

Pihak kolej merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga KSJ, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM), urus setia serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan sokongan dalam menjayakan program ini.

Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan sebagai usaha berterusan dalam membina komuniti mahasiswa yang bersemangat patriotik dan bersatu padu.

UTM Open Day