KSJ RAIH ANUGERAH KELESTARIAN DALAM MAJLIS CITRA KARISMA UTM 2025
Kuala Lumpur, 18 Ogos 2025 – Kolej Siswa Jaya (KSJ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur terus mencipta kecemerlangan apabila berjaya meraih Tempat Kedua (4 Green Leaf) dalam Anugerah Kelestarian (Kategori Kolej Kediaman) sempena Majlis Citra Karisma UTM 2025.
Pengiktirafan berprestij ini diberikan sebagai penghargaan terhadap komitmen KSJ dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kelestarian yang memberi impak positif kepada komuniti kampus serta alam sekitar sepanjang tahun 2024.
Anugerah tersebut mencerminkan usaha berterusan pihak pengurusan kolej bersama Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) dalam membudayakan amalan hijau, termasuk program kitar semula, pengurangan sisa, kesedaran alam sekitar serta pelaksanaan aktiviti berteraskan Sustainable Development Goals (SDG).
Majlis Citra Karisma merupakan platform tahunan universiti bagi mengiktiraf kecemerlangan warga UTM dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan, inovasi dan kelestarian. Kejayaan ini sekali gus membuktikan bahawa KSJ berada di landasan yang tepat dalam menyokong aspirasi kampus hijau dan pembangunan lestari universiti.
Pencapaian ini juga menjadi pemangkin kepada warga KSJ untuk terus mempergiatkan usaha dalam memperkukuh budaya kelestarian serta menjadikan kolej sebagai contoh terbaik dalam pengurusan kediaman mahasiswa yang mesra alam dan berdaya tahan.