Program SUKSES’19 merupakan satu program tahunan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej 9&10 yang melibatkan semua pelajar Tahun 1 untuk sertai program ini. Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk mencungkil bakat terpendam para mahasiswa dan mahasiswi dalam bidang sukan. Para mahasiswa dan mahasiswa yang mempunyai potensi yang tinggi dalam bidang sukan akan dipilih untuk mewakili kolej dalam kejohanan UTM Games dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi. Program ini telah diadakan pada 3 Oktober 2019 hingga 5 Oktober 2019 di Kolej 9&10 dan di Sport Hall 1. Program ini diarahkan oleh Miza Syazwani binti Mahaidhar, salah seorang pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, dan juga merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej 9&10. Program SUKSES’19 ini telah berlangsung selama 3 hari 2 malam. Program SUKSES’19 dianjurkan oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej 9&10 dibawah Biro Sukan dan Rekreasi. Program ini berjaya mencungkil bakat yang terpendam dalam kalangan pelajar Tahun 1 dan mereka telah terpilih untuk menyertai UTM Games dan peringkat yang lebih tinggi.
Objektif program ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan hubungan di kalangan pelajar dari kolej 9&10 dari pelbagai budaya bangsa dan agama serta terutama untuk pelajar berdaftar yang baru. Program ini juga diadakan untuk mengasah bakat kesukanan di antara penghuni kolej 9&10. Selain itu, program ini diadakan untuk meningkatkan semangat kesukanan dalam diri setiap pelajar. Akhir sekali, program ini diadakan untuk mengenal pasti mana-mana pelajar berbakat untuk mewakili kolej dan/atau UTM dalam peringkat sukan. Sepuluh sukan dan permainan yang telah dilaksanakan iaitu catur, karom, bola baling, bola jaring, sepak takraw, badminton, ping pong, futsal, bola tampar, dan tarik tali dan diakhiri dengan majlis penutupan program. Program ini bertujuan untuk melahirkan para mahasiswa dan mahasiswi yang berkebolehan dan berpotensi dalam bidang sukan di samping mewujudkan dan menjunjung gagasan integrasi yang padu dan jitu antara mahasiswa dan mahasiswi tanpa batasan bangsa dan agama. Program ini telah dirasmikan oleh felo Kolej 9&10 iaitu Dr. Fairuz Diyana. Majlis penutupan program telah diadakan di gelanggang futsal Kolej 9&10. Pada 3 Oktober 2019, peserta yang terlibat dengan permainan catur dan karom berkumpul di bilik Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej 9&10 pada pukul 8 malam untuk sesi pendaftaran. Pada pukul 8:30 malam, mereka telah diterangkan mengenai peraturan permainan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Pada pukul 9, permainan catur dan karom tersebut dimulakan dan berakhir pada pukul 11 malam.
Pada 4 Oktober 2019, peserta bagi acara sukan bola baling, bola jaring, dan sepak takraw telah untuk berkumpul di gelanggang Kolej 9&10 pada pukul 7:30 pagi. Mereka kemudian diberi sedikit taklimat mengenai peraturan setiap permainan dan kemudian ketiga-tiga acara berlangsung pada tepat pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 12 tengah hari. Pada pukul 2:30 petang, peserta yang terlibat dengan acara sukan badminton dan ping pong telah berkumpul di Sport Hall 1 untuk sesi pendaftaran dan taklimat mengenai peraturan permainan. Permainan dimulakan tepat pada pukul 3 petang dan berakhir pada pukul 6 petang. Kemudian, pada pukul 8 malam, peserta bagi acara sukan futsal telah berkumpul di gelanggang futsal Kolej 9&10 untuk sesi pendaftaran dan taklimat mengenai peraturan permainan pada pukul 8:30. Acara ini hanya dijalankan sehingga peringkat suku akhir kerana separuh akhir dan akhir akan dianjakkan kepada keesokan paginya. Pada pukul 9 malam, acara dimulakan dan berakhir pada pukul 11 malam. Pada 5 Oktober 2019, peserta yang menyertai acara sukan bola tampar, tarik tali dan futsal separuh akhir telah berkumpul di gelanggang kolej 9&10 untuk sesi pendaftaran pada pukul 7:30 dan taklimat mengenai peraturan permainan. Permainan bermula tepat pada pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 12 tengah hari. Majlis penutupan dilangsungkan pada pukul 12 tengah hari di gelanggang futsal Kolej 9&10 yang telah dirasmikan oleh felo kolej 9&10 iaitu Dr. Fairuz Diyana.
Program SUKSES’19 telah berjaya diadakan seperti yang dirancang. Semua aktiviti untuk program ini berjalan dengan lancar dengan bantuan semua ahli jawatankuasa program. Diharap agar program seperti ini akan berjalan dengan lebih lancar pada masa akan datang.