Pintu Gerbang dalam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Skudai

JOHOR BAHR – Proses kawalan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini akan diambil alih sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bermula esok hingga 3 Jun susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampus itu.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, segala keperluan asas dan kebajikan seluruh warga kampus UTM Johor Bahru akan diuruskan oleh MKN termasuk agihan makanan dan keperluan khususnya kepada pelajar yang tinggal di kolej kediaman.

“Pelaksanaan PKPD merupakan tindakan terbaik bagi mengekang penularan wabak daripada terus merebak, sekali gus memberi ruang kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan sanitasi dan pengesanan kontak terhadap kes-kes yang dilaporkan di kampus.

“Sungguhpun begitu, pengurusan universiti masih merupakan pemegang amanah utama terhadap kebajikan dan kesejahteraan seluruh warga kampus. Segala keperluan dan kebajikan warga kampus akan dipastikan terjaga dan terjamin,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya pada Khamis.

Ahmad Fauzi berkata, universiti itu akan menggerakkan bantuan secara berterusan kepada warga kampus yang terkesan.

Sehubungan itu beliau menasihati seluruh warga universiti terbabit agar kekal tenang, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan MKN dan KKM serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan penularan Covid-19.

UTM dalam satu kenyataan pula memaklumkan semua operasi fizikal di kampus UTM Johor Bahru tidak dibenarkan, dan kakitangan universiti itu diminta bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh PKPD kecuali kakitangan Pusat Kesihatan Universiti.


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/139486/BERITA/Nasional/PKPD-MKN-ambil-alih-kawalan-UTM-hingga-3-Jun
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf