Pada tanggal 14 Mac 2023, Majlis Watikah Pelantikan bagi Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2022/2023 telah berjaya dijalankan bertempat di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) . Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Datuk. Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail selaku Naib Canselor diiringi YBrs. Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin selaku Timbalan Naib Canselor (HEP). Kehadiran Pengarah Pembangunan Pelajar, Prof. Madya Dr. Azlan bin Abdul Latib serta barisan pegawai HEP bersama Majlis Pengetua dalam memeriahkan lagi Majlis Watikah Pelantikan ini amat dihargai oleh barisan MPP .

Antara amanat yang difokuskan oleh Naib Canselor adalah tanggungjawab Majlis Perwakilan Pelajar UTM sebagai wakil mahasiswa untuk menyalurkan kuasa sepenuhnya ke arah kebaikan dan kebajikan mahasiswa. Seperti yang dimaklumkan, mahasiswa yang terdapat dalam UTM adalah merangkumi 60% daripada golongan B40. Oleh itu, wakil pelajar ini seharusnya menjaga sepenuhnya kebajikan mahasiswa seperti mendengar keluhan mereka dan menolong mereka dari segi kewangan dan kepimpinan supaya mahasiswa memberi kepercayaan yang sepenuhnya terhadap MPP UTM untuk terus membantu UTM ke arah kejayaan.

Harapan kepada barisan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia adalah untuk menggalas dan menjalankan komitmen dengan penuh tanggungjawab, amanah dan profesional memetik daripada amanat Naib Canselor “be kind but be firm”.

Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Teknologi Malaysia
Sesi 2022/2023.