Pada 4 April 2023 yang lalu, kami dari Jabatan Kelestarian Kampus Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah mengadakan kunjungan hormat bersama Bahagian Unit Awam, Seksyen Projek Penyenggara (SPP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kami ingin memaklumkan bahawa pihak kami cakna tentang masalah berkaitan dengan kerosakan jalan raya di sekitar kampus, dan telah menjalankan pelbagai perbincangan bersama pihak SPP. Kami telah menggesa pihak SPP untuk segera mengambil tindakan dan mencepatkan proses penurapan jalan berlubang dan rosak di sekitar kawasan kampus.
Namun demikian, disebabkan oleh beberapa perkara seperti yang dinyatakan di dalam kenyataan rasmi, proses penurapan jalan di kawasan kampus tertunda.
Kami ingin menjelaskan bahawa langkah-langkah yang diperlukan telah diambil untuk memastikan penyelesaian masalah ini dapat dilakukan dengan cepat dan efektif. Walaupun jangkaan tarikh pelaksanaan tindakan ini adalah pada bulan Ogos 2023, pihak kami akan berusaha sebaik mungkinuntuk memastikan pihak SPP mencepatkan proses kerja yang berkaitan. Tambahan, pihak kami akan memberi komitmen secukupnya untuk menangani isu ini dengan sebaik mungkin.
Oleh itu, kami amat mengharapkan sokongan, kerjasama, dan kesabaran dari para mahasiswa/wi berkaitan isu ini. Kami juga memohon agar semua pengguna jalan raya sentiasa memandu dengan berhati-hati di sekitar kawasan kampus hingga proses penurapan jalan bermula. Keselamatan mahasiswa/wi merupakan prioriti kami, dan kami akan terus memantau situasi serta mengambil tindakan yang diperlukan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua mahasiswa/wi tetap terjaga.
Akhir kata, pihak kami ingin menekankan bahawa kami amat menghargai segala sokongan, kerjasama dan maklum balas daripada semua pihak. Sekiranya terdapat sebarang kekurangan atau masalah yang ingin disampaikan, pihak kami amat mengalu-alukan sesi perbincangan bersama pihak MPP. Pihak kami berjanji untuk terus memperbaiki dan meningkatkan prestasi kami dari semasa ke semasa demi menjaga kelestarian kampus UTM.
Sekian, terima kasih.
Jabatan Kelestarian Kampus
Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Teknologi Malaysia
Sesi 2022/2023.