MAGE ’26 DIRASMI MERIAH OLEH NAIB CANSELOR UTM
SEMARAK, 10 Januari 2026 – Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), telah menganjurkan Majlis Apresiasi Gemilang 2026 (MAGE ’26), program makan malam tahunan bagi pelajar tahun pertama UTMKL serta majlis penyampaian anugerah kepada pelajar cemerlang. Program ini berlangsung di Dewan Tan Sri Ainuddin Wahid dan bertemakan Melayu Tradisional.
Majlis ini bertujuan untuk meraikan pencapaian cemerlang pelajar serta mengiktiraf sumbangan mereka dalam pembangunan aktiviti sepanjang berada di KSJ dan kampus secara keseluruhan. Dengan pengiktirafan ini, diharapkan para penerima dan pelajar baharu terdorong untuk terus mengejar kecemerlangan holistik dalam kehidupan kampus. Program ini juga selaras dengan beberapa matlamat SDG (Sustainable Development Goals) termasuk SDG 4: Kualiti Pendidikan, SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh, serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat.
Program dirasmikan dengan meriah oleh YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, Naib Canselor UTMKL, yang menyampaikan ucapan dan pantun serta membunyikan gong sebanyak tiga kali menandakan perasmian majlis. Upacara ini diserikan lagi dengan persembahan Silat Cekak Hanafi IIUM (International Islamic University Malaysia) Gombak.
MAGE ’26 kemudian diteruskan dengan santapan malam untuk semua pelajar dan tetamu kehormat, lengkap dengan pelbagai hidangan tradisional Melayu, termasuk makanan berat, kuih-muih, dan manisan. Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional Joget Melayu daripada pasukan Mancasari, yang bergiat dalam bidang seni ini sehingga ke pentas ASEAN.
Acara kemuncak majlis ialah penyampaian anugerah dan cabutan bertuah. Anugerah Program Terbaik dimenangi oleh Adventure To Response The Community Of Southern Thailand, seterusnya, Anugerah Program JKM Terbaik menjadi milik FIESTA 2025. Anugerah Tokoh Harapan disandang oleh Muhammad Nabil Danish bin Ahmad Khir, dan Anugerah All Rounder dianugerahkan kepada Yee Chin Hoong. Pn. Su Zalpha Binti Mohamed dinobatkan sebagai Felo Terbaik, dan Cik Nur Amanina Binti Azmir menerima Anugerah Pembantu Felo Terbaik. Anugerah Presiden Terbaik dimenangi oleh Faiszul Farhan Bin Zainal. Selain itu, Anugerah Khas Pengetua Kolej Siswa Jaya diberikan kepada Diandra Azeeza Ridho dan Anugerah Khas Pengarah HEPA disandang oleh Muhammad Harraz Bin Shamsaidi. Setiap pemenang menerima plak penghargaan dan cek bernilai RM100.
Majlis turut menampilkan Anugerah Raja dan Permaisuri Anggun Malam, kategori untuk pemakaian terbaik, yang dimenangi oleh Mohammad Aiman Syafiq Bin Mohd Rofi dan Aina Syuhada Binti Bahrin. Sepanjang program, pelajar dapat menikmati pelbagai tarikan termasuk persembahan Mancasari dan PENTAS, serta merakam kenangan di Photobooth yang disediakan.
MAGE ’26 berjaya menggabungkan penghargaan akademik, hiburan tradisional, dan pengalaman sosial, menjadikannya salah satu program tahunan yang dinanti-nantikan di UTMKL. Majlis ini bukan sahaja meraikan kejayaan pelajar, tetapi turut memperkukuh semangat komuniti di kalangan warga kampus.








