2783.7 KILOGRAM HARAPAN: INISIATIF MYSAVEFOOD BAWA SENYUMAN KE KOLEJ SISWA JAYA

2783.7 KILOGRAM HARAPAN: INISIATIF MYSAVEFOOD BAWA SENYUMAN KE KOLEJ SISWA JAYA

Sri Rampai, Mac 2026 – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ) sekali lagi menunjukkan komitmen berterusan terhadap agenda kelestarian dan kebajikan komuniti melalui penglibatan aktif dalam Program MySave Food, sebuah inisiatif anjuran Pemuda GEMA yang memfokuskan usaha mengurangkan pembaziran makanan di bazar Ramadan serta membantu golongan yang memerlukan.

 Bertindak sebagai rakan kolaborasi di bawah nama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), JKM KSJ bersama barisan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar UTM telah melaksanakan operasi pengumpulan lebihan makanan di Bazar Sri Rampai. Makanan dan minuman yang dikumpulkan kemudiannya diagihkan kepada pelajar-pelajar Kolej Siswa Jaya, khususnya mereka yang memerlukan sokongan.

 

Antara aneka – aneka kuih dan makanan yang diperoleh dari Bazaar Sri Rampai

Gambaran situasi semasa pembahagian makanan kepada mahasiswa di Kolej Siswa Jaya

Operasi ini telah berlangsung selama lima hari, bermula 27 Februari hingga 3 Mac 2026. Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 2,783.7 kilogram makanan dan minuman berjaya dikumpulkan, sekali gus menyelamatkan anggaran nilai sebanyak RM36,540.03 daripada pembaziran. Data yang direkodkan menunjukkan sumbangan minuman adalah lebih tinggi berbanding makanan, berkemungkinan dipengaruhi oleh faktor cuaca dan corak kehadiran pengunjung bazar. Pemerhatian juga mendapati lebihan makanan dan minuman cenderung meningkat ketika keadaan cuaca kurang baik.

Menurut Muqri Naufal selaku Ketua Operasi Bazar Sri Rampai, walaupun jumlah sukarelawan adalah terhad dan berdepan cabaran operasi yang berbeza setiap hari, komitmen pasukan kekal utuh dalam memastikan objektif program tercapai. Beliau turut menekankan kepentingan memperluas pendedahan dan peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk terlibat dalam program berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat dan alam sekitar.

Pasukan MySaveFood bergambar bersama hasil kutipan makanan yang berjaya diselamatkan daripada pembaziran

Dari sudut impak global, Program MySave Food menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) termasuk SDG 1: No Poverty dan SDG 2: Zero Hunger melalui penyaluran bantuan makanan kepada golongan kurang berkemampuan. Selain itu, program ini turut menyumbang kepada SDG 13: Climate Action dengan anggaran sebanyak 5,297 kilogram pelepasan karbon dioksida (CO₂) berjaya dielakkan hasil daripada pengurangan pembaziran makanan.

Jumlah Makanan Diselamatkan & Pelepasan Karbon (CO₂) Berjaya Dicegah

Secara keseluruhannya, penglibatan JKM KSJ dalam inisiatif ini mencerminkan kesungguhan mahasiswa UTM dalam menggalas tanggungjawab sosial universiti serta memperkukuh budaya kelestarian dalam kalangan komuniti kampus dan setempat.

PELAJAR KOLEJ SISWA JAYA JAYAKAN PROGRAM KENDURI MENYAMBUT RAMADAN DI KUALA SELANGOR

PELAJAR KOLEJ SISWA JAYA JAYAKAN PROGRAM KENDURI MENYAMBUT RAMADAN DI KUALA SELANGOR

KUALA SELANGOR, 14 Feb – Semangat kekeluargaan dan kearifan tempatan menjadi tunjang utama bagi Program Desa Fasa 1 yang berlangsung meriah di Kuala Selangor hari ini. Program anjuran Kolej Kediaman Siswa Jaya (KSJ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini bertujuan untuk mendedahkan peserta kepada gaya hidup masyarakat desa serta mengekalkan tradisi “rewangan” yang kian ditelan zaman.

Program bermula seawal jam 6:30 pagi dengan sesi pendaftaran peserta di Kolej Kediaman (KSJ) sebelum bertolak ke lokasi di Kuala Selangor. Setibanya di sana, para peserta disambut mesra oleh penduduk kampung dalam majlis pembukaan ringkas yang merasmikan bermulanya aktiviti silaturahim ini.

Peserta memulakan hari dengan sesi suai kenal bersama keluarga angkat dan penduduk setempat. Sambil menikmati sarapan pagi, interaksi dua hala ini merapatkan jurang antara mahasiswa dengan masyarakat luar bandar, selaras dengan aspirasi UTM untuk melahirkan graduan yang peka terhadap realiti sosial.

 

Aktiviti kemuncak program adalah sesi ‘Rewangan’ iaitu gotong-royong menyediakan Nasi Ambeng. Mengenakan busana “Baju KSJ Merah” dan berkopiah, para peserta lelaki dan wanita bahu-membahu memotong bahan mentah, memasak, dan menghidangkan makanan secara tradisional. Aktiviti ini bukan sekadar memasak, malah merupakan proses pemindahan ilmu warisan (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) daripada warga emas kampung kepada generasi muda.

Menjelang petang, suasana bertukar menjadi lebih formal namun tetap meriah. Peserta mengenakan Baju Melayu lengkap berkopiah dan Baju Kurung bagi sesi Persiapan Kenduri. Kerjasama ini memuncak pada acara Kenduri Perdana Sambut Ramadhan, di mana semua pihak berkumpul untuk berdoa dan makan bersama, mencerminkan keharmonian komuniti (SDG 11).

.

Sepanjang program, pertandingan santai seperti membungkus nasi ambeng turut diadakan bagi memeriahkan suasana. Program diakhiri dengan sesi mengemas kawasan secara gotong-royong sebelum peserta bertolak pulang ke kampus pada jam 7:00 malam.

Pelaksanaan program ini secara langsung menyokong SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) menerusi kolaborasi erat antara UTM dan kepimpinan kampung. Selain itu, ia memupuk kesejahteraan mental dan sosial peserta (SDG 3) melalui aktiviti luar bilik darjah yang santai namun bermakna.

Diharapkan Program Kenduri Menyambut Ramadhan bersama Pelajar Kolej Siswa Jaya ini dapat diteruskan sebagai platform tetap bagi warga UTM untuk menyumbang bakti serta menyelami khazanah budaya bangsa yang tinggi nilainya.

AKTIVITI BOWLING JKM PLK PUPUK SEMANGAT KERJASAMA DAN KESEPADUAN PASUKAN

AKTIVITI BOWLING JKM PLK PUPUK SEMANGAT KERJASAMA DAN KESEPADUAN PASUKAN

25 Januari 2025 – Satu aktiviti santai berbentuk riadah telah dianjurkan melibatkan ahli Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) PLK sebagai usaha memperkukuh semangat kerjasama dan kesepaduan dalam kalangan ahli.

Aktiviti yang berlangsung di pusat boling ini menyaksikan penyertaan aktif para peserta dalam suasana yang ceria dan penuh semangat kebersamaan. Walaupun terdapat perbezaan prestasi sepanjang permainan, semangat saling menyokong dan kerjasama jelas terpancar dalam kalangan ahli.

Penganjuran aktiviti ini bukan sahaja bertujuan sebagai platform riadah, malah menjadi medium untuk membina hubungan yang lebih erat serta meningkatkan keserasian pasukan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai barisan kepimpinan pelajar.

Program seumpama ini dilihat mampu menyemai nilai positif seperti semangat berpasukan, komunikasi berkesan dan sokongan antara ahli, yang amat penting dalam memastikan kelancaran setiap program dan inisiatif yang dirancang sepanjang tahun.

Diharapkan semangat kebersamaan yang dipupuk melalui aktiviti ini dapat diteruskan dan diterjemahkan dalam pelaksanaan amanah serta tanggungjawab yang lebih besar pada masa akan datang.

PROGRAM SOLAT HAJAT DAN CERAMAH ISRAK MIKRAJ IRINGI MAHASISWA KSJ HADAPI PEPERIKSAAN

PROGRAM SOLAT HAJAT DAN CERAMAH ISRAK MIKRAJ IRINGI MAHASISWA KSJ HADAPI PEPERIKSAAN

15 Januari 2026 – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Siswa Jaya (KSJ) telah menganjurkan Program Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Ceramah Israk Mikraj di Surau KSJ bersempena musim peperiksaan akhir semester bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda.

Program dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti solat hajat serta bacaan Surah Yasin sebagai tanda munajat dan pengharapan agar dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan ketenangan dalam menghadapi peperiksaan.

Ceramah Israk Mikraj yang disampaikan turut menekankan kepentingan kekuatan iman, disiplin dalam menunaikan solat serta nilai pengorbanan dalam perjalanan menuntut ilmu.

Kehadiran mahasiswa yang memenuhi ruang surau mencerminkan kesedaran bahawa kejayaan akademik bukan sahaja bergantung kepada usaha intelektual, malah turut memerlukan kekuatan rohani dan doa yang berterusan.

Program ini diharapkan dapat memberi ketenangan jiwa serta meningkatkan keyakinan mahasiswa dalam menghadapi peperiksaan, seterusnya mencapai kejayaan yang cemerlang dan diberkati.

Pihak kolej turut mendoakan agar semua mahasiswa KSJ diberikan kemudahan, kefahaman yang jelas serta kejayaan dalam peperiksaan akhir semester.

PROGRAM RAMAH MESRA PENGETUA PERKENAL BARISAN JKM KSJ SESI 2025/2026

PROGRAM RAMAH MESRA PENGETUA PERKENAL BARISAN JKM KSJ SESI 2025/2026

Kolej Siswa Jaya, 12 Januari 2026 – Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Siswa Jaya (JKP KSJ) telah berjaya menganjurkan Program Ramah Mesra Pengetua bagi memperkenalkan barisan Ahli Jawatankuasa Mahasiswa (JKM) Kolej Siswa Jaya bagi sesi 2025/2026.

Program yang bermula pada jam 8.45 malam itu dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku diikuti bacaan doa bagi memohon keberkatan sepanjang majlis berlangsung. Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua Kolej Siswa Jaya, yang menekankan peranan kepimpinan mahasiswa serta kepentingan kerjasama antara pihak pengurusan kolej dan pelajar.

Acara diteruskan dengan pengumuman barisan baharu JKM KSJ sesi 2025/2026 yang disampaikan oleh Presiden JKM, serta pembentangan takwim program kolej bagi sesi 2026. Pembentangan ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai perancangan aktiviti dan hala tuju program kolej sepanjang tahun. Bagi memeriahkan suasana, satu sesi Kahoot interaktif telah diadakan dengan penyertaan para pelajar. Lima pemenang teratas telah menerima baucar eWallet Touch ’n Go sebagai penghargaan. Majlis kemudiannya disusuli dengan upacara penyampaian hadiah

Program turut diserikan dengan segmen Keunggulan Terbilang sebelum diakhiri dengan sesi fotografi sebagai kenangan bersama. Majlis ditamatkan dengan jayanya, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim antara pihak pengurusan kolej, barisan JKM, dan para pelajar Kolej Siswa Jaya.

MAGE ’26 DIRASMI MERIAH OLEH NAIB CANSELOR UTM

MAGE ’26 DIRASMI MERIAH OLEH NAIB CANSELOR UTM

SEMARAK, 10 Januari 2026 – Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), telah menganjurkan Majlis Apresiasi Gemilang 2026 (MAGE ’26), program makan malam tahunan bagi pelajar tahun pertama UTMKL serta majlis penyampaian anugerah kepada pelajar cemerlang. Program ini berlangsung di Dewan Tan Sri Ainuddin Wahid dan bertemakan Melayu Tradisional.

Majlis ini bertujuan untuk meraikan pencapaian cemerlang pelajar serta mengiktiraf sumbangan mereka dalam pembangunan aktiviti sepanjang berada di KSJ dan kampus secara keseluruhan. Dengan pengiktirafan ini, diharapkan para penerima dan pelajar baharu terdorong untuk terus mengejar kecemerlangan holistik dalam kehidupan kampus. Program ini juga selaras dengan beberapa matlamat SDG (Sustainable Development Goals) termasuk SDG 4: Kualiti Pendidikan, SDG 16: Keamanan, Keadilan dan Institusi Kukuh, serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat.

Program dirasmikan dengan meriah oleh YBrs. Prof. Dr. Mohd Shafry bin Mohd Rahim, Naib Canselor UTMKL, yang menyampaikan ucapan dan pantun serta membunyikan gong sebanyak tiga kali menandakan perasmian majlis. Upacara ini diserikan lagi dengan persembahan Silat Cekak Hanafi IIUM (International Islamic University Malaysia) Gombak.

MAGE ’26 kemudian diteruskan dengan santapan malam untuk semua pelajar dan tetamu kehormat, lengkap dengan pelbagai hidangan tradisional Melayu, termasuk makanan berat, kuih-muih, dan manisan. Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian tradisional Joget Melayu daripada pasukan Mancasari, yang bergiat dalam bidang seni ini sehingga ke pentas ASEAN.

Acara kemuncak majlis ialah penyampaian anugerah dan cabutan bertuah. Anugerah Program Terbaik dimenangi oleh Adventure To Response The Community Of Southern Thailand, seterusnya, Anugerah Program JKM Terbaik menjadi milik FIESTA 2025. Anugerah Tokoh Harapan disandang oleh Muhammad Nabil Danish bin Ahmad Khir, dan Anugerah All Rounder dianugerahkan kepada Yee Chin Hoong. Pn. Su Zalpha Binti Mohamed dinobatkan sebagai Felo Terbaik, dan Cik Nur Amanina Binti Azmir menerima Anugerah Pembantu Felo Terbaik. Anugerah Presiden Terbaik dimenangi oleh Faiszul Farhan Bin Zainal. Selain itu, Anugerah Khas Pengetua Kolej Siswa Jaya diberikan kepada Diandra Azeeza Ridho dan Anugerah Khas Pengarah HEPA disandang oleh Muhammad Harraz Bin Shamsaidi. Setiap pemenang menerima plak penghargaan dan cek bernilai RM100.

Majlis turut menampilkan Anugerah Raja dan Permaisuri Anggun Malam, kategori untuk pemakaian terbaik, yang dimenangi oleh Mohammad Aiman Syafiq Bin Mohd Rofi dan Aina Syuhada Binti Bahrin. Sepanjang program, pelajar dapat menikmati pelbagai tarikan termasuk persembahan Mancasari dan PENTAS, serta merakam kenangan di Photobooth yang disediakan.

MAGE ’26 berjaya menggabungkan penghargaan akademik, hiburan tradisional, dan pengalaman sosial, menjadikannya salah satu program tahunan yang dinanti-nantikan di UTMKL. Majlis ini bukan sahaja meraikan kejayaan pelajar, tetapi turut memperkukuh semangat komuniti di kalangan warga kampus.

 

UTM Open Day