KEM PEMANTAPAN JKM KSJ PERKUKUH KEPIMPINAN DAN SEMANGAT BERKUMPULAN

KEM PEMANTAPAN JKM KSJ PERKUKUH KEPIMPINAN DAN SEMANGAT BERKUMPULAN

1 – 3 Ogos 2025 – Kem Pemantapan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Sesi 2024/2025 anjuran Kolej Siswa Jaya (KSJ) telah berlangsung dengan jayanya di Chalet Anees, Kuala Terengganu.

Program selama tiga hari ini menghimpunkan ahli JKM dalam pelbagai aktiviti yang menekankan pembangunan diri, pengukuhan organisasi, khidmat komuniti serta aktiviti riadah yang mencabar dan berimpak tinggi.

Sepanjang kem berlangsung, para peserta telah menyertai Bengkel STEM di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud sebagai sebahagian daripada inisiatif khidmat komuniti. Selain itu, peserta turut mengikuti sesi pengurusan organisasi dan perancangan takwim JKM bagi memperkukuh kecekapan dalam pengurusan kepimpinan.

Aktiviti pemuliharaan alam sekitar dan gotong-royong komuniti di Pulau Redang turut diadakan, di samping aktiviti rekreasi seperti snorkeling serta riadah dan sukan pantai yang memupuk semangat berpasukan dalam kalangan peserta.

Penganjuran kem ini bukan sahaja berjaya mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli JKM, malah membantu membentuk nilai kepimpinan, kerjasama dan tanggungjawab sosial selaras dengan aspirasi Kolej Siswa Jaya dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing dan berwawasan.

Pihak kolej merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk felo, urus setia, ahli JKM serta rakan kerjasama atas komitmen dan dedikasi dalam menjayakan program ini.

Diharapkan pengalaman yang diperoleh sepanjang kem ini dapat menjadi pemangkin kepada ahli JKM untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga KSJ dan masyarakat.

PELAJAR SESMA SAHUT CABARAN JAMBATAN FUTURE ENGINEERS

PELAJAR SESMA SAHUT CABARAN JAMBATAN FUTURE ENGINEERS

KUALA TERENGGANU, 1 Ogos 2025 – Seramai 121 pelajar Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) menyertai “STEM: Future Engineers Bridge Challenge”, program jangkauan sains dan kejuruteraan anjuran Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ), UTM Kuala Lumpur. Inisiatif ini bertujuan mencetus minat serta memupuk kemahiran asas STEM dalam kalangan pelajar sekolah menengah melalui aktiviti hands-on.

Sepanjang program, pelajar membina model jambatan menggunakan bahan mudah seperti batang sate dan gam panas, lalu menguji ketahanan serta kestabilan struktur mereka. Aktiviti ini menghubungkan konsep bilik darjah—daya, imbangan dan reka bentuk struktur—dengan aplikasi kejuruteraan sebenar. Suasana menjadi lebih bermakna apabila pelajar bereksperimen, menambah baik prototaip dan melihat sendiri kekuatan serta kelemahan reka bentuk mereka ketika sesi ujian beban.

Program turut disempurnakan oleh Dr. Mohamed Azlan Suhot, Pengetua KSJ, yang berkongsi pandangan tentang fakulti baharu UTM – Fakulti Kecerdasan Buatan, selain menerangkan konsep utama kejuruteraan jambatan serta teknologi keselamatan struktur. Harapan beliau agar program ini menyuntik rasa ingin tahu dan semangat pelajar untuk meneroka dunia STEM dengan lebih mendalam.

Cabaran ini diketuai oleh Pengarah Program, Nurmahera Iswaliza Amiruddin, dengan sokongan pasukan fasilitator JKM KSJ yang memastikan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, inklusif dan berimpak. Turut diadakan penyampaian cenderahati kepada wakil SESMA sebagai tanda penghargaan.

Inisiatif ini sejajar dengan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) dan SDG 17 (Perkongsian Untuk Matlamat) melalui kerjasama erat antara institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah, serta pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman bagi melahirkan generasi jurutera masa depan.

KERATAN DARIPADA: UTM NewsHub – Future Engineers Bridge Challenge at SESMA (diterbitkan pada 2 Ogos 2025.)

EDITOR: MUHAMMAD NABIL DANISH BIN AHMAD KHIR

 

MINGGU SAINS “EMPOWERING YOUNG INNOVATORS” @ SK PADANG TEMBAK 2

MINGGU SAINS “EMPOWERING YOUNG INNOVATORS” @ SK PADANG TEMBAK 2

KUALA LUMPUR, 22 Julai 2025 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur melalui Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ) telah membawa pembelajaran STEM secara interaktif ke Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Tembak 2 menerusi Minggu Sains “Empowering Young Innovators”. Inisiatif ini menyasarkan murid Tahun 3 hingga Tahun 6 dengan pendekatan aktiviti hands-on yang dipimpin fasilitator pelajar UTM. 

Program yang diketuai oleh Pengarah Program, Muhammad Nabil Danish Ahmad Khir, memfokuskan penerapan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui stesen pembelajaran bertema, bagi memupuk rasa ingin tahu dan keberanian untuk meneroka idea baharu.

Antara tarikan utama ialah tiga reruai STEM yang direka khusus untuk murid sekolah rendah:

  1. Turbin Angin – pengenalan kepada tenaga boleh baharu dan cara penukaran tenaga angin kepada elektrik;
  2. Arduino Smart Car – asas robotik dan logik pengaturcaraan;
  3. Sistem Penapis Air – eksperimen mudah tentang penapisan dan kepentingan air bersih.

Sepanjang aktiviti, murid menunjukkan keterujaan yang tinggi—aktif bertanya, berkongsi idea, dan menyertai kuiz ringkas di setiap stesen sebagai pengukuhan pembelajaran. Pihak sekolah termasuk Guru Besar, Muhammad Nazri Musa, turut menyampaikan penghargaan atas usaha ini yang berjaya mencetus minat sains dan meningkatkan penglibatan murid.

Inisiatif ini menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui pembelajaran STEM yang inklusif dan mudah diakses, serta SDG 17: Perkongsian Untuk Matlamat melalui kerjasama strategik antara universiti dan komuniti sekolah. Program ini membuktikan peranan mahasiswa sebagai mentor dan role model dalam merapatkan jurang antara pendidikan tinggi dan pendedahan sains di peringkat awal.

KERATAN DARIPADA: UTMNEWSHUB – Empowering Young Innovators @ SK Padang Tembak 2 (diterbitkan pada 23 Julai 2025). UTM NewsHub
EDITOR: MUHAMMAD NABIL DANISH BIN AHMAD KHIR

UTM TERAJUI KOMPONEN STEM/AI DALAM PROGRAM MADANI RAKYAT 2025

UTM TERAJUI KOMPONEN STEM/AI DALAM PROGRAM MADANI RAKYAT 2025

LUMUT, 1 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur, melalui Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), telah dipilih bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menerajui Komponen 5: Pembangunan Modal Insan – yang merangkumi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik dan Kecerdasan Buatan (STEM/AI) dalam Program MADANI Rakyat 2025 di Lumut Waterfront, Perak.

Fakulti Kecerdasan Buatan UTM merupakan fakulti pertama seumpamanya di Malaysia dan pemilihan ini menandakan pengiktirafan besar terhadap keupayaan UTM dalam memacu inovasi kecerdasan buatan dan teknologi digital. Barisan fasilitator utama terdiri daripada pelajar kohort sulung FAI, yang menunjukkan kemahiran teknikal tinggi serta komunikasi berkesan sepanjang program.

Fasilitator dari FAI dan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) bekerjasama menjayakan pameran teknologi pintar yang interaktif dan mendidik

Menariknya, penganjuran kali ini turut mendapat sokongan daripada pelajar program Kejuruteraan Perisian (Software Engineering) UTM yang memainkan peranan penting sebagai fasilitator dalam pameran berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan sistem pintar. Kepakaran mereka dalam bidang pembangunan perisian dan aplikasi AI telah melengkapkan pasukan fasilitator UTM, sekali gus menonjolkan sinergi antara disiplin ilmu dalam menyampaikan teknologi kepada masyarakat.

Program MADANI Rakyat merupakan inisiatif nasional yang dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), dengan kerjasama pelbagai kementerian termasuk KPT dan Kerajaan Negeri Perak sebagai tuan rumah. Program berlangsung selama tiga hari, dari 13 hingga 15 Jun 2025, dan berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat. Majlis penutup disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Antara teknologi yang dibawakan oleh UTM dalam pameran STEM/AI termasuk teachable drone, arduino smart car, VR Welding, dan turbin angin lestari. Setiap stesen dipersembahkan dalam bentuk interaktif dan mesra pengguna, dikendalikan sepenuhnya oleh para pelajar dengan bimbingan tenaga pengajar.

Pelajar FAI UTM menerangkan fungsi Arduino Smart Car kepada pelajar sekolah rendah

Demonstrasi teknologi drone menarik perhatian guru dan pengunjung dewasa yang ingin mencuba pengalaman realiti maya

Turbin angin lestari menjadi tarikan utama dalam menyampaikan konsep tenaga boleh diperbaharui secara praktikal

Dua orang pensyarah FAI, Dr. Mohamed Azlan Suhot dan Dr. Mohd Azri Mohd Izhar, turut terlibat secara langsung sebagai penyelia dan penasihat teknikal sepanjang program. Turut melawat reruai UTM ialah Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, yang berinteraksi mesra dengan fasilitator dan menyampaikan penghargaan atas usaha dan pencapaian warga UTM.

Inisiatif ini turut disokong oleh program ‘Adopt a Kampung’ yang telah menjadi peneraju awal aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di UTM Kuala Lumpur sejak tahun 2014. Berdasarkan rekod pencapaian dan impaknya yang berterusan kepada komuniti luar bandar, program ini telah dipilih oleh pihak fakulti untuk menerajui pelaksanaan aktiviti STEM/AI dalam Program MADANI Rakyat 2025.

Sambutan pengunjung amat memberangsangkan. Golongan profesional memuji pendekatan yang bersifat hands-on dan berfokus kepada masa depan, manakala ibu bapa menyifatkan aktiviti ini sebagai pendedahan awal yang membuka minda anak-anak terhadap bidang sains dan teknologi. Pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas, pelajar, guru dan komuniti setempat turut menunjukkan minat tinggi terhadap teknologi yang dipamerkan. Penglibatan aktif UTM dalam program berskala nasional ini mengukuhkan peranan universiti sebagai pemacu agenda MADANI serta penyumbang utama dalam membina masyarakat celik teknologi, berdaya saing dan berinovasi.

UTMKL @ RUMAH RAHOMA: MENYEMAI MASA DEPAN MELALUI PENDIDIKAN

UTMKL @ RUMAH RAHOMA: MENYEMAI MASA DEPAN MELALUI PENDIDIKAN

KUALA LUMPUR, 25 Jun 2025 – Berhampiran kampus UTM Kuala Lumpur, program Tuisyen Rahoma 2025 dijalankan sebagai inisiatif pendidikan komuniti untuk anak-anak asuhan Rumah Rahoma. Diuruskan oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Pelajar Luar Kampus (JKM PLK), program ini menyediakan kelas percuma Bahasa Inggeris dan Matematik kepada 29 orang kanak-kanak, dengan modul disusun agar selari dengan silibus kebangsaan hasil libat urus bersama guru sekolah mereka.

Selama 10 minggu, fasilitator UTMKL — merangkumi pelajar prasiswazah dan pascasiswazah, tempatan serta antarabangsa — turun padang setiap Rabu malam untuk mengajar, membimbing serta memberi sokongan emosi. Fokusnya bukan sekadar akademik, tetapi juga membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi dan semangat bekerjasama dalam suasana pembelajaran yang selamat serta menyeronokkan. 

Program ini turut menerima sokongan rapat pihak pengurusan UTMKL dan komuniti Rumah Rahoma. Pihak pertubuhan menyatakan penghargaan atas komitmen berterusan pelajar UTM dalam memperkasa masa depan anak-anak melalui pendidikan yang berkualiti dan berperikemanusiaan.

Selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), inisiatif ini menyumbang kepada SDG 1 (Tiada Kemiskinan), SDG 3 (Kesihatan & Kesejahteraan), SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 5 (Kesaksamaan Gender), SDG 10 (Mengurangkan Ketaksamaan) dan SDG 11 (Bandar & Komuniti Mampan) melalui intervensi pendidikan yang inklusif serta hubungan erat universiti–komuniti.

KERATAN DARIPADA: UTM NewsHub – UTMKL at Rumah Rahoma: Growing Futures through Education (diterbitkan 26 Jun 2025).

EDITOR: MUHAMMAD NABIL DANISH BIN AHMAD KHIR

PROGRAM “FINANCIAL YOUTH” DI UTMKL PERKASA LITERASI KEWANGAN MAHASISWA

PROGRAM “FINANCIAL YOUTH” DI UTMKL PERKASA LITERASI KEWANGAN MAHASISWA

15 Jun 2025 – Satu program bertemakan Financial Youth Program telah berjaya dianjurkan di Bilik Ilmuwan 3, Menara Razak, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) hasil kerjasama antara Kolej Siswa Jaya (KSJ) dan Prudential Malaysia.

Program ini bertujuan memperkasakan literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa melalui pelbagai pengisian interaktif dan bermanfaat. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk Cash Flow Game, sesi pengenalan kepada insurans perlindungan serta seminar pengurusan kewangan yang disampaikan secara menarik dan mudah difahami.

Para peserta menunjukkan penglibatan yang aktif sepanjang program, sekali gus membuktikan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan pengurusan kewangan dalam kehidupan mahasiswa.

Penganjuran program ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai perancangan kewangan yang bijak, malah membantu mereka memahami kepentingan perlindungan kewangan serta pengurusan sumber secara berhemah.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta serta penceramah yang telah menjayakan program ini. Diharapkan ilmu yang dikongsikan dapat dimanfaatkan sebagai panduan dalam merancang masa depan kewangan yang lebih stabil dan teratur.

UTM Open Day