KUALA SELANGOR, 22 Mei 2026 – Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) menerusi Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Kolej Luar (JKM PLK) telah berjaya menganjurkan Program Daerah Edukatif, STEM & Aspirasi (DESA) @ Kuala Selangor 2026 bertempat di SMK Bukit Kuching Tengah dan SK Dato Maharajalela sebagai inisiatif pemerkasaan pendidikan STEM, pembangunan komuniti dan pembudayaan kelestarian secara menyeluruh dalam kalangan generasi muda.

Program berimpak tinggi ini menghimpunkan penglibatan strategik institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan, pihak industri serta komuniti setempat dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan luar bandar melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, inovasi teknologi dan pembangunan nilai masyarakat.

Selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG), pelaksanaan program ini menyokong SDG 4: Pendidikan Berkualiti menerusi akses kepada pembelajaran STEM yang inklusif dan berkualiti, SDG 11: Komuniti dan Bandar Mampan melalui pemeliharaan budaya serta pembangunan komuniti desa, SDG 13: Tindakan Iklim menerusi pengukuhan kesedaran kelestarian alam sekitar, serta SDG 17: Perkongsian Demi Matlamat melalui kolaborasi rentas institusi dan industri.

Antara fokus utama program adalah memperkukuh sinergi strategik antara universiti, sekolah, agensi kerajaan dan komuniti masyarakat demi mewujudkan jaringan kerjasama yang mampan serta berimpak jangka panjang terhadap pembangunan pendidikan dan sosial masyarakat setempat. Program ini turut mengangkat elemen warisan komuniti seperti budaya sekampung, tradisi desa dan nilai kemasyarakatan sebagai komponen penting dalam membina keseimbangan antara kemajuan teknologi dan identiti sosial masyarakat.

Majlis turut menyaksikan Majlis Penandatanganan Surat Hasrat Rakan Strategik antara Universiti Teknologi Malaysia bersama SMK Bukit Kuching Tengah dan SK Dato Maharajalela yang disempurnakan oleh Prof. Dr. Fauziah binti Sh. Ahmad, Ketua Kampus Cawangan Kuala Lumpur. Kerjasama strategik tersebut mencerminkan komitmen berterusan institusi pendidikan dalam memperluas akses kepada pendidikan STEM, pembangunan bakat serta program pembangunan akademik dan sahsiah pelajar secara berterusan.

Prof. Dr. Fauziah binti Sh. Ahmad, Ketua Kampus Cawangan Kuala Lumpur Bersama Puan Norazilawati binti Ali Imran, Pengetua SMK Bukit Kuching Tengah

Prof. Dr. Fauziah binti Sh. Ahmad, Ketua Kampus Cawangan Kuala Lumpur Bersama En. Nizamuddin Bin Hj Abdul Majid, Pengetua SK Dato Maharajalela

Dari sudut pengisian akademik dan teknologi, Program DESA @ Kuala Selangor 2026 memberi penekanan signifikan terhadap pemerkasaan STEM melalui pelaksanaan modul interaktif yang menggabungkan elemen sains, teknologi, kejuruteraan dan pemikiran inovatif secara praktikal serta kontekstual.

 

Antara tarikan utama program ialah pameran teknologi Robot Arm & Spider, Bocobot serta EdupicoBot oleh JKM PLK yang memperlihatkan aplikasi asas automasi, sistem kawalan pintar dan robotik dalam dunia sebenar. Pameran ini bukan sahaja memberi pendedahan awal kepada pelajar berkaitan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), malah berjaya meningkatkan minat terhadap bidang kejuruteraan, pengaturcaraan dan teknologi pintar yang semakin menjadi keperluan global masa kini.

Saudara Khamsah memberikan penerangan berkaitan robot Spider kepada para pengunjung

Saudara Farkhin memberikan penerangan berkaitan robot Arm kepada para pengunjung

Saudara Irfan memberikan penerangan berkaitan robot Bocobot (Raspberry Pi Pico) kepada para pengunjung

Saudara Najib  memberikan penerangan berkaitan robot Edupico  kepada para pengunjung

Bagi pelajar sekolah rendah, modul “Little Engineer, Big Mission: Save The Earth” telah dilaksanakan menggunakan pendekatan pembelajaran STEM berasaskan aktiviti hands-on dan eksplorasi kreatif bagi memupuk minat terhadap sains dan teknologi sejak usia awal. Modul ini turut menekankan elemen kelestarian alam sekitar melalui aktiviti penyelesaian masalah, pemikiran reka cipta serta kesedaran terhadap kepentingan penjagaan bumi dan pengurusan sumber secara lestari.

Para pelajar memperagakan model adiwira-adiwira bumi mereka

Para pelajar Tahun 4 menunjukkan hasil jambatan yang direka

Para pelajar Tahun 4 membina set kapal terbang magnetik yang ditaja oleh Yayasan Mr.DIY

Pertandingan kapal terbang magnetik

Para pemenang bersama hadiah yang disampaikan oleh Pengetua Kolej Siswa Jaya, Dr. Mohamed Azlan Bin Suhot

Sementara itu, pelajar Tingkatan 3 telah mengikuti modul “FutureMind STEM Lab: FLNG Model” yang memberi pendedahan kepada konsep Floating Liquefied Natural Gas (FLNG), teknologi tenaga moden serta aplikasi kejuruteraan dalam industri tenaga masa hadapan. Modul ini dibangunkan berasaskan pendekatan pembelajaran berasaskan projek dan simulasi bagi memperkukuh pemahaman pelajar terhadap aplikasi teknologi serta penyelesaian kejuruteraan dunia sebenar.

Para pelajar diberi tunjuk ajar mengenai kaedah pembinaan model FLNG menggunakan blok LEGO

Para pelajar memasang komponen elektrik bagi model FLNG mereka

Hasil model FLNG yang sudah dibina

Puan Su Zalpha Bersama Encik Ilmi Bin Md. Yusop dalam sesi penyampaian model LEGO sebagai cenderamata penghargaan kepada pihak SMK Bukit Kuching Tengah

Pelaksanaan modul ini turut diperkukuh melalui perkongsian kepakaran oleh Dr. Mohd Fitri bin Mohd Yakub dan Ts. Muhammad Farhan bin Ahmad Fauzi daripada Jabatan Kejuruteraan Elektronik Sistem, Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur. Penglibatan kedua-dua tenaga akademik tersebut telah memberikan nilai tambah signifikan kepada modul melalui pendedahan profesional berkaitan teknologi, inovasi dan aplikasi kejuruteraan dalam sektor tenaga moden, sekali gus memperluas perspektif pelajar terhadap potensi kerjaya dan perkembangan industri berteraskan STEM pada masa hadapan.

Dr. Mohd Fitri Bin Mohd Yakub berkongsi kepakaran beliau kepada para pelajar

Ts. Muhammad Farhan bin Ahmad Fauzi menunjukkan cara pemasangan set elektrik

Sesi penjurian yang disertai oleh En. Farhan bersama fasilitator dari JKM KSJ

Selain itu, pelajar Tingkatan 4 turut mengikuti modul “Misi GenZ: Next Gen Leader” kendalian Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang memberi penekanan terhadap pembangunan kepimpinan generasi muda, kemahiran komunikasi strategik, pemikiran kritis dan keupayaan membuat keputusan dalam mendepani cabaran dunia moden.

Sesi Ice Breaking bersama pelajar SMK Bukit Kucing Tengah

Pelajar membina model bagi modul The Sky High Infrastructure Challenge

Fasilitator menguji model yang dibina oleh para pelajar.

Pelajar Tingkatan 3 dalam sesi pitching sewaktu modul The Speak-Off Arena

Elemen kelestarian turut menjadi antara komponen utama program menerusi ceramah “Trash To Cash” yang disampaikan oleh En. Mohd Hairi bin Mat Fuzi, Pegawai Tadbir Bahagian Pendidikan Masyarakat SWCorp. Ceramah tersebut memberi pendedahan berkaitan pengurusan sisa pepejal, ekonomi kitar semula dan kepentingan amalan gaya hidup lestari dalam kalangan masyarakat.

En. Mohd Hairi bin Mat Fuzi bersama para pelajar dan Majlis Felo Kolej Siswa Jaya

Dalam masa yang sama, Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Bin Sarip, Timbalan Pengarah Pusat Kelestarian Kampus UTMKL turut menyampaikan taklimat khas berkaitan pembangunan mampan dan agenda kelestarian global bagi meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar serta tanggungjawab sosial generasi masa hadapan.

Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Bin Sarip sewaktu sesi Taklimat Kelestarian

Penganjuran program turut menerima sokongan kukuh daripada pelbagai rakan strategik dan pihak industri. Yayasan Mr. DIY telah menyumbang penajaan bahan dan peralatan STEM bagi menyokong pelaksanaan modul pembelajaran interaktif, manakala Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) serta Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) telah menaja merchandise rasmi program.

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Prof. Dr. Fauziah binti Sh. Ahmad selaku Ketua Kampus Cawangan Kuala Lumpur hasil kolaborasi strategik bersama pihak industri seperti SWCorp dan Yayasan MR.DIY, sekali gus memperlihatkan potensi besar pelaksanaan program berasaskan komuniti sebagai platform pembangunan pendidikan, kelestarian dan inovasi sosial secara berterusan. Dalam masa yang sama, Cikgu Haslina daripada SK Dato Maharajalela turut menyatakan penghargaan dan rasa gembira terhadap penganjuran program ini serta berharap agar lebih banyak inisiatif seumpama ini dapat diteruskan oleh pihak UTM pada masa hadapan dengan pengisian aktiviti yang lebih meluas bagi meningkatkan minat pelajar terhadap bidang kejuruteraan, teknologi dan kecerdasan buatan (AI).

Prof. Dr. Fauziah binti Sh. Ahmad mendengar penerangan daripada Saudara Izzul berkaitan model FLNG yang dibina menggunakan blok LEGO.

Penganjuran Program DESA @ Kuala Selangor 2026 membuktikan bahawa pendekatan kolaboratif antara universiti, sekolah, industri dan komuniti mampu membentuk ekosistem pendidikan yang progresif, dinamik dan berorientasikan masa hadapan. Inisiatif sebegini bukan sahaja memperluas pendedahan pelajar terhadap bidang STEM dan teknologi, malah turut memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemacu pembangunan masyarakat, pemerkasaan bakat muda serta pembinaan komuniti lestari sejajar dengan aspirasi pembangunan negara.

UTM Open Day