Sri Rampai, Mac 2026 – Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ) sekali lagi menunjukkan komitmen berterusan terhadap agenda kelestarian dan kebajikan komuniti melalui penglibatan aktif dalam Program MySave Food, sebuah inisiatif anjuran Pemuda GEMA yang memfokuskan usaha mengurangkan pembaziran makanan di bazar Ramadan serta membantu golongan yang memerlukan.
Bertindak sebagai rakan kolaborasi di bawah nama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), JKM KSJ bersama barisan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar UTM telah melaksanakan operasi pengumpulan lebihan makanan di Bazar Sri Rampai. Makanan dan minuman yang dikumpulkan kemudiannya diagihkan kepada pelajar-pelajar Kolej Siswa Jaya, khususnya mereka yang memerlukan sokongan.
Antara aneka – aneka kuih dan makanan yang diperoleh dari Bazaar Sri Rampai
Gambaran situasi semasa pembahagian makanan kepada mahasiswa di Kolej Siswa Jaya
Operasi ini telah berlangsung selama lima hari, bermula 27 Februari hingga 3 Mac 2026. Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 2,783.7 kilogram makanan dan minuman berjaya dikumpulkan, sekali gus menyelamatkan anggaran nilai sebanyak RM36,540.03 daripada pembaziran. Data yang direkodkan menunjukkan sumbangan minuman adalah lebih tinggi berbanding makanan, berkemungkinan dipengaruhi oleh faktor cuaca dan corak kehadiran pengunjung bazar. Pemerhatian juga mendapati lebihan makanan dan minuman cenderung meningkat ketika keadaan cuaca kurang baik.
Menurut Muqri Naufal selaku Ketua Operasi Bazar Sri Rampai, walaupun jumlah sukarelawan adalah terhad dan berdepan cabaran operasi yang berbeza setiap hari, komitmen pasukan kekal utuh dalam memastikan objektif program tercapai. Beliau turut menekankan kepentingan memperluas pendedahan dan peluang kepada mahasiswa dan mahasiswi untuk terlibat dalam program berimpak tinggi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat dan alam sekitar.
Pasukan MySaveFood bergambar bersama hasil kutipan makanan yang berjaya diselamatkan daripada pembaziran
Dari sudut impak global, Program MySave Food menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) termasuk SDG 1: No Poverty dan SDG 2: Zero Hunger melalui penyaluran bantuan makanan kepada golongan kurang berkemampuan. Selain itu, program ini turut menyumbang kepada SDG 13: Climate Action dengan anggaran sebanyak 5,297 kilogram pelepasan karbon dioksida (CO₂) berjaya dielakkan hasil daripada pengurangan pembaziran makanan.
Jumlah Makanan Diselamatkan & Pelepasan Karbon (CO₂) Berjaya Dicegah
Secara keseluruhannya, penglibatan JKM KSJ dalam inisiatif ini mencerminkan kesungguhan mahasiswa UTM dalam menggalas tanggungjawab sosial universiti serta memperkukuh budaya kelestarian dalam kalangan komuniti kampus dan setempat.