Kuala Lumpur, 23 Febuari – Program tahunan yang berprestij, “Jejak Cahaya
Ramadhan 2026″, telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya oleh Jawatankuasa Kolej
Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ). Program ini merupakan inisiatif utama
universiti dalam memupuk semangat kebersamaan, penghayatan nilai kerohanian, serta
pembentukan sahsiah mahasiswa selaras dengan konsep Ihya’ Ramadhan.
Pelaksanaannya juga bertujuan menyokong agenda pembangunan modal insan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur.
Program ini telah berlangsung bermula dari 23 Februari sehingga 11 Mac 2026. Lokasi
penganjuran tertumpu di Kolej Siswa Jaya (KSJ) kerana kedudukannya yang strategik
serta kemudahan fasiliti yang optimum bagi menguruskan kebajikan peserta. Selain itu,
aktiviti turut dijalankan secara atas talian (online) bagi meluaskan impak program.
Antara objektif utama yang telah berjaya dicapai sepanjang pelaksanaan Program
Jejak Cahaya Ramadhan 2026 ini adalah melibatkan aspek kesaksamaan sosial,
kebajikan pelajar, serta pemupukan nilai kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa.
Dari sudut kesaksamaan sosial, program ini telah berjaya membantu mahasiswa tanpa
mengira latar belakang ekonomi, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan
(SDG) 1 iaitu Membasmi Kemiskinan, dengan memastikan golongan yang memerlukan
tidak terpinggir daripada menerima bantuan.
Selain itu, aspek kebajikan pelajar turut diberi penekanan melalui usaha menyokong
SDG 2: Kelaparan Sifar, dengan menyediakan bantuan makanan khusus kepada pelajar
daripada golongan B40 dan asnaf, sekali gus memastikan keperluan asas mereka dapat
dipenuhi sepanjang bulan Ramadhan. Dalam masa yang sama, program ini turut
berjaya memupuk semangat kesukarelawanan dengan membina nilai empati,
keprihatinan serta tanggungjawab sosial dalam diri mahasiswa melalui penglibatan aktif
mereka dalam pelbagai aktiviti khidmat komuniti.
Sepanjang tempoh pelaksanaan program tersebut, pelbagai aktiviti teras telah
dijalankan dengan lancar dan teratur bagi mencapai objektif yang telah digariskan.
Antaranya ialah program Iftar Harian yang melibatkan pengagihan makanan berbuka
puasa kepada pelajar yang memerlukan, bagi memastikan mereka dapat menikmati
hidangan yang sempurna setiap hari sepanjang bulan Ramadhan. Selain itu, aktiviti
Agihan Kasih turut dilaksanakan. Di samping itu, inisiatif MySaveFood telah
diperkenalkan dengan mengumpul lebihan makanan daripada bazar Ramadhan untuk
diagihkan semula kepada mereka yang memerlukan, yang bukan sahaja membantu
mengurangkan pembaziran makanan malah turut mendidik masyarakat tentang
kepentingan kelestarian.
Bagi memeriahkan lagi suasana Ramadhan, aktiviti Trivia Ramadhan telah diadakan
pada 1 Mac 2026, yang berbentuk kuiz interaktif untuk menguji pengetahuan agama
pelajar dalam suasana santai dan menyeronokkan. Kemuncak kepada keseluruhan
program ini ialah penganjuran Ihya’ Iftar Perdana pada 16 Mac 2026, yang
menghimpunkan mahasiswa bersama pihak pengurusan universiti dalam satu majlis
berbuka puasa serta khatam Al-Quran, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim
dan menyemarakkan lagi semangat kebersamaan dalam bulan yang penuh keberkatan
ini.
Program ini melibatkan implikasi kewangan keseluruhan sebanyak RM 43,000.00.
Dana tersebut diperoleh melalui sumbangan strategik daripada Pusat Islam UTMKL (RM
15,000.00), Tajaan Luar (RM 14,800.00), Kumpulan Fima Berhad (RM 7,200.00), serta
peruntukan daripada Tabung Kolej Siswa Jaya dan Jabatan HEPA.
Secara keseluruhannya, Jejak Cahaya Ramadhan 2026 telah berjaya meninggalkan
impak positif yang besar, bukan sahaja kepada kebajikan mahasiswa, malah
memperkukuh hubungan antara pihak universiti dengan komuniti setempat menerusi
semangat amal jariah dan nilai-nilai murni.