KUALA SELANGOR, 14 Feb – Semangat kekeluargaan dan kearifan tempatan menjadi tunjang utama bagi Program Desa Fasa 1 yang berlangsung meriah di Kuala Selangor hari ini. Program anjuran Kolej Kediaman Siswa Jaya (KSJ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini bertujuan untuk mendedahkan peserta kepada gaya hidup masyarakat desa serta mengekalkan tradisi “rewangan” yang kian ditelan zaman.
Program bermula seawal jam 6:30 pagi dengan sesi pendaftaran peserta di Kolej Kediaman (KSJ) sebelum bertolak ke lokasi di Kuala Selangor. Setibanya di sana, para peserta disambut mesra oleh penduduk kampung dalam majlis pembukaan ringkas yang merasmikan bermulanya aktiviti silaturahim ini.
Peserta memulakan hari dengan sesi suai kenal bersama keluarga angkat dan penduduk setempat. Sambil menikmati sarapan pagi, interaksi dua hala ini merapatkan jurang antara mahasiswa dengan masyarakat luar bandar, selaras dengan aspirasi UTM untuk melahirkan graduan yang peka terhadap realiti sosial.
Aktiviti kemuncak program adalah sesi ‘Rewangan’ iaitu gotong-royong menyediakan Nasi Ambeng. Mengenakan busana “Baju KSJ Merah” dan berkopiah, para peserta lelaki dan wanita bahu-membahu memotong bahan mentah, memasak, dan menghidangkan makanan secara tradisional. Aktiviti ini bukan sekadar memasak, malah merupakan proses pemindahan ilmu warisan (SDG 4: Pendidikan Berkualiti) daripada warga emas kampung kepada generasi muda.
Menjelang petang, suasana bertukar menjadi lebih formal namun tetap meriah. Peserta mengenakan Baju Melayu lengkap berkopiah dan Baju Kurung bagi sesi Persiapan Kenduri. Kerjasama ini memuncak pada acara Kenduri Perdana Sambut Ramadhan, di mana semua pihak berkumpul untuk berdoa dan makan bersama, mencerminkan keharmonian komuniti (SDG 11).
.
Sepanjang program, pertandingan santai seperti membungkus nasi ambeng turut diadakan bagi memeriahkan suasana. Program diakhiri dengan sesi mengemas kawasan secara gotong-royong sebelum peserta bertolak pulang ke kampus pada jam 7:00 malam.
Pelaksanaan program ini secara langsung menyokong SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) menerusi kolaborasi erat antara UTM dan kepimpinan kampung. Selain itu, ia memupuk kesejahteraan mental dan sosial peserta (SDG 3) melalui aktiviti luar bilik darjah yang santai namun bermakna.
Diharapkan Program Kenduri Menyambut Ramadhan bersama Pelajar Kolej Siswa Jaya ini dapat diteruskan sebagai platform tetap bagi warga UTM untuk menyumbang bakti serta menyelami khazanah budaya bangsa yang tinggi nilainya.