Select Page

MERSING, 29 Okt. – Kolej Tuanku Canselor (KTC) meneruskan tradisi penganjuran Royal Camp 4.0 yang merupakan satu program tahunan untuk pelajar tahun pertama bgai kolej kediaman ini. Royal Camp kali ini yang berpaksikan tiga moto utama KTC iaitu Sinergi, Cemerlang, Dinamik, dirancang untuk mengembangkan potensi dan membina pelajar yang boleh menyumbang kepada KTC pada masa akan datang. 

Program yang telah diadakan di Srikandi Resort, Mersing ini telah disertai oleh 62 orang pelajar tahun pertama dan dibantu oleh fasilitator seramai 23 orang dan seorang felo pengiring, Dr. Mohamad Fadhli Rashid. Program selama dua hari dua malam itu, padat dengan modul-modul yang direka khas oleh unit modul Royal Camp sendiri. Modul-modul tersebut merupakan modul turun-temurun daripada unit modul yang lepas dan telah diolah mengikut kesesuaian peserta semasa.

Modul pertama yang merupakan modul ice breaking, merupakan sesi pembentukan 9 kumpulan kecil dan sesi suai kenal antara peserta dan fasilitator. Modul kedua pula merupakan satu aktiviti berkumpulan untuk menguji pemikiran kritis para peserta. Seterusnya, modul ketiga menekankan hal pengurusan di mana pengurusan masa, pengurusan sistem dan pengurusan kumpulan para peserta diuji. Aspek yang diuji dalam modul keempat adalah pengorbanan yang dilakukan untuk untuk mencapai sesuatu visi atau matlamat kumpulan. Dalam modul terakhir yang diberi nama Ultimate Game, para peserta perlu menggunakan kesemua aspek yang dipelajari daripada modul-modul sebelumnya untuk berjaya dalam modul terakhir ini. Di pengakhiran setiap modul, satu sesi breakdown akan diadakan untuk memastikan agar matlamat modul tersebut dapat dicapai. 

Muhammad Aiman Daniel Mohd Dafilah, salah seorang peserta Royal Camp 4.0 berkata program ini menggalakkan ikatan sesama pelajar tahun pertama dan untuk melatih kemahiran kepemimpinan para peserta. 

Saya ingin menanamkan keupayaan untuk melihat suatu situasi itu dari pelbagai perspektif dan bukannya hanya tersangkut di satu perspektif  dan mengambil pendekatan lain (mempertimbangkan jalan alternatif) bagi menyelesaikan masalah-masalah akan datang,” katanya kepada pihak penganjur lagi. 

Menurut Pengarah program Royal Camp 4.0  yang juga mantan Pengerusi Jawatankuasa Mahasiswa (JKM) 22/23, Khaizuran Bahri Kamardi Suhaili, program ini adalah untuk  untuk memastikan mahasiswa dan mahasiswi mempunyai visi tersendiri untuk meningkatkan kemahiran diri sepanjang berada di universiti dan juga untuk membentuk legasi pemimpin pada masa akan datang. Beliau juga berharap agar pelajar-pelajar KTC sentiasa cemerlang dan terus mempunyai azam untuk menyambung legasi kepimpinan KTC. 

Selain itu, menurut salah seorang ahli unit modul, saudara Amirul Hazim Amrin Ammaran, Royal Camp kali ini juga dapat mencapai tiga moto utama KTC; Sinergi, Cemerlang, Dinamik. Sinergi di sini yang dimaksudkan dengan hasil usaha sama antara individu atau organisasi itu lebih baik berbanding hasil kerja jika dilakukan secara persendirian dapat dicapai apabila semua ahli kumpulan sememangnya bersatu untuk mencapai misi mereka dari awal program sehingga ke penghujungnya. 

Seterusnya, Dinamik yang bermaksud keupayaan dan kekuatan serta kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan sebarang pembaharuan dan penambahbaikan demi mencapai kemajuan. Kedua-dua motto ini (Sinergi dan Dinamik) merupakan tunjang utama untuk mencapai satu matlamat yang sama iaitu Cemerlang yang juga merupakan moto terakhir KTC. Cemerlang yang diberi makna cemerlang dalam segala aspek melibatkan kemahiran insaniah. 

Royal Camp ini akan terus menjadi satu pentas untuk pelajar tahun satu KTC mencari dan mengembangkan bakat-bakat mereka sebagai pemimpin pada masa akan datang seterusnya melebarkan lagi sayap legasi KTC pada tahun-tahun akan datang.