+6 075537233 pku@utm.my

PUSAT ISLAM SUMBANG RM40,000 UNTUK RAWATAN HEMODIALISIS PELAJAR
JOHOR BAHRU 19 Mac 2025 – Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Unit Zakat telah menyumbang sejumlah RM40,000 kepada Unit Hemodialisis Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UTM Johor Bahru. Sumbangan ini diberikan khusus untuk membantu pelajar UTM yang memerlukan rawatan hemodialisis.
Sumbangan ini diserahkan dalam bentuk replika cek oleh Naib Canselor (NC) UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim diiringi oleh Prof. Madya Dr. Nurazmallail Marni kepada Pengarah PKU UTM, Dr. Mohd Firdaus Akmal dalam Majlis Lawatan Mahabbah. Prof. Madya Dr. Nurazmallail turut berkongsi mengenai rukhsah ibadah kepada pesakit mengenai kelonggaran dalam melaksanakan ibadah seperti solat dan puasa kepada pesakit yang sedang menjalani rawatan perubatan termasuk pesakit hemodialisis. Risalah kit ibadah juga disertakan dalam sumbangan ini bagi memudahkan pesakit memahami panduan ibadah yang sesuai dengan keadaan mereka.
Dr. Mohd Firdaus Akmal Azman mengucapkan terima kasih kepada Pusat Islam UTM atas sumbangan tersebut. Beliau menyatakan bahawa dana yang diterima akan digunakan sepenuhnya untuk membantu pelajar-pelajar UTM yang memerlukan rawatan hemodialisis dan memastikan mereka dapat menjalani rawatan dengan lebih selesa. Majlis ini diakhiri dengan doa agar sumbangan ini dapat memberikan manfaat yang besar kepada pelajar UTM dan membantu mereka meneruskan ibadah serta rawatan dalam keadaan yang lebih baik.