TARBIAH RAMADAN ’24

TARBIAH RAMADAN ’24

KUALA LUMPUR, 31 Mac 2024 – Jawantankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Siswa Jaya (KSJ) telah menganjurkan sebuah program kerohanian sempena bulan suci Ramadhan yang dinamakan Tarbiah Ramadhan ’24. Program ini bertujuan untuk mempertingkatkan amalan sunnah serta memperkukuh dimensi kerohanian dan penghayatan ibadah dalam kalangan pelajar, selaras dengan keberkatan bulan Ramadhan. Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar UTM Kuala Lumpur.

JKM KSJ menjadikan program peningkatan kerohanian ini sebagai acara tahunan yang melibatkan warga pelajar dan staf kolej. Sebagai salah satu daripada lima rukun Islam, ibadah puasa di bulan Ramadhan turut dihargai dengan penyediaan makanan percuma bagi pelajar untuk berbuka puasa.

Program dimulakan dengan Iftar Harian yang diadakan setiap petang di Surau KSJ. Iftar ini dihadiri dengan penuh oleh para pelajar setiap hari kecuali pada hujung minggu. Pelbagai jenis makanan yang lazat telah disediakan sepanjang program ini berlangsung.

Pelancaran Tarbiah Ramadhan 2024 telah diadakan pada 13 Mac 2024 bertempat di Bilik Kebudayaan Blok A Kolej Siswa Jaya. Majlis ini menandakan permulaan kepada siri program Ritme Ramadhan 2024. Cabaran Barakah pula merupakan pertandingan kuiz yang menguji pengetahuan peserta dalam bidang ilmu Islam. Seramai 30 orang pelajar telah menyertai pertandingan ini yang berlangsung selama dua hari dari 16 hingga 17 Mac 2024 secara atas talian.

Program MySaveFood pula merupakan hasil kerjasama bersama Pemuda GEMA KL. Makanan lebihan yang tidak terjual dari bazar telah dikumpulkan dan diagihkan kepada golongan yang memerlukan. Program ini berlangsung dari 20 Mac hingga 27 Mac 2024. Objektif utama program ini adalah untuk mengurangkan pembaziran makanan serta menyampaikan bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan secara percuma, seiring dengan perintah Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 31: “…dan makanlah serta minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”

Pada 27 Mac 2024, JKM KSJ turut bekerjasama dengan Kolej SPACE dalam Program Agihan Bubur Lambuk. Kedua-dua pihak berganding bahu memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada para pelajar di Kolej Siswa Jaya.

Khilwah Ramadhan menjadi penutup kepada keseluruhan program Tarbiah Ramadhan ’24. Ia telah berlangsung pada 29 Mac 2024 di Kolej Siswa Jaya. Program ini dimulakan dengan Majlis Khatam Al-Quran dan diakhiri dengan sesi berbuka puasa secara berjemaah. Program ini berjaya menarik penyertaan ramai pelajar yang hadir untuk sama-sama mengakhiri Ramadhan dengan penuh keberkatan.

EDITOR: MUHAMMAD NABIL DANISH BIN AHMAD KHIR

TARBIAH RAMADHAN SDG
LIGA SAHUR 2024

LIGA SAHUR 2024

KUALA LUMPUR, 27 Mac 2024 – Kejohanan Liga Sahur (Piala Pengetua KSJ) merupakan kejohanan tahunan yang dianjurkan di Kolej Siswa Jaya (KSJ) dengan melibatkan pelajar-pelajar yang menginap di dalam kolej dan luar kampus. Kejohanan ini dianjurkan bertujuan untuk mencungkil bakat-bakat pelajar di dalam arena sukan dan juga membantu kebajikan pelajar dengan memberi makanan sahur percuma selama empat hari kejohanan berlangsung. Selain itu, matlamat utama kejohanan ini juga adalah untuk mengeratkan ukhuwah dan mahabbah dalam kalangan pelajar tahun satu sehingga tahun empat yang berbeza kursus dan latar belakang akademik. Tambahan lagi, kejohanan seperti ini mampu memberi pilihan kepada pelajar muslim dan bukan muslim untuk melakukan aktiviti kesukanan di bulan Ramadan. Kejohanan ini telah berlangsung selama empat hari bermula pada 20 Mac hingga 23 Mac 2024 dengan melibatkan dua jenis sukan teras yang mendapat sambutan penyertaan yang menggalakkan dalam kalangan pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur iaitu Futsal bagi kategori lelaki dan Frisbee bagi kategori campuran.

Kejohanan ini telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) KSJ dengan kerjasama Seksyen Kecemerlangan Sukan UTM Kuala Lumpur. Kejohanan seperti ini merupakan satu platform yang terbaik untuk Seksyen Kecemerlangan Sukan memperkasakan bakat pelajar JKM KSJ di dalam bidang pengurusan sukan dan teknikal kejohanan. Secara tidak langsung, kejohanan seperti ini akan terus konsisten menjadi kejohanan tahunan dalam menyemarakan sambutan bulan Ramadan seterusnya memperkasakan inisiatif pencarian bakat dalam kalangan mahasiswa di UTM Kuala Lumpur. ISMA Mewah merupakan badan penaja utama yang teguh bersama dan menyokong Jawatankuasa Penganjur bagi tiga tahun yang berturut-turut dalam menjayakan kejohanan ini.

Pengetua KSJ, Dr. Mohamed Azlan bin Suhot; Ketua Seksyen Kecemerlangan Sukan, dan Penaja Utama Kejohanan ISMA MEWAH turut hadir pada hari terakhir kejohanan bagi menyaksikan perlawanan akhir futsal. Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Liga Sahur (Piala Pengetua KSJ) telah disempurnakan oleh Pengetua KSJ sendiri di Gelanggang Futsal KSJ.

“Kolej sentiasa menggalakkan dan menyokong kejohanan seperti ini. Ia menjadi satu branding dan acara tahunan di KSJ untuk mengasah bakat pelajar agar boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi” ucap pengetua KSJ semasa Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Liga Sahur (Piala Pengetua KSJ)

KERATAN DARIPADA : UTMNEWSHUB
EDITOR: MUHAMMAD NABIL DANISH BIN AHMAD KHIR

 

SDG Liga Sahur 2024
PROGRAM RAMAH MESRA PENGETUA 2024

PROGRAM RAMAH MESRA PENGETUA 2024

KUALA LUMPUR, 15 January 2024 -Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ) telah menganjurkan sebuah program sambutan yang meriah khas buat para pelajar tahun pertama. Program ini bertujuan untuk memperkenalkan pelajar baharu dari pelbagai peringkat pengajian — Asasi, Diploma dan Ijazah — kepada individu penting di kolej seperti pengetua, felo-felo, dan barisan kepimpinan JKM. Objektif utama program ini adalah untuk mewujudkan rasa mesra dan kekitaan dalam kalangan pelajar baharu dengan memperkenalkan mereka kepada pentadbiran kolej serta menjelaskan fungsi utama JKM dan jawatankuasa-jawatankuasanya.

Antara intipati utama program ini ialah sesi penyampaian oleh Pengetua KSJ dan Presiden JKM. Pengetua mengambil peluang ini untuk menjelaskan peraturan, garis panduan serta nilai-nilai yang diterapkan di Kolej Siswa Jaya. Sesi ini bukan sekadar menyampaikan peraturan, tetapi turut memberi kefahaman jelas tentang harapan pihak kolej terhadap pelajar dan membentuk rasa tanggungjawab dalam diri mereka. Seterusnya, Presiden JKM memperkenalkan pelbagai program yang dirancang sepanjang tahun akademik — merangkumi pelbagai bidang untuk memenuhi minat dan bakat pelajar. Ucapannya menjadi peta panduan kepada pelajar tentang bagaimana mereka boleh terlibat secara aktif dalam komuniti kolej yang dinamik ini.

Program orientasi ini turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti kuiz interaktif dan cabutan bertuah. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menambahkan elemen keseronokan, malah menjadi medium untuk para pelajar berinteraksi dan berkenalan sesama sendiri serta dengan pihak penganjur.

Keseluruhannya, Program Ramah Mesra Pengetua KSJ 2024 yang berlangsung pada 15 Januari telah menjadi langkah awal yang sangat bermakna dalam usaha menyambut dan menyatukan pelajar baharu ke dalam komuniti Kolej Siswa Jaya yang penuh semangat. Gabungan antara sesi maklumat dan aktiviti yang menarik menjadikan program ini satu pengalaman yang menyeluruh dan bermanfaat. Dengan ilmu yang diperoleh, hubungan yang terbina dan semangat kekitaan yang terjalin, para pelajar kini bersedia untuk menempuh cabaran serta peluang baharu sepanjang perjalanan mereka di KSJ.

EDITOR: MUHAMMAD NABIL DANISH BIN AHMAD KHIR

KOLEJ SISWA JAYA BERJAYA MERANGKUL TAHAP 3 BAGI PENILAIAN GREEN LEAF 2023

KOLEJ SISWA JAYA BERJAYA MERANGKUL TAHAP 3 BAGI PENILAIAN GREEN LEAF 2023

Kolej Siswa Jaya (KSJ) mencatatkan kejayaan yang membanggakan dalam penilaian Greenleaf 2023 dengan meraih pencapaian keseluruhan sebanyak 63%. Penilaian yang komprehensif ini mengukur pelbagai aspek kelestarian seperti pengurusan, pendidikan dan inovasi, hubungan komuniti, pemeliharaan alam sekitar, serta kesejahteraan warga kolej.

KSJ memperolehi markah penuh dalam kategori profil dengan skor sebanyak 15 daripada 15, yang menggambarkan kejelasan identiti serta profil pengurusan kolej yang teratur. Dalam elemen Alam Sekitar, KSJ menunjukkan prestasi cemerlang dengan skor 50 daripada 98 markah penuh, mencerminkan komitmen tinggi kolej terhadap pemeliharaan ekosistem, pengurusan tenaga, serta budaya dan warisan seni.

Elemen pendidikan dan inovasi turut diberi perhatian dengan perolehan markah sebanyak 25.5 daripada 48, menonjolkan usaha kolej dalam meningkatkan kesedaran kelestarian melalui aktiviti pendidikan dan penyelidikan inovatif.

Walaupun terdapat ruang untuk penambahbaikan khususnya dalam aspek pengurusan dan komuniti, pencapaian ini merupakan petanda positif dalam usaha KSJ menuju ke arah kolej yang lestari dan mesra alam. Kejayaan ini juga mengukuhkan lagi reputasi KSJ sebagai institusi yang serius dalam merealisasikan agenda kelestarian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

 

KOLEJ SISWA JAYA RAIH PENGIKTIRAFAN GREEN LEAF TAHAP 2 BAGI TAHUN 2022

KOLEJ SISWA JAYA RAIH PENGIKTIRAFAN GREEN LEAF TAHAP 2 BAGI TAHUN 2022

Kolej Siswa Jaya (KSJ) telah mencatatkan satu lagi pencapaian bermakna apabila berjaya meraih pengiktirafan Greenleaf Tahap 2 bagi tahun 2022. Dengan penilaian keseluruhan sebanyak 49%, kolej ini telah menunjukkan usaha berterusan dalam memperkasa inisiatif kelestarian.

Antara pencapaian utama termasuk aspek kesejahteraan yang memperoleh markah tertinggi sebanyak 90.5 daripada 120 markah penuh, serta pengurusan tenaga di bawah kategori alam sekitar yang mencatatkan skor sebanyak 53.5 markah. Inisiatif-inisiatif tersebut jelas mencerminkan komitmen KSJ dalam memupuk budaya lestari dan sejahtera di kalangan warga kolej.

Pengiktirafan Greenleaf ini adalah manifestasi kesungguhan kolej dalam menjadikan kelestarian sebagai teras pembangunan komuniti pelajar yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. KSJ bertekad untuk terus meningkatkan usaha dan pencapaian dalam tahun-tahun mendatang demi menjamin persekitaran yang lebih hijau dan mampan.

KOLEJ SISWA JAYA KUKUHKAN KEDUDUKAN DENGAN PENGIKTIRAFAN GREEN LEAF TAHAP 2 BAGI TAHUN 2021

KOLEJ SISWA JAYA KUKUHKAN KEDUDUKAN DENGAN PENGIKTIRAFAN GREEN LEAF TAHAP 2 BAGI TAHUN 2021

Kolej Siswa Jaya (KSJ) berjaya mengekalkan kedudukannya dalam penilaian kelestarian dengan menerima pengiktirafan Greenleaf Tahap 2 pada tahun 2021. Penilaian keseluruhan kolej ini mencatatkan skor sebanyak 450.5 daripada 1000, mencerminkan komitmen konsisten kolej terhadap pelaksanaan inisiatif-inisiatif lestari.

Dalam aspek Alam Sekitar, KSJ mencatat pencapaian yang kukuh dengan memperoleh 140 daripada 360 markah, di mana pengurusan tenaga merupakan elemen paling menonjol dengan skor 62.5 markah. Elemen Kesejahteraan turut mendapat perhatian khusus dengan pencapaian 85 daripada 120 markah penuh, menunjukkan usaha KSJ dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan pelajar termasuk golongan kelainan upaya.

Walaupun pencapaian dalam kategori pengurusan serta pendidikan dan inovasi memerlukan peningkatan lebih lanjut, KSJ berjaya mengukuhkan profil institusi dengan skor sebanyak 94 daripada 110. Usaha ini membuktikan kejelasan identiti serta visi kolej dalam menyokong agenda kelestarian di Universiti Teknologi Malaysia.

Pengiktirafan ini menandakan langkah positif KSJ untuk terus memperkukuhkan budaya hijau dan lestari di kalangan komuniti kampus pada masa hadapan.

UTM Open Day