17 April 2025 – Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Siswa Jaya (KSJ) telah berlangsung dengan meriah di Bilik Kebudayaan KSJ dalam suasana penuh kemesraan dan semangat kekeluargaan.
Majlis yang bertemakan perpaduan dan silaturahim ini telah dihadiri oleh pemimpin pelajar kolej, felo serta staf pengurusan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur. Kehadiran pelbagai lapisan warga kolej ini mencerminkan semangat kebersamaan dan keharmonian dalam komuniti KSJ.
Program ini turut dimeriahkan dengan sajian istimewa secara hidangan berhidang, di samping pelbagai pengisian menarik seperti persembahan pelajar, sesi bergambar serta dekorasi bertemakan Hari Raya yang menambahkan lagi seri majlis.
Penganjuran sambutan ini bukan sahaja menjadi platform untuk meraikan Aidilfitri, malah berperanan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kolej serta memupuk nilai perpaduan dalam kalangan komuniti.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang hadir dan terlibat dalam menjayakan program ini. Diharapkan semangat kekeluargaan dan ukhuwah yang terbina dapat terus diperkukuh dalam kalangan warga Kolej Siswa Jaya.