23 Ogos – 20 September 2025 – Program Citra Merdeka Kolej Siswa Jaya (KSJ) 2025 telah berlangsung dengan jayanya melalui pelbagai pengisian menarik yang menzahirkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air dalam kalangan pelajar.
Sepanjang tempoh penganjuran, para pelajar berpeluang menyertai aktiviti berteraskan sejarah, budaya dan warisan negara. Antaranya termasuk program Langkah Warisan yang membawa pelajar menelusuri lokasi bersejarah seperti Dataran Merdeka dan Masjid Jamek. Melalui sesi penerangan oleh fasilitator bertauliah, pelajar didedahkan dengan perkembangan awal Kuala Lumpur, seni bina serta peristiwa penting yang berkait rapat dengan kemerdekaan negara.
Program ini turut dimeriahkan dengan penganjuran Pertandingan Kostum Citra Merdeka Kanak-Kanak yang mempamerkan kreativiti serta keyakinan peserta cilik dalam menggayakan busana bertemakan Malaysia. Acara penutup pula diserikan dengan persembahan pelajar KSJ yang menampilkan bakat seni melalui nyanyian dan muzik berunsurkan patriotik.
Penganjuran Program Citra Merdeka ini berjaya mewujudkan suasana yang meriah dan bermakna, di samping menjadi platform untuk memupuk rasa cinta terhadap negara, menghargai warisan serta mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan warga kolej.
Pihak kolej merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga KSJ, Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM), urus setia serta semua pihak yang telah memberikan komitmen dan sokongan dalam menjayakan program ini.
Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan sebagai usaha berterusan dalam membina komuniti mahasiswa yang bersemangat patriotik dan bersatu padu.