KUALA LUMPUR, 31 Dis 2025 – Kolej Siswa Jaya (KSJ), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur terus menunjukkan komitmen tinggi terhadap agenda kelestarian apabila memperuntukkan lebih RM114,000 bagi pelaksanaan pelbagai program berimpak sepanjang tahun ini.
Peruntukan tersebut merangkumi pelbagai inisiatif yang menyokong pembangunan pelajar secara holistik, termasuk program berteraskan kelestarian alam sekitar, penglibatan komuniti, serta pembangunan kepimpinan mahasiswa. Antara program utama yang dilaksanakan termasuk USR Alam Sekitar, Fiesta @ KSJ 2025, Program STEM Future Leader, Liga Sahur, Cahaya Ramadan serta pelbagai aktiviti komuniti dan kesedaran.
Menurut pihak pengurusan KSJ, pelaburan dalam program-program ini bukan sahaja bertujuan memperkasa pengalaman pembelajaran pelajar, malah berfungsi sebagai platform “living lab”, di mana pelajar berpeluang merancang dan melaksanakan projek sebenar bersama komuniti.
“Pendekatan ini membolehkan pelajar bukan sahaja memahami konsep kelestarian secara teori, tetapi turut mengaplikasikannya dalam situasi sebenar yang memberi impak kepada masyarakat dan persekitaran,” ujar wakil pengurusan KSJ.
Selain itu, program-program yang dilaksanakan turut menyumbang kepada usaha universiti dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti, komuniti lestari, penggunaan sumber secara bertanggungjawab serta tindakan terhadap perubahan iklim.
Komitmen kewangan ini mencerminkan peranan KSJ sebagai institusi kediaman pelajar yang bukan sahaja menyediakan kemudahan penginapan, malah bertindak sebagai pemangkin kepada pembentukan warga kampus yang berdaya tahan, beretika dan prihatin terhadap kelestarian.
Dengan pendekatan yang sistematik dan berterusan, KSJ optimis bahawa inisiatif ini akan terus memperkukuh budaya kelestarian dalam kalangan warga kolej serta menyumbang kepada pembangunan kampus hijau yang inklusif dan mampan.