SETAPAK, 31 Oktober – Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ) Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL) dengan kerjasama Pusat Islam UTMKL, Pusat Darah Negara (PDN) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah menganjurkan program Fiesta ‘25 iaitu program hari terbuka kolej yang berlangsung selama tiga hari bermula 31 Oktober 2025 sehingga 2 November 2025.
Program ini bertujuan memperkenalkan Kolej Siswa Jaya (KSJ) kepada komuniti setempat serta mengeratkan hubungan antara pelajar dan masyarakat melalui pelbagai aktiviti menarik.
Pelbagai pengisian dan tarikan disediakan untuk para pengunjung termasuk derma darah, rumah hantu, gerai jualan, memanah, roller blade, basikal, wayang pacak, tazkirah maghrib, mini zoo, aktiviti kanak-kanak, pertandingan E-sport, Open Mic, persembahan PENTAS dan cabutan bertuah.
Program Fiesta ‘25 dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang memberi ucapan sekaligus merasmikan program Mental Health Awareness dan UNBOCS yang berlangsung seiring Fiesta ‘25. Majlis disempurnakan lagi dengan persembahan silat daripada ahli kelab Pencak Silat UTMKL.
YB Datuk Seri Dr. Zaliha juga meluangkan masa untuk membuat lawatan ke gerai pameran pelajar di UNBOCS dan melihat hasil dan inisiatif pelajar UTMKL dalam kelab dan persatuan mereka.
Program ini menerima sambutan menggalakkan daripada warga kampus dan komuniti sekitar yang hadir bagi menyertai aktiviti serta mengunjungi pameran kelab dan persatuan UTMKL di UNBOCS di samping sesi ceramah kesedaran mental yang dijalankan secara interaktif dan memberi peluang kepada pelajar untuk memahami dengan lebih mendalam tentang pentingnya kesejahteraan mental serta cara menghadapinya dengan berkesan.
Fiesta ‘25 melabuhkan tirai dengan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan E-sport, Open Mic dan cabutan bertuah, diikuti ucapan penutup oleh Pengarah Hal Ehwal Pelajar UTM Kuala Lumpur, Prof. Ir. Ts. Dr. Aminudin bin Hj. Abu. Bagi memeriahkan lagi acara penutupan, nyalaan bunga api menerangi suasana pada malam terakhir program, menandakan tamatnya acara selama tiga hari.
Fiesta ‘25 menonjolkan penglibatan aktif pelajar UTMKL dalam melaksanakan program berasaskan komuniti serta berperanan sebagai platform untuk memperkukuh hubungan antara universiti dan masyarakat setempat.