15 Oktober 2025 – Majlis Ramah Mesra Anak-Anak Perak bersama YBhg. Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berlangsung dengan penuh kemesraan di Kolej Siswa Jaya (KSJ).Program ini menghimpunkan mahasiswa kelahiran Negeri Perak yang sedang menuntut di UTM Kuala Lumpur sebagai platform untuk berinteraksi secara lebih dekat dengan pihak pengurusan tertinggi universiti.
Sepanjang majlis berlangsung, pelbagai pengisian telah diadakan termasuk sesi dialog dan perkongsian nasihat oleh Naib Canselor, di samping peluang kepada mahasiswa untuk menyuarakan pandangan serta aspirasi mereka. Suasana santai yang disertai sesi ramah mesra dan jamuan ringan turut berjaya mengeratkan hubungan antara mahasiswa, pihak pengurusan kolej serta Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM).
Penganjuran program ini dilihat mampu memperkukuh jati diri serta semangat kebersamaan dalam kalangan mahasiswa, selain menyuntik motivasi untuk terus cemerlang dalam aspek akademik dan sahsiah diri.
Pihak Kolej Siswa Jaya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Naib Canselor atas kesudian meluangkan masa serta kepada semua mahasiswa Perak yang telah memeriahkan majlis ini. Program seumpama ini diharapkan dapat terus menjadi medium dalam membina komuniti mahasiswa yang berdaya tahan, berakhlak dan berwawasan.