1 – 3 Ogos 2025 – Kem Pemantapan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Sesi 2024/2025 anjuran Kolej Siswa Jaya (KSJ) telah berlangsung dengan jayanya di Chalet Anees, Kuala Terengganu.
Program selama tiga hari ini menghimpunkan ahli JKM dalam pelbagai aktiviti yang menekankan pembangunan diri, pengukuhan organisasi, khidmat komuniti serta aktiviti riadah yang mencabar dan berimpak tinggi.
Sepanjang kem berlangsung, para peserta telah menyertai Bengkel STEM di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud sebagai sebahagian daripada inisiatif khidmat komuniti. Selain itu, peserta turut mengikuti sesi pengurusan organisasi dan perancangan takwim JKM bagi memperkukuh kecekapan dalam pengurusan kepimpinan.
Aktiviti pemuliharaan alam sekitar dan gotong-royong komuniti di Pulau Redang turut diadakan, di samping aktiviti rekreasi seperti snorkeling serta riadah dan sukan pantai yang memupuk semangat berpasukan dalam kalangan peserta.
Penganjuran kem ini bukan sahaja berjaya mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli JKM, malah membantu membentuk nilai kepimpinan, kerjasama dan tanggungjawab sosial selaras dengan aspirasi Kolej Siswa Jaya dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing dan berwawasan.
Pihak kolej merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk felo, urus setia, ahli JKM serta rakan kerjasama atas komitmen dan dedikasi dalam menjayakan program ini.
Diharapkan pengalaman yang diperoleh sepanjang kem ini dapat menjadi pemangkin kepada ahli JKM untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga KSJ dan masyarakat.