NARATHIWAT, 22 Febuari 2025 – Seramai 30 pelajar dari Kolej Siswa Jaya (KSJ) dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Pelajar Luar Kampus (PLK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah menyertai Program Adventure to Response The Community of Southern Thailand 2024 yang berlangsung dari 19 hingga 22 Februari 2025.

Program ini merupakan inisiatif Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) yang bertujuan menyemai nilai keprihatinan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa. Fokus utama program adalah menyokong tiga Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), iaitu SDG 1, Tiada Kemiskinan; SDG 4, Pendidikan Berkualiti; dan SDG 7, Tenaga Mampu Milik dan Bersih.

Antara aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan di Kampung Wakaf Siku, Narathiwat termasuk pemasangan 10 unit panel solar di persimpangan jalan yang tidak mempunyai lampu, bertujuan meningkatkan tahap keselamatan penduduk terutamanya pada waktu malam. Teknologi solar yang digunakan membantu menjimatkan kos tenaga dan mesra alam, sejajar dengan aspirasi tenaga mampan.

Selain itu, sesi pembelajaran berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) turut diadakan di Bansamyaek School, yang memberi pendedahan kepada murid sekolah rendah tentang asas kejuruteraan melalui aktiviti membina blok LEGO dan kereta Tamiya. Aktiviti ini mencetuskan minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi serta menggalakkan pembelajaran secara interaktif.

Bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah, sumbangan barangan keperluan asas seperti beras, gula dan minyak masak turut disalurkan. Inisiatif ini membantu memperkukuh hubungan antara mahasiswa dan komuniti setempat serta menyemai nilai empati dan kasih sayang.

KERATAN DARIPADA: UTMNEWSHUB
EDITOR: MUHAMMAD NABIL DANISH BIN AHMAD KHIR

thai sdg