TERENGGANU, 21 Julai 2024 – Seramai 40 ahli Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Siswa Jaya (JKM KSJ) dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Pelajar Luar Kampus (JKM PLK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur telah menyertai satu program lawatan akademik dan pemantapan kepimpinan yang berlangsung di Pulau Perhentian, Terengganu selama empat hari, bermula pada 18 hingga 21 Julai 2024.

Perjalanan bermula pada malam 18 Julai, apabila para peserta mula berkumpul di kafe KSJ seawal jam 10.30 malam sebelum bertolak ke Jeti Kuala Besut tepat jam 12.00 tengah malam. Setibanya di Kuala Besut pada awal pagi 19 Julai, rombongan singgah di masjid berdekatan untuk menunaikan solat Subuh sebelum menikmati sarapan pagi dan meneruskan perjalanan ke jeti.

Para peserta menaiki bot ke Pulau Perhentian sekitar jam 11.00 pagi dan selamat tiba setengah jam kemudian. Setelah selesai daftar masuk penginapan, program diteruskan dengan ucapan pembukaan oleh Pengetua Kolej Siswa Jaya, Dr. Azlan bin Suhot pada jam 2.30 petang. Aktiviti kemudiannya diteruskan dengan sesi persiapan persembahan program oleh para ahli jawatankuasa. Waktu malam diisi dengan sesi forum yang bermanfaat pada jam 8.30 malam bersama barisan panel hebat iaitu Prof. Ts. Dr. Ali bin Selamat, Prof. Aminudin bin Haji Abu, Encik Arman bin Md Yasin, dan Encik Syafiq bin Rahmat, serta dimoderatorkan oleh Encik Radhir Sham.

Pada 20 Julai, program dimulakan dengan aktiviti plogging sekitar pantai pada jam 7.30 pagi, di mana para peserta mengasingkan sisa kutipan kepada tiga kategori iaitu plastik, kertas, dan kaca. Selepas sarapan, peserta menyertai aktiviti snorkelling di tiga lokasi menarik sekitar Pulau Perhentian sehingga tengah hari. Pada sebelah petang, satu sesi taklimat telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Saardin, wakil dari OSHE, berkaitan pengisian borang Event Safety Checklist dan HIRARC dengan cara yang betul. Program disambung dengan sesi pembentangan perancangan program oleh para pelajar dan ulasan dari para pensyarah dan panel.

Hari terakhir, 21 Julai, dimanfaatkan dengan aktiviti bebas pada waktu pagi sebelum proses daftar keluar pada jam 11.00 pagi. Rombongan kemudian menaiki bot kembali ke Jeti Kuala Besut, sebelum menaiki bas pulang ke Kuala Lumpur dengan beberapa hentian bagi makan tengah hari serta menunaikan solat Zuhur dan Maghrib di R&R. Rombongan selamat tiba di Kolej Siswa Jaya pada jam 10.00 malam.

Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada para pelajar untuk merasai keindahan alam sekitar dan mengukuhkan semangat kerjasama, malah menjadi platform penting dalam memantapkan ilmu pengurusan keselamatan acara serta kemahiran komunikasi dalam kalangan mahasiswa.

SUMBER: UTMNEWSHUB

EDITOR: MUHAMMAD NABIL DANISH BIN AHMAD KHIR