KUALA LUMPUR, 31 Mac 2024 – Jawantankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Siswa Jaya (KSJ) telah menganjurkan sebuah program kerohanian sempena bulan suci Ramadhan yang dinamakan Tarbiah Ramadhan ’24. Program ini bertujuan untuk mempertingkatkan amalan sunnah serta memperkukuh dimensi kerohanian dan penghayatan ibadah dalam kalangan pelajar, selaras dengan keberkatan bulan Ramadhan. Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar UTM Kuala Lumpur.

JKM KSJ menjadikan program peningkatan kerohanian ini sebagai acara tahunan yang melibatkan warga pelajar dan staf kolej. Sebagai salah satu daripada lima rukun Islam, ibadah puasa di bulan Ramadhan turut dihargai dengan penyediaan makanan percuma bagi pelajar untuk berbuka puasa.

Program dimulakan dengan Iftar Harian yang diadakan setiap petang di Surau KSJ. Iftar ini dihadiri dengan penuh oleh para pelajar setiap hari kecuali pada hujung minggu. Pelbagai jenis makanan yang lazat telah disediakan sepanjang program ini berlangsung.

Pelancaran Tarbiah Ramadhan 2024 telah diadakan pada 13 Mac 2024 bertempat di Bilik Kebudayaan Blok A Kolej Siswa Jaya. Majlis ini menandakan permulaan kepada siri program Ritme Ramadhan 2024. Cabaran Barakah pula merupakan pertandingan kuiz yang menguji pengetahuan peserta dalam bidang ilmu Islam. Seramai 30 orang pelajar telah menyertai pertandingan ini yang berlangsung selama dua hari dari 16 hingga 17 Mac 2024 secara atas talian.

Program MySaveFood pula merupakan hasil kerjasama bersama Pemuda GEMA KL. Makanan lebihan yang tidak terjual dari bazar telah dikumpulkan dan diagihkan kepada golongan yang memerlukan. Program ini berlangsung dari 20 Mac hingga 27 Mac 2024. Objektif utama program ini adalah untuk mengurangkan pembaziran makanan serta menyampaikan bantuan kepada mereka yang kurang berkemampuan secara percuma, seiring dengan perintah Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 31: “…dan makanlah serta minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.”

Pada 27 Mac 2024, JKM KSJ turut bekerjasama dengan Kolej SPACE dalam Program Agihan Bubur Lambuk. Kedua-dua pihak berganding bahu memasak dan mengagihkan bubur lambuk kepada para pelajar di Kolej Siswa Jaya.

Khilwah Ramadhan menjadi penutup kepada keseluruhan program Tarbiah Ramadhan ’24. Ia telah berlangsung pada 29 Mac 2024 di Kolej Siswa Jaya. Program ini dimulakan dengan Majlis Khatam Al-Quran dan diakhiri dengan sesi berbuka puasa secara berjemaah. Program ini berjaya menarik penyertaan ramai pelajar yang hadir untuk sama-sama mengakhiri Ramadhan dengan penuh keberkatan.

EDITOR: MUHAMMAD NABIL DANISH BIN AHMAD KHIR

TARBIAH RAMADHAN SDG