Kolej Siswa Jaya (KSJ) mencatatkan kejayaan yang membanggakan dalam penilaian Greenleaf 2023 dengan meraih pencapaian keseluruhan sebanyak 63%. Penilaian yang komprehensif ini mengukur pelbagai aspek kelestarian seperti pengurusan, pendidikan dan inovasi, hubungan komuniti, pemeliharaan alam sekitar, serta kesejahteraan warga kolej.
KSJ memperolehi markah penuh dalam kategori profil dengan skor sebanyak 15 daripada 15, yang menggambarkan kejelasan identiti serta profil pengurusan kolej yang teratur. Dalam elemen Alam Sekitar, KSJ menunjukkan prestasi cemerlang dengan skor 50 daripada 98 markah penuh, mencerminkan komitmen tinggi kolej terhadap pemeliharaan ekosistem, pengurusan tenaga, serta budaya dan warisan seni.
Elemen pendidikan dan inovasi turut diberi perhatian dengan perolehan markah sebanyak 25.5 daripada 48, menonjolkan usaha kolej dalam meningkatkan kesedaran kelestarian melalui aktiviti pendidikan dan penyelidikan inovatif.
Walaupun terdapat ruang untuk penambahbaikan khususnya dalam aspek pengurusan dan komuniti, pencapaian ini merupakan petanda positif dalam usaha KSJ menuju ke arah kolej yang lestari dan mesra alam. Kejayaan ini juga mengukuhkan lagi reputasi KSJ sebagai institusi yang serius dalam merealisasikan agenda kelestarian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

