SEJARAH KOLEJ TUN FATIMAH

Perancangan pembangunan kampus UTM, Skudai bermula pada tahun 1973 dengan keluasan tanah seluas 2829.9 ekar. Pada tahun 1984, Perdana Menteri Malaysia ke 4, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut melawat tapak pembinaan diiringi Naib Canselor UTM pertama, Allahyarham Tan Sri Dato’ Ainuddin Abdul Wahid bagi melihat perkembangan projek pembangunan kampus. Bangunan-bangunan kampung pelajar terletak di sekeliling kawasan lingkaran ilmu. Kediaman pelajar dirancang sebagai sebuah perkampungan yang bertujuan untuk memupuk suasana kekeluargaan. Pada tahun 1984, awal pembinaan Kediaman pelajar telah menggunakan Nama Kampung seperti Kampung Cengal , Kampung Merbau, Kampung Meranti, Kampung Resak dan Kampung Belian. Nama-nama ini adalah yang berasaskan nama kayu-kayan yang terdapat di Malaysia.

Setiap kampung pelajar mempunyai bangunan asrama dan dewan makan. Konsep landskap di kampung pelajar bersifat terbuka dan informal. Kepadatan di kampung pelajar adalah rendah berbanding di kawasan akademik. Gabungan rupa bentuk tanah yang beralun dengan ditumbuhi pelbagai spesis pokok dapat membentuk ruang yang menarik. Kampung pelajar juga dilengkapi dengan padang bola sepak, bola keranjang, tenis, sepak takraw, bola tampar dan bola jaring. Kampung Belian dan Kampung Meranti adalah perkampungan yang siap dibina lebih awal sekitar tahun 1985.

Pada bulan Julai 1996/1997, pihak universiti bersetuju untuk menukar nama kediaman pelajar dari nama Kampung kepada “Kolej Pelajar” berdasarkan nombor, seperti Kolej 1 hingga Kolej 6. Kampung Belian berubah kepada Kolej 2. Pada Julai semester 97/98: nama kolej kemudiannya secara rasmi telah ditukar kepada nama orang-orang kenamaan seperti nama Kolej 1 kepada Kolej Rahman Putra, Kolej 2 ditukar kepada Kolej Tun Fatimah, Kolej 3 kepada Kolej Tun Razak, Kolej 4 kepada Kolej Tun Hussien Onn , Kolej 5 ditukar kepada Kolej Tun Dr. Ismail serta Kolej 6 kepada nama Kolej Tuanku Canselor.