AKTIVITI BERKAITAN ALAM SEKITAR & KELESTARIAN
by biromultimedia2021 | Apr 13, 2022
TIPS/PETUA PERTANIAN
Cara mudah tanam cili/Pokok Bunga/Buahan Renek di rumah
- Pilih kawasan yang menerima cahaya matahari yang banyak di rumah.
- Pilih kawasan yang redup akan menyebabkan pokok menjadi tinggi daripada biasa dan saiz buah menjadi kecil.
- Cara pemilihan medium penanaman bergantung kepada kaedah penanaman yang dipilih sama ada tanaman dalam pasu atau terus dalam tanah.
- Medium penanaman untuk pasu yang sesuai adalah tanah campuran tiga bahagian tanah merah, dua bahagian tanah hitam dan satu bahagian pasir.
- Saiz pasu yang sesuai adalah 16 inci x 20 inci bagi musim penanaman enam bulan.
- Sekiranya bercadang untuk musim penanaman yang lebih panjang dari enam bulan, sila guna saiz pasu yang lebih besar seperti 30 inci x 50 inci.
- Kaedah penanaman secara terus di tanah bagi kawasan rumah teres adalah tidak digalakkan kerana tanah tidak subur.
- Sekiranya ingin meneruskan hasrat menanam di tanah kawasan rumah teres, tanah perlu diganti dengan tanah yang baru.
- Pastikan tiada pokok buah-buahan seperti mangga, belimbing dan jambu berdekatan dengan kawasan tanaman. Ini bagi mengelakkan serangan lalat buah.
- Umur paling sesuai untuk memindah tanam anak pokok atau tanah adalah ketika anak pokok sudah berusia tiga ke empat minggu.
- Kelewatan memindah tanam anak pokok yang sudah cukup umur boleh menyebabkan pokok terbantut.
- Waktu yang sesuai pindah tanam adalah pada waktu lewat petang.
- Jangan pindah tanam anak pokok pada waktu tengah hari kerana pokok boleh terkena kejutan haba dan layu seterusnya mati.
- Waktu yang sesuai untuk menyiram pokok adalah pada waktu awal pagi dan lewat petang.
- Pokok cili harus disiram dua kali sehari, sekiranya waktu hujan tidak perlu disiram.
- Pastikan kawasan penanaman tidak menyebabkan air bertakung. Air bertakung boleh menyebabkan lembap dan menggalakkan pertumbuhan kulat.
- Kayu pancang perlu dipasang ketika peringkat awal selepas pindah tanam untuk mengelakkan kerosakan pada akar sekiranya dipasang pada umur matang.
- Jenis kayu pancang yang sesuai adalah seperti buluh yang boleh bertahan sehingga lebih enam bulan.
- Pemasangan kayu pancang bertujuan untuk mengelakkan pokok rebah apabila sudah berbuah lebat.
- Baja organik seperti baja tahi ayam amat sesuai diberikan kepada pokok untuk menggalakkan tumbesarannya.
- Sekiranya menggunakan baja kimia, pastikan mengikut kuantiti yang disarankan.
- Pemberian baja kimia secara berlebihan boleh menyebabkan pokok mati kepanasan daripada baja.
- Tempoh pemberian baja yang sesuai adalah setiap 10 hingga 14 hari.
- Kehadiran semut yang banyak pada pokok cili adalah disebabkan ia menghurungi aphid atau bena putih yang terdapat di bahagian bawah daun.
- Gunakan larutan pencegah serangga yang dirumus daripada bahan semula jadi seperti ekstrak semambu dan bawang putih.
- Larutan mencegah serangga daripada bahan semula jadi mudah hilang apabila hujan.
- Selepas hujan berhenti, larutan haruslah disembur semula.
- Waktu paling sesuai untuk menyembur larutan pencegah serangga adalah pada waktu petang menghampiri Maghrib.
- Tahap umur cili paling sesuai untuk dituai adalah apabila 80 peratus daripada cili yang matang sudah mencapai warna kirau (warna hijau bertukar sedikit merah).
- Waktu paling sesuai untuk menuai adalah pada jam 9 pagi ke atas iaitu ketika embun sudah kering.
- Sekiranya cili ingin disimpan lama, jangan basuh hasil tuaian cili. Sekiranya perlu dibasuh, harus dikeringkan segera.
- Selepas cili dituai, baja perlu segera diberikan pada waktu petang yang sama atau keesokan harinya bagi mengelakkan pokok tertekan.