Disediakan oleh: Sdra. Fiqiri Hamid | Pembantu Felow KRP
Latihan pemadaman api daripada pelajar KRP
UTM SKUDAI, 11 Disember 2025 – Biro Kebajikan dan Keselamatan melalui Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Rahman Putra sesi 2025/2026 telah berjaya melaksanakan Program Fire Drill Kolej Rahman Putra 2025 yang melibatkan Blok G08 sebagai langkah proaktif bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan serta kesedaran keselamatan warga kolej dalam menghadapi situasi kecemasan kebakaran.
Program ini diketuai oleh Pengarah Program, Adam Danieal, dengan sokongan Ketua Biro Kebajikan dan Keselamatan, Muhamad Fazreen, serta kerjasama erat Pasukan Emergency Response Team (ERT) dan beberapa penganjur bersama, iaitu Bahagian Keselamatan UTM, OSHE UTM, Pusat Kesihatan Universiti UTM, Seksyen Projek dan Penyenggaraan, serta Pejabat Kolej Rahman Putra. Program dimulakan dengan sesi taklimat keselamatan pada jam 8.30 malam, melibatkan semua Ahli Jawatankuasa program dan pasukan ERT bagi memastikan setiap peranan dan prosedur kecemasan difahami serta dilaksanakan dengan teratur.
Sesi taklimat kebakaran
Simulasi kebakaran dimulakan tepat jam 10.27 malam, melibatkan senario kebakaran berpunca daripada litar pintas pada kotak Distribution Board (DB) Blok G08. Loceng kecemasan dibunyikan serta-merta, diikuti gerakan pantas pasukan ERT yang digerakkan oleh Komander ERT merangkap Pengetua Kolej Rahman Putra, Dr. Zul-hilmi bin Che Daud, dengan tindakan susulan dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan yang telah ditetapkan. Panggilan kepada pihak keselamatan dibuat pada jam 10.29 malam, manakala pasukan keselamatan dan ambulans berjaya tiba di lokasi dalam tempoh kurang daripada 10 minit.
Simulasi ini turut melibatkan dua orang mangsa, masing-masing mengalami kecederaan berbeza termasuk patah tangan, melecur dan luka ringan. Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan diberikan rawatan awal (first aid), manakala ambulans dilaporkan tiba pada jam 10.44 malam. Operasi pemadaman kebakaran pula dijalankan di dua lokasi utama, iaitu di Aras 3 dan Aras 1 berhampiran lobi Blok G08.
Sepanjang latihan ini, seramai 59 orang penghuni berjaya dipindahkan dengan selamat daripada keseluruhan 99 penghuni berdaftar. Selebihnya didapati berada di luar bilik atas urusan lain. Situasi ini sekali gus mencerminkan tahap kerjasama yang baik serta kesedaran keselamatan yang tinggi dalam kalangan pelajar Kolej Rahman Putra.
Ahli ERT KRP bersama AJK Program
Dalam kesempatan ini, pihak pelaksana program turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada En. Abdul Rashid bin Zailan, selaku bekas Felo Penasihat JKP KRP atas sumbangan dan nasihat berterusan yang diberikan kepada para pelajar sepanjang perancangan dan pelaksanaan program ini. Bimbingan serta pengalaman beliau amat membantu dalam memastikan kelancaran program dan pematuhan terhadap aspek keselamatan yang ditetapkan.
Secara keseluruhannya, Program Fire Drill ini bukan sahaja memberi pendedahan praktikal kepada warga kolej mengenai tatacara pengurusan kecemasan, malah membuktikan komitmen berterusan Kolej Rahman Putra dalam memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar sentiasa berada pada tahap terbaik. Diharapkan latihan seumpama ini dapat diteruskan secara berkala bagi melahirkan komuniti kolej yang lebih peka, berdisiplin dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.