Disediakan oleh: Sdra. Amiruddin Mohamad | Pembantu Felow KRP
Dr. Zul (Pengetua KRP) hadir meraikan kejayaan atlet badminton KRP yang berjaya meraih tempat pertama
JOHOR BAHRU, 9 November 2025 – Pasukan sukan Kolej Rahman Putra (KRP) telah menamatkan penyertaan mereka dalam UTM Games 2025 dengan kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih tempat kedua bagi kategori lelaki dan tempat kesembilan bagi kategori wanita secara keseluruhan. Kejohanan yang berlangsung selama seminggu di pelbagai lokasi sekitar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini menyaksikan penglibatan aktif daripada pelajar KRP dalam pelbagai acara sukan utama termasuk woodball, pingpong, pétanque, e-sport Mobile Legends (MLBB), e-sport PUBG, bola jaring, bola tampar, bola keranjang, dan badminton.
Pasukan lelaki KRP menampilkan prestasi luar biasa apabila berjaya membawa pulang 3 pingat emas, 2 pingat perak dan 3 pingat gangsa yang menjadikan jumlah keseluruhan 8 pingat, sekali gus menempatkan mereka di tangga kedua keseluruhan bagi kategori lelaki. Sementara itu, pasukan wanita turut menunjukkan semangat juang yang tinggi dengan memperoleh 2 pingat perak dan 1 pingat gangsa yang meletakkan KRP di tempat kesembilan dalam kategori wanita. Pencapaian ini amat membanggakan kerana menunjukkan peningkatan mendadak berbanding tahun-tahun sebelumnya di mana KRP sering berada di kedudukan yang kurang memuaskan dalam keseluruhan kedudukan kolej.
Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Prof. Ts. Dr. Ali bin Selamat, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNCPHEPA) di Stadium Azman Hashim manakala majlis penutup turut diadakan di Sport Hall 1, UTM pada 9 November 2025 dengan penuh meriah. Pelbagai acara sukan berlangsung sepanjang minggu tersebut termasuk perlawanan intensif di Arena Woodball UTM, Arena Pétanque UTM, Sport Hall 1 dan 2, serta padang utama universiti.
Sesi penyampaian pingat kepada atlet KRP
Menurut Pengetua KRP, Dr. Zul-Hilmi bin Che Daud, kejayaan tahun ini membuktikan bahawa semangat berpasukan dan komitmen tinggi dalam kalangan pelajar KRP mampu menghasilkan keputusan yang cemerlang. “Peningkatan prestasi yang ketara ini mencerminkan usaha bersungguh-sungguh para pelajar, Majlis Felow KRP dan ahli jawatankuasa UTM Games KRP dalam membina semangat kesukanan dan disiplin pasukan. Kami amat berbangga dengan pencapaian ini dan berharap ia menjadi motivasi untuk terus unggul pada masa hadapan,” katanya.
Kejayaan pasukan KRP ini bukan sahaja menandakan peningkatan dalam prestasi sukan tetapi juga menggambarkan kematangan kepimpinan pelajar serta keberkesanan bimbingan Majlis Felo dalam mengurus dan menyelaras penglibatan kolej dalam acara universiti. Dengan semangat baharu ini, KRP optimis untuk terus menjadi antara kolej terbaik di UTM dalam arena sukan dan kepimpinan mahasiswa.
Sesi bergambar atlet petanque KRP bersama atlet kolej lain