PEMBUKA MATA PELAJAR BARU KOLEJ RAHMAN PUTRA – OPEN DAY KRP 2023

JOHOR BAHRU, 27 Okt – Open Day Kolej Rahman Putra (KRP) 2023, yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Rahman Putra (JKMKRP) telah menyinari suasana malam di Dewan Sri Meranti, G01. Ia disambut meriah dengan kehadiran 338 mahasiswa Kolej Rahman Putra.

Pameran ini bertujuan untuk memperkenalkan lima kelab yang ditubuhkan oleh Kolej Rahman Putra, iaitu Buddies Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Rahman Putra, Kelab Riverdale, Kelab Buletin, Kelab Rahman Interactive Student Center (RAIS), dan Ketua Blok Kediaman dengan berfokuskan kepada penyampaian maklumat yang terperinci mengenai aktiviti-aktiviti di Kolej Rahman Putra, dengan harapan menarik minat mahasiswa untuk melibatkan diri serta menjadi ahli aktif di dalam persatuan pilihan mereka sendiri.

Perkongsian aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh kelab Riverdale

Penerangan bagi pendaftaran untuk keahlian kelab

Di samping itu, pendedahan ini juga disampaikan secara bersemuka dan bersiaran langsung di platform Instagram. Pendedahan secara bersemuka banyak memaparkan gambar aktiviti yang dijalankan oleh kelab-kelab, manakala secara siaran langsung pendedahan ini dilakukan dengan penyampaian ucapan terbuka daripada wakil setiap jawatankuasa dan ahli kelab-kelab di Kolej Rahman Putra.

Justeru, penglibatan mahasiswa dalam kelab ini membolehkan mereka mengasah bakat-bakat terpendam serta dapat merasai pengalaman yang menyeronokkan semasa menjadi penghuni di Kolej Rahman Putra. Mereka juga akan memperolehi pelbagai kemahiran insaniah yang baru serta dapat mendidik diri mereka mengenai cara pengurusan organisasi.

Akhir sekali, Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Rahman Putra berharap program ini akan menjadi pencetus kepada warga Universiti Teknologi Malaysia, terutamanya mahasiswa Kolej Rahman Putra untuk melibatkan diri secara langsung dalam program-program yang akan dianjurkan bagi memeriahkan program-program di masa akan datang.

Disunting oleh Aiman Hakim bin Mohd Said

KELAB BULETIN KOLEJ RAHMAN PUTRA