Johor Bahru – Pada 12 Mei 2019 bersamaan dengan hari Ahad, Kolej Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan satu program yang dinamakan Sebagai Sahur Jangan Tak Sahur bersama Adabi anjuran Biro Kerohanian, Kebudayaan Dan Perpaduan Kolej. Program yang bertujuan untuk menyediakan juadah sahur kepada mahasiswa kolej terutama penghuni Kolej Perdana ini telah diwakili oleh 30 orang sukarelawan yang terdiri daripada Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) dan pelajar Kolej Perdana. Program ini telah diadakan di Dataran U4, Kolej Perdana pada pukul 10 malam hingga 2 pagi dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penglibatan hampir 500 mahasiswa.
Antara yang terlibat menjayakan program.
Program ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Yang Berbahagia Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof. Dr. Durishah Binti Idrus, dan Pengetua Kolej Perdana iaitu Dr. Norahim Bin Ibrahim, serta pegawai-pegawai universiti dan majlis felo Kolej Tun Fatimah (KTF) dan Kolej Rahman Putra (KRP). Selain itu, pihak Kolej Perdanaturut menjemput dua orang artis popular tempatan, iaitu Ronnie Hussein dan Ayai Illusi bagi memeriahkan lagi majlis pada malam tersebut.
Dari kiri: Pengetua Kolej Perdana, Dr. Norahim Bin Ibrahim, Pengurus Besar Adabi, Encik Zainudin Bin Salleh, dan Yang Berbahagia Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof. Dr. Durishah Binti Idrus
Menurut pengarah program, Muhammad Ammaruddin Bin Alusrizan, program kali ketiga ini dilaksanakan bagi mencapai beberapa objektif iaitu merapatkan hubungan silaturahim antara warga kolej di samping memupuk hubungan kekeluargaan. Program ini juga bertujuan mendekatkan mahasiswa/i dengan program berbentuk kerohanian serta memupuk semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan penduduk Kolej Perdana. Mendedahkan pelajar dengan pengalaman bersahur secara beramai-ramai turut menjadi agenda program ini dilaksanakan.
Program ini bermula pada pukul 10 malam dengan ketibaan kumpulan Adabi bersama krew. Pihak Adabi menyediakan makakan tambahan dengan bantuan artis jemputan dan penghuni Kolej Perdana. Tepat pukul 12 malam, Program dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor UTM dan pengagihan makanan untuk bersahur pun dijalankan. “Ketuk-ketuk pintu kejutkan sahur” dilakukan sendiri oleh Prof. Dr. Durishah dengan mengetuk bilik-bilik pelajar yang terpilih untuk diberikan juadah sahur diikuti dengan rakaman TV secara langsung oleh RTM.
Aktiviti “ketuk-ketuk pintu kejutkan sahur.
Selesai sahaja aktiviti tersebut, ucapan ringkas dan sesi wawancara bersama Prof. Dr. Durishah dilakukan. Selepas sesi wawancara, program diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada mereka yang terlibat sebagai memberi penghargaan diatas kesudian untuk menghadirkan diri bagi menjayakan program tersebut. Sesi fotografi mahasiswa bersama krew adabi dilakukan sebagai penutup program.
Sesi wawancara bersama Yang Berbahagia Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UTM, Prof. Dr. Durishah Binti Idrus
Sesi penyampaian hadiah
Pihak Kolej Perdana mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Adabi kerana sudi mengadakan program di Kolej Perdana. Pihak kolej turut berasa bertuah kerana menjadi pilihan Adabi untuk bekerjasama bagi menjayakan program ini dan sekiranya tiada aral melintang, diharapkan agar kumpulan Adabi dan Kolej Perdana UTM dapat berkolaborasi lagi pada masa akan datang.