MENCIPTA PELUANG KERJAYA MELALUI PROGRAM GAP YEAR
Pada 23 April 2019 (Selasa), telah berlangsungnya program Jerayawara Gap Year 2019 yang merupakan anjuran Hal Ehwal Pelajar (HEP), di bawah kelolaan Biro Akademik, Inovasi dan Penyelidikan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Perdana (JKM KP). Seramai 64 orang peserta telah menjayakan program ini di Dewan Kuliah 9, Blok N24, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Taklimat mengenai program Gap Year (Tahun Berjeda) ini telah disampaikan oleh wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), iaitu En. Gobbi Nathan A/L Yayaraman. Menurut beliau, program Gap Year merupakan sebuah program yang telah diperkenalkan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) kepada seluruh Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia sejak September 2017. Program ini membolehkan mahasiswa atau mahasiswi tahun kedua dan ke atas untuk menangguhkan pengajian selama setahun atau dua semester untuk mengikuti aktiviti-aktiviti berbentuk kesukarelawanan dan khidmat masyarakat, keusahawanan, pekerjaan dan kembara.
Wakil KPM, En. Gobbi Nathan memberi penerangan tentang program Gap Year
Terdapat agensi-agensi terpilih yang menawarkan program ini, dan salah satunya adalah melalui pekerjaan di rangkaian restoran di bawah kendalian QSR Brands. Menurut Pn. Sharifah Musainah binti Syed Alwi, program ini sesungguhnya mampu menjanjikan peluang kerjaya buat mahasiswa di samping pengalaman berharga dalam bidang pekerjaan. Pengurus Besar QSR Brands (M) Holdings BHD itu juga menyatakan tentang kepentingan nilai dan penjenamaan diri seseorang itu selepas bergelar graduan. Mereka yang mengikuti program Gap Year akan dipantau dan dibimbing dari semasa ke semasa sehingga mempunyai potensi yang boleh dipasarkan. Penglibatan di dalam program ini seterusnya mampu menjadi tiket untuk memperoleh pekerjaan di syarikat berkenaan.
Pengarah program Jerayawara Gap Year 2019, Nur Arrisa binti Ismail berpendapat bahawa pendedahan awal diperlukan bagi menarik minat mahasiswa UTM untuk mengikuti program Gap Year. Penglibatan dalam program tersebut sememangnya mampu meningkatkan nilai kebolehpasaran seseorang graduan universiti. “Ketika diajukan soalan, ramai yang mengangkat tangan tanda berminat dengan program Gap Year”, katanya. Oleh itu, selaku pengarah program, matlamat utama program ini diadakan tercapai jika terdapat mahasiswa yang berminat untuk mengikuti program Gap Year pada masa akan datang.