KRP RIVERDALE PERKASA AGENDA KELESTARIAN GUNA BAHAN TERPAKAI
SKUDAI, 8 Dis. – Bertempat di perkarangan kantin SMK Seri Pulai Perdana, sekumpulan mahasiswa dari barisan Jawatankuasa Mahasiswa dan Kelab Riverdale Kolej Rahman Putra (KRP) UTM, telah berjaya melaksanakan program perpindahan ilmu berkenaaan teknik mudah dalam aktiviti pelestarian laman landskap menggunakan bahan terpakai.
Program yang diketuai oleh Pengetua KRP, Prof. Madya Dr. Mohd Haizal bin Jamaludin; Ketua Penceramah, Cik Arenia Carmin, serta 15 orang tenaga pengajar ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 25 orang pelajar lelaki dan perempuan yang terdiri dari tingkatan 4 dan tingkatan 5, daripada sekolah yang sama.
Program berbentuk praktikal ini adalah bertujuan untuk memupuk kesedaran awal kepada pelajar sekolah menengah tentang pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar melalui aktiviti pertanian landskap.
Selain itu, program ini juga turut memberikan pendedahan terhadap aktiviti peningkatan kemahiran kepada peserta dalam membuat binaan pasu bunga yang menarik dengan hanya menggunakan tayar terpakai.
Teknik ini sangat mudah untuk dilaksanakan, disamping kosnya yang murah, tahan lasak, serta tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai untuk dilaksanakan.
Peserta melakukan aktiviti membentuk tayar menjadi pasu bunga
Terdapat dua aktiviti utama dalam program ini, iaitu teknik Penghasilan Pasu Bunga Dari Tayar Terpakai dan Teknik Penanaman Anak Pokok. Kedua-dua aktiviti ini dilakukan pada hari yang berbeza.
Pada hari pertama, peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil bagi memastikan keberkesanan program ini tercapai. Tayar terpakai dipotong mengikut teknik yang betul dan kemudian ianya dicat dengan menggunakan cat kilat bagi memastikan ketahanannya terhadap cuaca panas dan hujan.
Aktiviti ini jelas memberi keseronokan dan keterujaan kepada peserta kerana ianya dilaksanakan secara berkumpulan. Manakala pada hari kedua, peserta didedahkan dengan aktiviti teknik penanamam anak pokok ke dalam pasu bunga.
Aktiviti ini nampak mudah, namun ianya menyimpan 1001 rahsia dan ilmu tentang bagaimana memastikan anak pokok yang ditanam dapat membesar dengan baik.
Peserta didedahkan dengan teknik tanaman anak pokok yang betul
Kesemua hasil program ini diserahkan terus kepada pihak sekolah dan ditempatkan di bahagian tepi kantin sebagai hiasan landskap sekolah. Program yang dilaksanakan selama dua hari ini telah dirasmikan oleh Pengetua SMK Sri Pulai Perdana, Cikgu Abdul Aziz bin Mohamad, pada hari kedua program.
Turut hadir bersama adalah Cikgu Zamri bin Abd Rahim selaku Penyelaras Lestari sekolah, yang berperanan sebagai pemudahcara antara UTM dan pihak sekolah dalam menjayakan program ini. Selain itu, majlis perasmian penutup juga dihadiri oleh felo penasihat program, Ts. Mohd Hazri bin Ishak, serta keseluruhan panel urusetia dan peserta program.
Sebanyak 3 kumpulan terbaik telah dipilih sebagai pemenang atas kreativiti dan usaha mereka dalam membuat corak pasu bunga yang menarik. Kesemua peserta menerima sijil penyertaan dari pihak UTM.
Peserta melakukan aktiviti mengecat tayar
Kajian soal selidik yang dijalankan ke atas peserta menunjukkan bahawa program ini telah memberikan impak ke atas mereka dari segi peningkatan tahap kesedaran tentang kepentingan aktiviti kelestarian. Selain itu program ini juga telah mempertingkatkan kemahiran dan daya kreativiti peserta dalam menggunakan bahan terpakai untuk aktiviti kelestarian landskap dan alam sekitar melalui aktiviti pertanian. Diharapkan agar ilmu yang disampaikan melalui program ini dapat dimenafaatkan oleh peserta dengan sebaik mungkin.