Disediakan oleh: Sdra. Sia Pong Hock | Pembantu Felow KRP
JOHOR BAHRU, 2 November 2025 – Kem Pembentukan Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Rahman Putra (MANTRA 1.0) telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya sebagai inisiatif strategik oleh Majlis Felow KRP bagi memperkukuh potensi kepimpinan dan mempertingkat keupayaan pengurusan dalam kalangan pelajar sekaligus membentuk barisan Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) KRP bagi sesi 2025/2026.
Program berimpak tinggi yang berlangsung selama lima (5) hari ini dirancang sebagai kesinambungan kepada proses pemilihan kepimpinan pelajar baharu selepas berakhirnya sesi temuduga. MANTRA 1.0 berfungsi sebagai platform pembentukan awal kepimpinan pelajar, merangkumi latihan intensif berasaskan nilai integriti, disiplin dan tanggungjawab bagi memastikan barisan JKP KRP yang dilantik benar-benar bersedia menjalankan peranan mereka sebagai wakil pelajar dan penggerak utama aktiviti kolej di Kolej Rahman Putra.
Sepanjang kem, para peserta telah mengikuti pelbagai slot latihan, bengkel dan perkongsian ilmu yang menumpukan kepada aspek utama pengurusan organisasi pelajar. Antara modul yang dijalankan termasuk pengurusan mesyuarat dan kewangan, pengurusan dan pelaksanaan program, pengurusan hal ehwal korporat, penulisan dan pelaporan berimpak, prosedur mobiliti antarabangsa, serta pemilihan dan pelantikan JKP KRP secara rasmi bagi sesi 2025/2026. Setiap sesi disampaikan oleh barisan pegawai profesional daripada pengurusan UTM dan barisan Majlis Felow yang berpengalaman luas dalam bidang kepimpinan mahasiswa dan pembangunan pelajar.
Kemuncak MANTRA 1.0 turut diserikan dengan penganjuran Malam Manifesto, iaitu platform bagi calon kepimpinan pelajar mempersembahkan visi dan aspirasi mereka kepada seluruh warga kolej. Seterusnya, program diteruskan dengan Majlis Apresiasi dan Watikah Pelantikan JKP KRP Sesi 2025/2026, yang menandakan simbolik penyerahan tanggungjawab daripada kepimpinan lama kepada barisan baharu.
Pengetua KRP (Dr. Zul-Hilmi) sedang memberikan ucapan kepada pelajar berkenaan pelaporan program
Menurut Pengetua Kolej Rahman Putra, Dr. Zul-hilmi bin Che Daud, MANTRA 1.0 bukan sebuah kem latihan, tetapi sebuah proses pembangunan kepimpinan menyeluruh yang menekankan keseimbangan antara ilmu, nilai dan tindakan. “Program ini bukan sekadar membentuk struktur organisasi, tetapi turut menanam nilai akauntabiliti, profesionalisme dan semangat kerja berpasukan yang menjadi asas kepada kepimpinan berkesan dan lestari,” katanya.
Secara keseluruhannya, MANTRA 1.0 berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasa barisan kepimpinan pelajar yang berwibawa, berdaya saing dan berjiwa besar. Ia menjadi bukti komitmen Kolej Rahman Putra dalam melahirkan pemimpin pelajar yang mampu menggerakkan agenda pembangunan mahasiswa secara holistik, selaras dengan aspirasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) – “Menginovasi Penyelesaian Lestari (Innovating Sustainable Solutions)”.