Disediakan oleh: Sdri. Wong Sih Minh | Pembantu Felow KRP
Barisan Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Rahman Putra sesi 2025/2026
JOHOR BAHRU, 2 November 2025 – Majlis Apresiasi dan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kolej Rahman Putra 2025 (MAWAR’25) telah berlangsung dengan penuh tertib dan bermakna di Dewan Sri Meranti, Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program tahunan ini diadakan bagi menghargai jasa kepimpinan terdahulu serta memperkenalkan barisan baharu Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) bagi sesi 2025/2026.
Majlis ini menjadi simbol pengiktirafan terhadap usaha dan dedikasi para pemimpin pelajar yang telah berkhidmat sepanjang sesi 2024/2025 dalam membangunkan komuniti kolej yang harmoni dan progresif. Dalam masa yang sama, ia turut memberi mandat rasmi kepada kepimpinan baharu untuk meneruskan aspirasi kecemerlangan dan kebajikan pelajar di bawah pengurusan Kolej Rahman Putra.
Majlis dimulakan dengan ucapan penghargaan oleh mantan penasihat JKP, En. Abdul Rashid bin Zailan, yang menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen yang ditunjukkan oleh barisan kepimpinan terdahulu. Menurut beliau, setiap pemimpin yang lahir daripada Kolej Rahman Putra mencerminkan nilai tanggungjawab, kebersamaan dan semangat berkhidmat untuk komuniti. “Setiap pemimpin yang dilahirkan di KRP adalah hasil daripada budaya kebersamaan dan tanggungjawab. Saya percaya barisan baharu akan meneruskan legasi kepimpinan ini dengan lebih cemerlang,” katanya.
Barisan Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Rahman Putra sesi 2024/2025
Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Pengetua Kolej Rahman Putra, Dr. Zul-hilmi bin Che Daud, yang turut menyempurnakan simbolik penyerahan watikah pelantikan kepada barisan kepimpinan baharu. Dalam ucapannya, beliau menyeru agar para pemimpin pelajar menggalas amanah dengan penuh integriti, profesionalisme dan keikhlasan. “Pelantikan ini bukan sekadar simbolik, tetapi satu amanah besar yang perlu digalas dengan integriti dan semangat perpaduan. Kepimpinan yang baik akan melahirkan komuniti kolej yang harmoni serta berdaya saing,” ujar beliau.
Simbolik penyerahan tugas kepimpinan daripada Pengetua kepada Presiden diiringi Felow Penasihat JKP KRP sesi 2025/2026
Acara kemuncak majlis menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada mantan JKP KRP sesi 2024/2025 diikuti penyerahan sijil pelantikan kepada JKP baharu sesi 2025/2026. Upacara diserikan lagi dengan simbolik penyerahan tugas antara kepimpinan lama dan baharu serta bacaan ikrar aku janji oleh barisan kepimpinan yang baharu dilantik, menandakan komitmen mereka untuk berkhidmat dengan penuh tanggungjawab.
Secara keseluruhannya, MAWAR’25 bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu detik penting yang menandakan penerusan legasi kepimpinan dalam komuniti Kolej Rahman Putra. Ia menjadi platform bagi meraikan jasa pemimpin terdahulu sambil mengangkat semangat baharu dalam kalangan pemimpin muda yang bakal meneruskan amanah demi kesejahteraan dan kemajuan kolej.
Barisan Majlis Felow KRP bersama JKP KRP sesi 2024/2025 dan sesi 2025/2026