Disediakan oleh: Sdra. Nur Alimul Hakim  |  Pembantu Felow KRP

Pemenang 7 kerusi sekaligus mewakili MT JKP KRP Sesi 25/26

JOHOR BAHRU, 1 November 2025 – Malam Manifesto Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Rahman Putra bagi sesi 2025/2026 telah berlangsung dengan penuh semangat dan keterujaan di Dewan Sri Meranti, Kolej Rahman Putra, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program yang menjadi platform penting bagi menonjolkan bakat kepimpinan ini berjaya menyemarakkan amalan demokrasi dalam kalangan pelajar kolej kediaman melalui proses yang sihat dan matang.

Seramai 28 orang calon telah menampilkan diri bagi merebut tujuh kerusi Majlis Tertinggi (MT) yang dipertandingkan. Setiap calon diberi peluang selama tiga minit untuk membentangkan manifesto masing-masing di hadapan para pelajar dan Majlis Felow KRP. Pelbagai idea menarik dan visi bernas telah diketengahkan, meliputi aspek kebajikan pelajar, pembangunan sahsiah, pengurusan aktiviti komuniti, serta usaha memperkukuh hubungan antara pelajar dan pihak pentadbiran kolej.

Sepanjang sesi pembentangan, suasana dewan dipenuhi dengan sorakan, tepukan dan laungan semangat daripada para penyokong. Keterlibatan aktif pelajar ini mencerminkan budaya politik sihat serta semangat perpaduan yang tinggi dalam kalangan warga Kolej Rahman Putra. Setiap pembentangan manifesto disambut dengan respon yang positif, menunjukkan minat mendalam para pelajar terhadap hala tuju kepimpinan kolej.

Salah seorang calon sedang bermanifesto

Selesai sesi pembentangan manifesto, proses pengundian rasmi dijalankan dengan penuh tertib dan telus. Proses ini dimulakan dengan pembuangan undi oleh Majlis Felow KRP, diikuti oleh para pelajar. Pelaksanaan pengundian ini bukan sahaja memperkukuh amalan demokrasi, malah menunjukkan komitmen kolej terhadap prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pemilihan pemimpin pelajar.

Felow Penasihat (En Md Yani) sedang membuang undi

Menurut Felow Penasihat JKP KRP, En. Md Yani, malam manifesto merupakan wadah terbaik bagi melahirkan kepimpinan berwibawa yang mampu membawa aspirasi pelajar. “Program seperti ini bukan sekadar pertandingan, tetapi medan latihan kepimpinan sebenar. Ia mendidik pelajar untuk berani bersuara, berfikir secara kritis dan mengurus tanggungjawab dengan matang,” jelas beliau. Penganjuran malam manifesto ini membuktikan bahawa budaya kepimpinan pelajar di UTM terus subur dan menjadi teras kepada pembentukan mahasiswa yang berintegriti, berdaya saing dan berpemikiran strategik.

Secara keseluruhannya, Malam Manifesto JKP KRP Sesi 2025/2026 bukan sahaja memperkukuh nilai demokrasi di peringkat kolej kediaman, tetapi turut menyemai semangat kesatuan dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar untuk sama-sama membina masa depan Kolej Rahman Putra yang lebih cemerlang. Kejayaan program ini menandakan satu permulaan yang positif bagi sesi kepimpinan pelajar yang baharu, sekaligus mengukuhkan sistem tadbir urus pelajar di UTM ke arah kecemerlangan yang lebih menyeluruh.

Sesi kiraan undi oleh Majlis Felow KRP

UTM Open Day