Disediakan oleh: Sdra. Mohd Haykal Adli | Pembantu Felow KRP
JOHOR BAHRU, 27 Oktober 2025 – Sesi temuduga bagi pemilihan Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Rahman Putra (JKP KRP) Sesi 2025/2026 telah berlangsung dengan jayanya pada malam Isnin, 27 Oktober 2025, bertempat di sekitar bangunan G01, Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Proses temuduga ini merupakan sebahagian daripada agenda tahunan KRP bagi memilih barisan kepimpinan pelajar yang berwibawa dan komited untuk menerajui hal ehwal kolej kediaman bagi sesi baharu.
Sesi yang dijalankan dari jam 10.00 malam hingga 12.00 malam ini melibatkan tiga lokasi berbeza, iaitu Bilik Mesyuarat KRP, Bilik Gerakan JKP KRP, dan Ruang Rehat Pelajar (Bilik Gamebite). Hal ini bagi memastikan kelancaran serta keselesaan calon semasa sesi berlangsung. Keseluruhan proses temuduga telah dikendalikan sepenuhnya oleh Majlis Felow Kolej Rahman Putra, yang bertindak sebagai panel penilai dan pemantau bagi setiap kumpulan calon.
Sebanyak 40 orang calon telah hadir bagi mengikuti sesi temuduga dan daripada jumlah tersebut, 31 calon telah berjaya terpilih untuk menganggotai barisan kepimpinan baharu Jawatankuasa Kolej Pelajar bagi sesi 2025/2026. Pemilihan dibuat berdasarkan kriteria kepimpinan, kemampuan berkomunikasi, kerja berpasukan, serta daya menyelesaikan masalah secara efektif.
Kriteria yang dinilai dalam sesi temuduga JKP KRP Sesi 2025/2026
Menariknya, sesi temuduga kali ini menggunakan pendekatan berasaskan penyelesaian masalah (problem-based assessment), di mana setiap kumpulan calon diberikan tugasan untuk merancang dan membentangkan idea program yang berpotensi dilaksanakan di KRP. Melalui kaedah ini, panel penilai dapat menilai cara calon berfikir secara kritikal, merancang strategi, mengurus cabaran, dan menonjolkan keupayaan kepimpinan dalam situasi sebenar.
Sesi soal jawab bersama panel turut diadakan bagi mengenal pasti keupayaan calon dalam menyampaikan pendapat secara yakin serta mengurus dinamika kumpulan dengan profesional. Pendekatan ini bukan sahaja menilai kemahiran akademik, tetapi turut menguji nilai-nilai penting seperti integriti, empati dan kebolehan membuat keputusan secara kolektif.
Menurut Pengetua Kolej Rahman Putra, Dr. Zul-hilmi bin Che Daud, proses pemilihan kepimpinan ini bukan sekadar rutin tahunan, tetapi merupakan satu platform penting dalam mengenal pasti dan membentuk barisan mahasiswa yang berpotensi tinggi untuk memimpin dan menggerakkan agenda pembangunan pelajar. “Kami percaya setiap calon yang terlibat memperoleh pengalaman berharga melalui proses ini. Kepimpinan yang cemerlang bermula dengan keberanian untuk tampil, berfikir dan berkhidmat dengan ikhlas,” ujarnya.
Sesi temuduga ini mencerminkan usaha berterusan Kolej Rahman Putra untuk melahirkan generasi pemimpin mahasiswa yang berwawasan, berketerampilan dan mampu membawa pembaharuan positif. Tahniah diucapkan kepada semua calon yang berjaya terpilih, semoga barisan kepimpinan baharu ini dapat meneruskan kecemerlangan dan membawa KRP ke arah kejayaan yang lebih gemilang dalam sesi 2025/2026.