
JOHOR BAHRU, 26 September – Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melaksanakan program gotong-royong perdana sempena persediaan pendaftaran pelajar Tahun 1 Sesi 2025/2026. Program ini melibatkan kerjasama pengurusan kolej bersama Majlis Felow & Staf dengan penyertaan seramai 38 orang krew yang terlibat dalam aktiviti pembersihan dan memperindahkan kawasan kolej termasuk blok kediaman pelajar Tahun 1.
Gotong-royong ini diketuai oleh Pengetua Kolej Rahman Putra, Dr. Zulhilmi Che Daud, bersama wakil Unit Residen KRP, En. Mohd Rasdan bin Jamian @ Raduan, Felow, En. Abdul Rashid bin Zailan serta barisan Pembantu Felow KRP.
Sebelum aktiviti gotong-royong dijalankan, peserta telah mengikuti sesi senaman aerobik yang dikendalikan oleh KBSI Jamaliah binti Zainudin. Aktiviti pemanas badan ini berlangsung dalam suasana meriah dengan iringan lagu-lagu bertenaga yang menceriakan suasana.
Menurut Dr. Zulhilmi, program ini bukan sahaja menekankan aspek kebersihan dan keceriaan kawasan kolej, malah turut memperkukuh semangat kebersamaan antara warga KRP.
“Gotong-royong ini mencerminkan kesiapsiagaan KRP untuk menyambut pelajar baharu. Kami mahu memastikan persekitaran kolej sentiasa kondusif, bersih, indah serta mampu memberikan keselesaan kepada warga kolej khususnya pelajar Tahun 1 yang akan mula menetap di sini,” katanya.
Program ini diadakan sebagai langkah persediaan dan simbolik keterujaan KRP dalam menyambut kedatangan pelajar baharu Sesi 2025/2026.
“KAMI MENANTI ANDA DENGAN SENYUMAN”
“SELAMAT DATANG KE KOLEJ RAHMAN PUTRA”