
Johor Bahru, 27 Julai 2025 – Program khidmat masyarakat rentas negara telah berjaya dilaksanakan menerusi kolaborasi strategik antara Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama penduduk setempat di Felda Bukit Ramun, Johor.
Program ini berlangsung selama dua minggu, bermula pada 13 Julai 2025 dengan ketibaan delegasi UNAIR di Kuala Lumpur, sebelum bergerak ke Johor Bahru. Majlis perasmian (Opening Ceremony) telah diadakan secara rasmi pada 15 Julai 2025 di Kolej Rahman Putra, UTM Johor Bahru, dengan kehadiran pegawai universiti, pensyarah pengiring, dan wakil pelajar kedua-dua institusi.
Rangkuman Aktiviti yang dijalankan sepanjang Program adalah melibatkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang bertujuan untuk memberi manfaat terus kepada komuniti setempat. Aktiviti tersebut termasuklah pemeriksaan kesihatan dan taklimat penjagaan diri, bengkel pendidikan dan motivasi pelajar bagi Sekolah Kebangsaan LKTP Bukit Ramun dan SMK Sultan Alauddin. Selain itu, turut diadakan Program gotong-royong dan penambahbaikan fasiliti awam (mengecat gazebo , iaitu mercu tanda Felda Bukit Ramun), aktiviti seperti perkongsian ilmu dalam penyediaan jamu dan ramuan berkhasiat untuk penduduk kampung.
Kemuncak program ini adalah Malam Kebudayaan yang berlangsung pada 20 Julai 2025, yang menyajikan persembahan istimewa kebudayaan dari kedua-dua negara. Pelajar dari UNAIR dan UTM mempersembahkan tarian tradisional, serta memperkenalkan pakaian Indonesia dan Malaysia, sekaligus mengeratkan hubungan budaya serumpun.
Selanjutnya, program diteruskan di kampus UTM Johor Bahru bermula 21 hingga 27 Julai 2025, merangkumi Perkhemahan bersama Majlis Felow KRP & perkongsian pengetahuan serta l lawatan ke seluruh tempat di UTM . Turut diadakan bengkel bersama pensyarah dan pelajar kedua-dua universiti juga diskusi ilmiah mengenai inovasi sosial dan kelestarian komuniti.
Menurut Prof. Madya IR. TS. DR. Nor Hasrul Akhmal Bin Ngadiman, pengarah pembangunan aktivi pelajar dari pihak UTM, “Program ini bukan sahaja membuka peluang kerjasama, tetapi juga membina karakter mahasiswa sebagai pemimpin masyarakat masa depan yang berintegriti dan prihatin.”
Sementara itu, Lintang Wahyusih Nirmala, S.Ant., M.A dari UNAIR menyatakan rasa terima kasih atas sambutan hangat yang diterima. “Kami sangat menghargai peluang ini, kerana ia bukan sekadar program khidmat masyarakat, tetapi medan pembelajaran kehidupan sebenar bagi mahasiswa kami.”
Penduduk Felda Bukit Ramun turut memberikan respon positif. Ketua Kampung Haji Hazman menyatakan: “Kami amat gembira dengan kehadiran para mahasiswa ini. Semoga kedepannya kita boleh menjalin kerjasama lagi.”
Program ini telah menjadi simbol kejayaan sinergi dua institusi pendidikan tinggi dalam membentuk jalinan serumpun yang menyatukan ilmu, budaya dan semangat khidmat kepada masyarakat.
Penulisan : PF Fildza Arifa