KRP, UTM Skudai – Kejohanan Catur Terbuka UTM Siri 2 telah berlangsung dengan lancar pada 14 Jun 2025 bertempat di Dewan Seri Meranti, Kolej Rahman Putra, Universiti Teknologi Malaysia. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 147 orang peserta, merangkumi pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah, warga UTM (pelajar dan staf), serta peserta luar dari komuniti awam.
Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu Kategori Terbuka yang melibatkan 52 peserta, Kategori Bawah 17 Tahun (U17) dengan penyertaan seramai 27 orang, dan Kategori Bawah 12 Tahun (U12) yang mencatat jumlah penyertaan tertinggi iaitu 68 orang. Pelaksanaan kejohanan ini menggunakan format Swiss System dengan 7 pusingan, dan setiap pemain diberi masa 15 minit bagi setiap perlawanan.
Program dimulakan dengan sesi taklimat pada jam 8.30 pagi, dengan pengenalan laman web chess-results.com bagi rujukan para peserta sepanjang kejohanan ini. Pusingan pertama perlawanan dimulakan tepat jam 9.00 pagi. Perlawanan berlangsung selama 6 pusingan dahulu sehingga waktu rehat pada jam 1 petang. Pusingan terakhir sambung pada jam 2.00 petang, disusuli dengan majlis penyampaian hadiah pada jam 2.30 petang. Sepuluh peserta terbaik bagi setiap kategori telah diraikan dengan hadiah berdasarkan pencapaian mereka sepanjang kejohanan.
Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat, tetapi juga memperkukuh budaya pemikiran strategik dan ketelitian dalam kalangan peserta pelbagai peringkat umur. Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta, petugas teknikal dan urus setia atas komitmen dan kerjasama yang telah diberikan. Diharapkan kejohanan ini dapat diteruskan lagi dalam siri-siri akan datang dengan penglibatan yang lebih meluas dan berimpak tinggi.