Select Page

Pada 29 Januari 2011, pihak Kelab Fotokreatif telah menjalankan  program Malam Penghargaan. Pihak Kelab Fotokreatif telah menjalankan dua aktiviti dalam masa sehari yakni aktiviti bowling pada waktu siang dan Majlis Penghargaan pada waktu malam. Aktiviti bowling ini telah dijalankan dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari di Danga City Mall, Johor Bahru, Malaysia. Sepanjang aktiviti ini diadakan, kami membahagikan peserta seramai 60 orang kepada 15 kumpulan di mana setiap kumpulan diwakili oleh 4 orang. Kumpulan 1 menjadi juara keseluruhan. Manakala kumpulan 18 dan 17 masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga. 13 kumpulan lagi mendapat tempat saguhati. Setiap kumpulan membawa pulang hadiah berupa hamper. Aktiviti ini berlangsung selama lebih kurang 4 jam bermula pukul 9.00 pagi hingga jam 12.30 tengahari. Aktiviti ini telah mengajar setiap kumpulan memupuk semangat setiakawan dan melakukan yang terbaik dalam setiap perkara yang dilakukan, di samping merapatkan hubungan sesama ahli kelab dan alumni.

Sementara itu, majlis Malam Penghargaan itu sendiri telah diadakan pada jam 8.00 malam bertempat di The Zon Regency Hotel, Johor Bharu. Majlis ini dimulakan pada jam 8.00 malam dan diakhiri pada jam 10.30 malam. Tujuan program ini adalah sama seperti pertandingan bowling iaitu merapatkan silaturrahim antara ahli KFK dan alumni di samping menghargai jasa dan sumbangan Majlis Eksekutif 2010 yang banyak menyumbang tenaga untuk memajukan Kelab Fotokreatif. Majlis ini bertemakan ‘Sehitam putih lumrah kehidupan, seindah warna detik pertemuan’. Dalam majlis ini, tetamu digalakkan memakai pakaian yang bertemakan Black & White Vintage. Jam 8.00 malam dimulakan dengan ketibaan dan pendaftaran bagi para tetamu dan seterusnya ketibaan Encik Mohd Rashid bin Abdul Rahup sebagai penasihat Kelab Fotokreatif, wakil pekedai dan penaja diiringi oleh pihak Majlis Eksekutif Kelab Fotokreatif 2010 dan 2011. Majlis ini bermula dengan ucapan dari penasihat, alumni, presiden 2010 dan Presiden 2011. Program diteruskan dengan montaj sebagai simbolik penyerahan tugas daripada Majlis Eksekutif lama kepada Majlis Eksekutif baru. Penyampaian hadiah juga diberikan kepada barisan Majlis Eksekutif dan Exco 2010 sebagai tanda penghargaan. Tidak ketinggalan aktiviti cabutan bertuah dan pameran pertandingan gambar-gambar fotografi sepanjang tahun 2010 diselitkan juga untuk memeriahkan lagi suasana majlis. Majlis diakhiri dengan sesi pengambilan gambar para tetamu.