Umat Islam kini menyambut salah satu bulan yang mulia dalam Islam, di mana didalamnya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Walaupun bulan Syawal kita semua nanti-nantikan sebagai bulan kemenangan dan sudah tentunya bulan perayaan, namun Ramadhan yang dilalui sebelumnya perlu dihayati dan disyukuri bersama atas keberkatan, kemuliaan, dan kehebatan yang Allah berikan padanya yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain.
Mentaliti kebanyakkan orang kita, Ramadhan hanya masa untuk menahan lapar dan dahaga. Rasanya, Ramadhan jugalah menjadi masa kebanyakkan orang menjadi boros berbelanja. Aduhai, alangkah ruginya jika kehebatan bulan Ramadhan disia-siakan begitu saja. Sepatutnya bulan Ramadhan ini menjadi masa yang terbaik bagi kita untuk menambah amal, memperkasa iman dan melakukan transformasi diri untuk menjadi insan yang lebih hebat.
Telusurilah hikmah Ramadhan, buka lah kembali kitab-kitab agama yang berpesan kepada hakikat sebenar, tentang apa yang perlu difahami dengan ‘berpuasa’ di bulan Ramadhan. Allah s.w.t telah menyediakan ruang yang sangat eksklusif untuk umat manusia untuk meraih ganjaran pahala sebanyak-banyaknya sambil melatih diri menjadi insan yang lebih mantap dari segi minda, emosi dan rohaninya. Manusia perlu sedar dan bersyukur dengan ‘bantuan’ Allah s.w.t yang menjadikan bulan Ramadhan sebagai ruang waktu yang sangat istimewa ini.
Antara keistimewaan Ramadhan adalah sifatnya yang mendidik jasmani dan rohani manusia. Jika kita benar-benar melaksanakan kewajiban kita di bulan ini dengan penuh penghayatan, dengan bukan saja menahan lapar dan dahaga tetapi juga dari dosa yang lainnya, maka ini akan mencetuskan proses transformasi diri kita dari buruk kepada baik dan dari yang baik kepada yang lebih baik. Sifat diri yang menahan dosa, serta diri yang sentiasa dilazimi dengan melakukan amal-amal ibadah tambahan yang lain, ini semua adalah ramuan yang memungkinkan proses transformasi ini berlaku.
Berpuasalah dengan tenang dan penuh kesabaran. Setiap lapar dan dahaga yang dirasai, setiap nafsu yang dikekang, ini semua lebih menjadikan kita mulia di sisi Allah yang Esa.